Zalina Azman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Zalina Azman
Kelahiran
Zalina Shaharah binti Azman

1963 (umur 60–61)
Hilang padaNovember 2021; 2 tahun yang lalu (2021-11)
Shah Alam, Selangor, Malaysia
PendidikanIjazah Sarjana Kewartawanan
Pusat pendidikanCity University, London
PekerjaanPenyampai berita, pengacara televisyen, wartawan
Tahun aktif1987–2002
Pasangan
  • Norman Raja Ahmad Noor Din (bercerai)
  • Anuar Adam (bercerai)
  • Colin Johan Robertson (bercerai)
Anak-anak2

Zalina Shaharah Azman ialah seorang bekas penyampai berita, wartawan dan pengacara televisyen Malaysia. Beliau terkenal sebagai penyampai berita Buletin Utama dan pengacara rancangan Money Matters di TV3.[1][2][3]

Kehidupan dan kerjaya[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Indonesia dan dibesarkan di Kuala Lumpur, Malaysia, Zalina merupakan pemegang Ijazah Sarjana Kewartawanan di City University, London, England.[2]

Beliau memulakan kerjayanya di TV3 pada 1990 dan pernah diberi jolokan "hos wanita paling glamor". Semasa berkhidmat di TV3, Zalina menjadi penyampai berita Buletin Utama dan Nightline serta mengacarakan rancangan Money Matters.[4][5] Beliau juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai pengacara Anugerah Juara Lagu ke-15 pada 2000 dan ke-16 pada 2001 bersama Adiel Abdul Ghafar.[2]

Zalina turut menulis beberapa buku, antaranya ialah Mystical Mangla dan V for Vintage.[2][6]

Kehidupan peribadi[sunting | sunting sumber]

Beliau telah berkahwin sebanyak 3 kali dan mempunyai anak daripada dua perkahwinan tersebut. Bersama suami pertamanya, Norman Raja Ahmad Noor Din, Zalina mempunyai seorang anak lelaki, Mikhael Norman[7] dan seorang anak perempuan, Anzarryn dari perkahwinan keduanya bersama Anuar Adam. Perkahwinan ketiganya ialah bersama Colin Johan Robertson pada 2003 dan tidak dikurniakan anak daripada perkahwinan mereka.[8][9]

Selepas menamatkan kerjayanya di TV3 pada 2002, Zalina memilih untuk menyepikan diri dan menjalani kehidupan privasi.[2]

Kehilangan[sunting | sunting sumber]

Pada November 2021, anak lelaki Zalina, Mikhael Norman membuat laporan polis berhubung kehilangan ibunya selepas Mikhael gagal menghubungi ibunya bagi memaklumkan kepadanya bahawa datuknya (bapa Zalina), dimasukkan ke hospital.[10]

Pada 29 November, Mikhael dan bapa saudaranya berkunjung ke kediaman Zalina yang dipercayai tinggal sendirian di Seksyen 3, Shah Alam, Selangor. Mereka mendapati bahawa kereta Zalina berada di kawasan rumah, namun keadaan rumahnya juga kelihatan berselerak dan tidak tersusun. Bagaimanapun, Zalina tidak dijumpai selepas segala usaha pencariannya dijalankan.[10]

Pada 18 Julai 2022, polis membuat hebahan berkaitan kehilangan Zalina kepada umum bagi membantu siasatan kes terbabit. Di dalam maklumat hebahan itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menyiarkan gambar Zalina serta maklumat mengenai iaitu berkulit hitam manis, bertubuh kecil dan kurus dengan ketinggian 158 sentimeter.[10]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Zainuri Misfar (6 Ogos 1994). "Zalina sedia pikul tugas baru". Berita Harian. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  2. ^ a b c d e Azma ML (19 Julai 2022). "Di mana Zalina Azman? 6 info menarik bekas pembaca berita wanita yang hilang". Sinar Plus. Sinar Harian. Dicapai pada 1 Ogos 2022.
  3. ^ Chow Ee-Tan (23 Jun 1996). "TV3's glamour girl-next-door". Sunday Mail. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  4. ^ "Money Matters bersama Zalina". Harian Metro. 19 Februari 1993. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  5. ^ Saniboey Mohd Ismail (28 Julai 1996). "Zalina nan satu". Metro Ahad. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  6. ^ Siti Azira Abd Aziz (11 Jun 2009). "Zalina Azman: Menulis buku selepas bersara bukan 'trend'". mStar Online. Dicapai pada 1 Ogos 2018.
  7. ^ Mohd Johari Ibrahim (22 Ogos 1992). "Zalina tuntut fasakh". Harian Metro. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  8. ^ Suzan Ahmad (20 Julai 2003). "Jodoh Zalina di London". Berita Minggu. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  9. ^ Suzan Ahmad (18 Julai 2003). "Zalina, Colin temui jodoh di London". Berita Harian. Dicapai pada 1 Ogos 2019.
  10. ^ a b c Ruwaida Md Zain (18 Julai 2022). "Bekas personaliti TV3, Zalina Azman hilang sejak November". Harian Metro. Dicapai pada 1 Ogos 2022.