Pergi ke kandungan

Yunani pada zaman penjajahan Rom

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Yunani pada zaman penjajahan Rom (Greek: Έλλάς, Latin: Graecia) menerangkan penaklukan Yunani purba oleh Rom (lebih kurang kawasan yang sama dengan Yunani moden) serta orang Yunani dan kawasan-kawasan yang mereka diami dan kuasai dalam sejarah.[1][2][3] Ia merangkumi tempoh semasa Yunani dikuasai Republik Rom buat kali pertama dan kemudiannya oleh Empayar Rom.[4]

Pembahagian wilayah Yunani Rom

Dalam sejarah Yunani, era Rom bermula dengan kekalahan Corinth dalam Pertempuran Corinth pada tahun 146 SM. Walau bagaimanapun, sebelum Perang Akhaia, Republik Rom telah mula menguasai tanah besar Yunani dengan menewaskan Kerajaan Makedon dalam beberapa siri konflik yang dikenali sebagai Peperangan Makedonia. Perang Makedonia Keempat berakhir dengan Pertempuran Pydna pada 148 SM dengan kekalahan Andriscus yang menuntut takhta Macedonia.

Pendudukan Rom di dunia Yunani yang paling muktamad berlaku selepas Pertempuran Actium (31 SM), yang mana Augustus mengalahkan Cleopatra VII, ratu Ptolemaik Yunani Mesir, dan jeneral Rom Mark Antony, dan seterusnya menakluki Alexandria (30 SM), kota besar terakhir Mesir Helenistik.[5] Era Rom dalam sejarah Yunani diteruskan dengan Maharaja Constantine Agung mengangkat Byzantium sebagai Nova Roma atau Rom Baharu, ibu kota Empayar Rom; Pada tahun 330 Masihi, bandar itu dinamakan semula sebagai Konstantinopel. Selepas itu, Empayar Byzantium menjadi Empayar Rom Timur, merangkumi kedua-dua budaya Yunani dan Rom.

Republik Rom

[sunting | sunting sumber]
Penaklukan Yunani Purba oleh Rom pada abad ke-2 SM

Semenanjung Yunani jatuh ke tangan Republik Rom semasa Pertempuran Corinth (146 SM), apabila Makedonia menjadi wilayah Rom. Sementara itu, selatan Yunani juga berada di bawah hegemoni Rom, tetapi beberapa negara kota Yunani yang utama kekal separa berautonomi dan terselamat daripada dikenakan cukai oleh Rom secara langsung.

Penjarahan Corinth oleh Thomas Allom, s. 1870.

Pada 88 SM, Athens dan negara kota Yunani yang lain memberontak terhadap Rom dan dipatahkan oleh Jeneral Lucius Cornelius Sulla. Semasa perang saudara Rom, Yunani telah musnah dalam segi fizikal dan ekonomi sehinggalah Augustus mengaturkan semenanjung itu sebagai wilayah Achaea, pada 27 SM. Pada mulanya, penaklukan Rom di Yunani merosakkan ekonomi, tetapi ia bingkas pulih di bawah pentadbiran Rom selepas perang. Tambahan lagi, bandar-bandar Yunani di Asia Kecil pulih daripada penaklukan Rom dengan lebih cepat daripada bandar-bandar di semenanjung Yunani, yang telah banyak rosak dalam perang dengan Sulla.

Sebagai sebuah empayar, Rom melabur sumber dan membina semula bandar-bandar Yunani Rom, dan mengasaskan Corinth sebagai ibu kota wilayah Achaea, dan Athens makmur sebagai hab budaya falsafah, pendidikan dan ilmu.

Empayar Rom pada awalnya

[sunting | sunting sumber]
Agora Rom di Athens

Kehidupan di Yunani diteruskan di bawah Empayar Rom sama seperti sebelumnya. Budaya Rom banyak dipengaruhi oleh orang Yunani; bak kata Horatius, Graecia capta ferum victorem cepit ("Yunani yang ditawan menawan penakluknya yang biadab".[6] Epik-epik Homeros mengilhamkan Aeneid karya Virgil, dan pengarang seperti Seneca yang Muda menulis dengan gaya Yunani. Beberapa bangsawan Rom menganggap orang Yunani sebagai mundur dan picik, tetapi ramai yang lain memeluk sastera dan falsafah Yunani. Bahasa Yunani menjadi kegemaran golongan terpelajar dan elit di Rom, seperti Scipio Africanus, yang mempelajari falsafah dan menganggap budaya dan sains Yunani sebagai contoh yang perlu diikuti.

Maharaja Rom Nero melawat Yunani pada tahun 66 TM, dan memasuki Sukan Olimpik Purba, walaupun peraturan tidak membenarkan orang Yunani menyertai. Baginda meraih kemenangan dalam setiap pertandingan, dan pada tahun berikutnya, baginda mengisytiharkan kemerdekaan orang Yunani di Sukan Isthmia di Corinth, sama seperti Flamininus pernah lakukan lebih 200 tahun sebelum itu.

Maharaja Hadrian dan kekasih Yunaninya Antinous, oleh Bartolomeo Pinelli, s. 1810.

Banyak kuil dan bangunan awam dibina di Yunani oleh maharaja dan bangsawan Rom yang kaya, terutamanya di Athens. Julius Caesar memulakan pembinaan dataran atau agora Rom di Athens, yang disiapkan oleh Augustus. Pintu utamanya, Gerbang Athena Archegetis, didedikasikan untuk dewi penaung Athens, Athena. Panggung Agrippeia dibina di tengah-tengah Agora Purba Athens oleh Marcus Vipsanius Agrippa. Maharaja Hadrianus ialah seorang pencinta Yunani, dan sebelum menjadi maharaja telah berkhidmat sebagai penggawa Athens. Baginda melihat dirinya sebagai pewaris Perikles dan membuat banyak sumbangan kepada Athens. Baginda membina Perpustakaan Hadrian di bandar itu dan menyiapkan pembinaan Kuil Olympia Zeus, kira-kira 638 tahun selepas pembinaannya dimulakan pada zaman oligarki Tiranoi Tiga Puluh tetapi ditamatkan kerana kepercayaan bahawa membina sesuatu sebesar itu akan menimbulkan keangkuhan (hubris) terhadap para dewa. Orang Athens membina Gerbang Hadrian sempena Maharaja Hadrian. Sisi gerbang tersebut yang menghadap agora Athens dan Akropolis mempunyai inskripsi yang menyatakan, "Inilah Athens, kota kuno Theseus." Bahagian yang menghadap Kuil Zeus dan "kota baru" (ini masih sebahagian daripada bandar purba itu; contohnya Stadium Panathenaic memang berada di sebelah itu) mempunyai inskripsi yang menyatakan, "Inilah kota Hadrian, dan bukan Theseus". Adrianou (Jalan Hadrian) wujud hingga ke hari ini, menuju dari gerbang ke Agora Purba.

Pax Romana merupakan tempoh keamanan yang paling lama dalam sejarah Yunani, dan Yunani menjadi persimpangan utama perdagangan maritim antara Rom dan separuh timur empayar yang berbahasa Yunani. Bahasa Yunani berfungsi sebagai lingua franca di wilayah-wilayah timur dan di Itali, dan ramai intelektual Yunani seperti Galen akan melaksanakan kebanyakan kerja mereka di Rom.

Santo Paulus berkhutbah di Athens oleh Raphael, kira-kira 1515

Pada masa ini, Yunani dan sebahagian besar timur Rom yang lain berada di bawah pengaruh Kristian Awal. Rasul Paulus dari Tarsus berkhutbah di Filipi, Corinth dan Athens, dan Tesalonika tidak lama kemudian menjadi salah satu kawasan empayar yang paling banyak dikristiankan.

Empayar Rom kemudiannya

[sunting | sunting sumber]
Dewangga yang menggambarkan Constantine mengasaskan kota Constantinople, ca. 1623-1625.

Semasa abad ke-2 dan ke-3, Yunani dibahagikan kepada wilayah-wilayah Achaea, Makedonia, Epirus dan Thrace. Semasa pemerintahan Diocletian pada akhir abad ke-3, Moesia dijadikan sebuah kawasan keuskupan, dan diperintah oleh Galerius. Di bawah Constantine (yang memeluk Kristian) Yunani adalah sebahagian daripada wilayah Makedonia dan Thrace. Theodosius membahagikan wilayah Makedonia kepada wilayah Crete, Achaea, Thessaly, Epirus Vetus, Epirus Nova dan Makedonia. Kepulauan Aegea membentuk wilayah Insulae di Keuskupan Asia.

Alaric memasuki Athens oleh Allan Stewart, s. 1915.

Yunani diceroboh oleh kaum Heruli, Goth dan Vandal semasa pemerintahan Romulus Augustulus. Stilicho, yang berpura-pura menjadi pemangku raja untuk Arcadius, mengosongkan Thessaly apabila Visigoth menyerang pada akhir abad ke-4. Ketua penasihat Arcadius, Eutropius, membenarkan Alaric memasuki Yunani, dan dia menjarah Athens, Corinth dan Peloponnesos.[perlu rujukan] Stilicho akhirnya mengusirnya keluar sekitar 397 TM dan Alaric dijadikan magister militum atau pegawai kanan tentera di Illyricum. Akhirnya, Alaric dan kaum Goth berhijrah ke Itali, menjarah Rom pada 410, dan membina Kerajaan Visigoth di Iberia, yang bertahan sehingga 711 dengan kedatangan orang Arab. Yunani kekal sebahagian daripada dan menjadi pusat timur Empayar Rom yang agak padu dan kukuh, Empayar Rom Timur (kini dalam historiografi dirujuk sebagai Empayar Byzantium), selama hampir seribu tahun lagi selepas Kejatuhan Rom, kota yang pernah menaklukinya.

Empayar Rom pada tahun 395

Bertentangan dengan ramalan lapuk pada zaman baharian lewat, semenanjung Yunani kemungkinan besar merupakan salah satu kawasan paling makmur dalam Empayar Rom.[perlu rujukan] Senario lama kemiskinan, pengurangan penduduk, kemusnahan oleh orang gasar, dan keruntuhan sivil telah disemak semula berdasarkan penemuan arkeologi terbaru.[7] Malah, polis atau negara kota, sebagai sebuah institusi, nampaknya berkembang sehingga sekurang-kurangnya pada abad ke-6. Teks-teks kontemporari seperti Syndekmos oleh Hierocles menegaskan bahawa zaman Yunani purba dipenuhi pembandaran dan mengandungi kira-kira lapan puluh bandar.[7] Pandangan tentang kemakmuran ekstrem ini diterima secara meluas hari ini, dan diandaikan bahawa antara abad ke-4 dan ke-7 Masihi, Yunani mungkin merupakan salah satu kawasan yang paling aktif dari segi ekonomi di timur Mediterranean.[7]

Maharaja Rom Heraclius pada awal abad ke-7 menukar bahasa rasmi empayar daripada Latin kepada Yunani. Memandangkan bahagian timur Mediterranean sentiasa dikuasai orang Yunani, bahagian timur Empayar Rom beransur-ansur diyunanikan berikutan kejatuhan separuh barat empayar yang berbahasa Latin. Sepanjang abad-abad berikutnya, tanah besar Yunani banyak dipertandingkan antara Empayar Rom dan Bulgaria, dan mengalami pencerobohan oleh puak Slavik dan Norman. Crete dan Cyprus telah dipertandingkan antara orang Rom dan Arab dan kemudiannya diambil oleh Tentera Salib yang, selepas Penjarahan Constantinople pada tahun 1204, menubuhkan Empayar Latin di Thrace dan Yunani. Orang Rom merampas semula Konstantinopel dan mengasaskan semula kuasa di kebanyakan semenanjung Yunani, tetapi Epirus akan kekal sebagai negeri serpihan yang merdeka sehingga awal abad ke-14 apabila kawalan Rom diwujudkan semula. Ketika perang saudara berkecamuk di dalam empayar, Empayar Serbia mengambil peluang untuk menakluki sebahagian besar tanah besar Yunani, manakala Empayar Bulgaria bangkit semula dan menyerang dari utara. Pada abad yang berikutnya, Empayar Uthmaniyah akan mendirikan kuasanya di rantau ini, mengilhakkan ketiga-tiga empayar dan menamatkan penaklukannya ke atas Yunani dengan kejatuhan Morea pada tahun 1460.

  1. ^ Austin, M.M. (2011). The Hellenistic world from Alexander to the Roman conquest : a selection of ancient sources in translation. Cambridge University Press. ISBN 978-0-521-82860-4. OCLC 813628501.
  2. ^ Waterfield, Robin (2014). Taken at the flood: the Roman conquest of Greece. ISBN 978-0-19-876747-3. OCLC 972308960.
  3. ^ "Until the Roman Conquest, 272–146", A Short History of Ancient Greece, I.B.Tauris, 2014, doi:10.5040/9780755694549.ch-012, ISBN 978-1-78076-593-8, dicapai pada 2021-07-11
  4. ^ Finlay, George; Fanshawe Tozer, Harry (2017). A history of Greece, from its conquest by the Romans to the present time B.C. 146 to A.D. 1864. Norderstedt: Hansebooks. ISBN 978-3-337-11847-1. OCLC 1189729109.
  5. ^ Hellenistic Age. Encyclopædia Britannica. 2013. Dicapai 27 Mei 2013. Diarkibkan 14 Mei 2013.
  6. ^ "Horace – Wikiquote". en.wikiquote.org (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2018-04-27.
  7. ^ a b c Rothaus, hlm. 10. "Persoalan tentang kesinambungan institusi sivik dan sifat polis di dunia akhir zaman baharian dan awal Byzantium telah menjadi persoalan yang rumit, atas pelbagai sebab. Para pelajar dalam bidang ini terus berdebat dengan ahli akademik dari zaman-zaman lebih awal yang berpegang pada pandangan yang sudah lapuk mengenai akhir zaman baharian sebagai zaman kemerosotan akhlak, menuju kepada perpecahan dan kemiskinan. Kota-kota di zaman baharian lewat Yunani menunjukkan tahap kesinambungan yang ketara. Senario mengenai kemusnahan oleh orang gasar, kemerosotan sivik, dan sistem manorialisme senang katanya adalah tidak sesuai. Sebenarnya, bandar sebagai sebuah institusi nampaknya telah berkembang maju di Yunani dalam tempoh ini. Hanya pada penghujung abad ke-6 (dan mungkin juga tidak pada masa itu) bahawa pembubaran sistem bandar menjadi masalah di Yunani. Jika Syndekmos Hierocles dari awal abad ke-6 diterima bulat-bulat, zaman Yunani baharian sangat urban dan mengandungi lebih kurang lapan puluh bandar. Kemakmuran yang luar biasa ini dibuktikan oleh tinjauan arkeologi baru-baru ini di Aegea. Bagi Yunani baharian lewat, paradigma kemakmuran dan transformasi adalah lebih tepat dan berguna daripada paradigma kemerosotan dan kejatuhan."

Bibliografi

[sunting | sunting sumber]