Skala masa geologi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Zaman (geologi))
Skala masa geologi dengan perwakilan berkadar eon/eonotem dan era/eratem. Senozoik disingkatkan kepada Sz. Gambar berikut juga menunjukkan beberapa peristiwa terpenting dalam sejarah Bumi dan evolusi kehidupan umum. Di sini "juta tahun lalu" (jtl.) digunakan menggantikan megaanus (Ma) untuk mewakili satu juta (106) tahun.
Rajah perwakilan alternatif skala masa geologi (SMG) yang ditunjuk dalam bentuk jam. Nota: SMG yang sebenarnya dalam bentuk yang lurus bukannya berbentuk cecincin.

Skala masa geologi (SMG) merupakan perwakilan masa berdasarkan rekod geologi Bumi. Ia merupakan sebuah sistem pentarikhan kronologi yang menggunakan kronostratigrafi (proses mengaitkan lapisan stratum dengan masa) dan geokronologi (cabang saintifik geologi yang bertujuan untuk menentukan umur batuan). Ia digunakan oleh terutamanya ahli sains Bumi (termasuk ahli geologi, ahli paleontologi, ahli geofizik, ahli geokimia dan ahli paleoklimatologi) untuk menerangkan masa dan hubungan peristiwa dalam sejarah geologi. Skala masa tersebut berkembang melalui kajian lapisan batuan dan pemerhatian hubungannya bersama ciri-ciri identifikasi seperti sifat litologi, sifat paleomagnet dan fosil. Takrifan unit antarabangsa masa geologi piawai adalah tanggungjawab Suruhanjaya Stratigrafi Antarabangsa (ICS), sebuah badan konstituen Kesatuan Sains Geologi Antarabangsa (IUGS), yang objektif utamanya[1] adalah untuk mentakrifkan dengan tepat unit-unit kronostratigrafi global pada Carta Kronostratigrafi Antarabangsa (ICC)[2] yang digunakan untuk mentakrifkan pembahagian masa geologi. Pembahagian kronostratigrafi pula digunakan untuk mentakrifkan unit geokronologi.[2]

Walaupun beberapa istilah serantau masih digunakan,[3] jadual masa geologi yang dibentangkan dalam rencana ini mematuhi tatanama, umur dan kod warna yang ditetapkan oleh ICS.[4][5]

Terminologi[sunting | sunting sumber]

SMG dibahagikan kepada unit kronostratigrafi dan padanan unit geokronologi. Unit-unit tersebut diwakili pada ICC yang diterbitkan oleh ICS; namun, istilah serantau masih digunakan di sesetengah kawasan.

Kronostratigrafi merupakan unsur stratigrafi yang mengurus hubungan antara jasad-jasad batuan dan pengukuran relatif masa geologi.[6] Ia merupakan satu proses yang melibatkan penetapan stratum-stratum tersendiri yang terletak antara ufuk-ufuk stratigrafi tertakrif pada selangan relatif bagi tempoh masa geologi.

Satu unit kronostratigrafi ialah sebuah jasad batuan, sama ada berlapis mahupun tidak berlapis, yang ditakrifkan kedudukannya antara ufuk-ufuk stratigrafi tertentu yang mewakili selang masa geologi yang spesifik. Satu unit ini termasuk semua batuan yang mewakili selang masa geologi tertentu, dan hanya pada rentangan masa ini.[7] Eonotem, eratem, sistem, siri, subsiri, peringkat, dan subperingkat merupakan unit kronostratigrafi berhierarki.[7]

Geokronologi merupakan cabang saintifik geologi yang bertujuan untuk menentukan umur batu-batuan, fosil-fosil, dan mendapan-mendapan sama ada melalui kaedah mutlak (contohnya, pentarikhan radiometri) atau kaedah relatif (contohnya: kedudukan stratigrafi, kepaleomagnetan, nisbah isotop stabil).[8]

Satu unit geokronologi merupakan satu subbahagian masa geologi. Ia merupakan perwakilan berangka bagi sifat tak ketara (masa).[9] Eon, era, tempoh/zaman, epok, subepok, usia dan subusia merupakan unit-unit geokronologi berhierarki.[10] Geokronometri ialah bidang geokronologi yang mengukur masa geologi secara angkaan.[9]

Bahagian dan Titik Stratotip Sempadan Global (GSSP) ialah titik rujukan yang dipersetujui di peringkat antarabangsa pada bahagian stratigrafi yang mentakrifkan sempadan-sempadan bawah untuk peringkat-peringkat pada skala masa geologi.[11] (Baru-baru ini istilah ini telah digunakan untuk menentukan asas bagi satu unit sistem)[12]

Umur Stratigrafi Piawai Global (GSSA)[13] ialah titik rujukan kronologi dan berbentuk hanya angka yang digunakan untuk mentakrifkan asas unit geokronologi sebelum zaman Kriogen. Titik-titik rujukan ini masaih ditakrifkan secara sebarangan.[14] Ia digunakan apabila GSSP masih belum ditubuhkan. Penyelidikan sedang dijalankan untuk mentakrifkan GSSP untuk asas semua unit yang pada masa ini ditakrifkan oleh GSSA.

Perwakilan berangka (geokronometri) bagi unit geokronologi boleh, dan lebih kerap tertakluk pada perubahan apabila geokronologi memperhalusi geokronometri tersebut, manakala padanan unit kronostratigrafi kekal sama, dan semakannya kurang berlaku. Contohnya, pada awal 2022 sempadan antara tempoh Ediakara dan tempoh Kambria (unit geokronologi) telah disemak daripada 541 Ma kepada 538.8 Ma tetapi takrifan batu untuk sempadannya (GSSP) masih di pangkal Kambrium, dan dengan itu sempadan antara sistem Edikara dan sistem Kambria (unit kronostratigrafi) tidak berubah, hanya geokronometri telah diperhalusi.

Nilai berangka pada ICC diwakili oleh unit Ma (megaanum) yang bermaksud "juta tahun lalu", iaitu, 201.4 ± 0.2 Ma, sempadan bawah Tempoh Jura, ditakrifkan sebagai 201,400,000 tahun dengan ketidakpastian 200,000 tahun. Unit awalan metrik lain yang biasa digunakan oleh ahli geologi ialah Ga (gigaanum, bilion tahun lalu), dan ka (kiloanum, ribuan tahun lalu), dengan yang terakhir sering diwakili dalam unit yang dikalibrasi (sebelum kini).

Pembahagian masa geologi[sunting | sunting sumber]

  • Satu eon merupakan satu unit masa geokronologi yang terbesar dan bersamaan dengan satu eonotem kronostratigrafi.[15] Terdapat empat eon yang ditakrifkan secara rasmi: Hadean, Arkean, Proterozoik dan Fanerozoik.[16]
  • Satu era merupakan satu unit masa geokronologi kedua terbesar (selepas eon) dan bersamaan dengan satu eratem kronostratigrafi.[17][18] Terdapat sepuluh era yang ditakrifkan: Eoarkean, Paleoarkean, Mesoarkean, Neoarkean, Paleoproterozoik, Mesoproterozoik, Neoproterozoik, Paleozoik, Mesozoik dan Senozoik, tanpa satu pun era tersebut dari eon Hadean.[19]
  • Satu tempoh (atau zaman) bersamaan dengan satu sistem kronostratigrafi.[20][21] Terdapat 22 tempoh yang ditetapkan, dengan tempoh kini ialah tempoh Kuaterner.[22] Terdapat pengecualian kerana terdapat dua subtempoh digunakan untuk Tempoh Karbon.[20]
  • Satu epok ialah unit geokronologi yang kedua terkecil. Ia bersamaan dengan satu siri kronostratigrafi.[23][24] Terdapat 37 epok yang ditentukan dan satu epok yang tidak formal. Terdapat juga 11 subepok yang semuanya berada dalam tempoh Neogen dan tempoh Kuarter.[25] Penggunaan subepok sebagai unit formal dalam kronostratigrafi antarabangsa telah disahkan pada tahun 2022.[26]
  • Satu usia ialah satu unit geokronologi hierarki terkecil dan bersamaan dengan satu peringkat kronostratigrafi.[27][28] Terdapat 96 usia formal dan lima usia tidak formal.[29]
  • Satu kron ialah satu unit geokronologi formal tidak berhierarki untuk kedudukan yang tidak ditentukan dan bersamaan dengan satu kronozon kronostratigrafi.[30] Unit tersebut berkaitan dengan unit magnetostratigrafi, litostratigrafi atau biostratigrafi kerana ia berdasarkan unit stratigrafi atau ciri geologi yang ditakrifkan sebelum ini.

Pecahan-pecahan geokronologi Awal dan Akhir digunakan sebagai padanan untuk pecahan-pecahan kronostratigrafi Bawah dan Atas, contohnya, Tempoh Trias Awal (unit geokronologi) digunakan sebagai gantian kepada Siri Trias Bawah (unit kronostratigrafi).

Batuan yang mewakili sesuatu unit kronostratigrafi diberi merupakan unit kronostratigrafi tersebut, dan masa apabila ia dibaringkan ialah unit geokronologi, iaitu, batuan yang mewakili Siri Silur merupakan Siri Silur itu sendiri dan ia dimendapkan sewaktu Tempoh Silur.

Unit formal dan berhierarki untuk skala masa geologi (dari yang terbesar hingga terkecil)
Unit kronostratigrafi (stratum) Unit geokronologi (masa) Jangka masa [note 1]
Eonotem Eon Beberapa ratus juta tahun hingga dua bilion tahun
Eratem Era Berpuluh hingga ratusan juta tahun
Sistem Tempoh/Zaman Berjuta tahun hingga berpuluh juta tahun
Siri Epok Beratus ribu tahun hingga berpuluh juta tahun
Subsiri Subepok Beribu tahun hingga berjuta tahun
Peringkat Usia Beribu tahun hingga berjuta tahun

Penamaan masa geologi[sunting | sunting sumber]

Nama-nama pada unit masa geologi ditakrifkan untuk unit-unit kronostratigrafi dengan padanan unit geokronologi yang berkongsi nama yang sama dengan perbezaan hanya pada unit sahaja (contohnya: Eonotem Fanerozoik menjadi Eon Fanerozoik). Nama-nama eratem pada eonotem Fanerozoik dipilih untuk mencermin perubahan ketara dalam sejarah segala kehidupan di muka Bumi: Paleozoik (kehidupan lama), Mesozoik (kehidupan pertengahan), dan Senozoik (kehidupan baharu). Nama-nama sistem pula asal dari pelbagai sumber, dengan beberapa daripadanya memberi bayangan terhadap kedudukan kronologi (contohnya: Paleogen), manakala yang lain pula ada yang diberi nama berdasarkan litologi (contohnya: Kapur), ada yang berdasarkan geografi (contohnya: Perm), dan ada yang berasal dari suku tertentu (contohnya Ordovisi). Kebanyakan siri dan subsiri yang diperakui pada masa kini dinamakan berdasarkan kedudukannya dalam sesuatu sistem/siri (awal/tengah/akhir); namun ICS memperjuang untuk kesemua siri dan subsiri baharu supaya diberi nama berdasarkan ciri geografi dalam lingkungan stratotipnya atau ketempatan jenis batu rujukannya. Nama-nama peringkat perlulah juga diterbit dari sesuatu ciri geografi pada ketempatan stratotipnya atau ketempatan batu rujukan tersebut.[6]

Secara tidak formalnya, jangka masa sebelum Tempoh Kambria sering dirujuk sebagai supereon Prakambria.[31][note 2]

Jangka masa dan etimologi nama-nama eonotem/eon yang dikemuka oleh ICS
Nama Julat masa Tempoh (juta tahun) Etimologi nama
Fanerozoik 538.8 hingga 0 juta tahun dahulu 538.8 Dari gubahan perkataan Yunani φανερός (phanerós) bermaksud 'jelas' atau 'lebat', dan ζωή (zoē) bermaksud 'kehidupan'.
Proterozoik 2,500 hingga 538.8 juta tahun dahulu 1961.2 Dari gubahan perkataan Yunani πρότερος (próteros) bermaksud 'terlebih dahulu' atau 'terlebih awal', dan ζωή (zoē) bermaksud 'kehidupan'.
Arkean 4,031 hingga 2,500 juta tahun dahulu 1531 Dari perkataan Yunani αρχή (archē), bermaksud 'permulaan, asal usul'.
Hadean 4,567.3 hingga 4,031 juta tahun dahulu 536.3 Dari Hades, Yunani: ᾍδης, translit. Háidēs, nama dewa dunia dasar (neraka) mengikut mitologi Yunani.
Julat masa dan etimologi nama-nama eratem/era ICS
Nama Julat masa Tempoh (juta tahun) Etimologi nama
Senozoik 66 hingga 0 juta tahun dahulu 66 Dari gubahan perkataan Yunani καινός (kainós) bermaksud ‘baharu’, dan ζωή (zōḗ) bermaksud 'kehidupan'.
Mesozoik 251.9 hingga 66 juta tahun dahulu 185.902 Dari gubahan perkataan Yunani μέσο (méso) bermaksud 'pertengahan', dan ζωή (zōḗ) bermaksud 'kehidupan'.
Paleozoik 538.8 hingga 251.9 juta tahun dahulu 286.898 Dari gubahan perkataan Yunani παλιός (palaiós) bermaksud 'lama', dan ζωή (zōḗ) bermaksud 'kehidupan'.
Neoproterozoik 1,000 hingga 538.8 juta tahun dahulu 461.2 Dari gubahan perkataan Yunani νέος (néos) bermaksud 'baharu' atau 'muda', πρότερος (próteros) bermaksud 'terlebih dahulu' atau 'terlebih awal', dan ζωή (zōḗ) bermaksud 'kehidupan'.
Mesoproterozoik 1,600 hingga 1,000 juta tahun dahulu 600 Dari gubahan perkataan Yunani μέσο (méso) bermaksud 'middle', πρότερος (próteros) bermaksud 'terlebih dahulu' atau 'terlebih awal', dan ζωή (zōḗ) bermaksud 'kehidupan'.
Paleoproterozoik 2,500 hingga 1,600 juta tahun dahulu 900 Dari gubahan perkataan Yunani παλιός (palaiós) bermaksud 'old', πρότερος (próteros) bermaksud 'terlebih dahulu' atau 'terlebih awal', dan ζωή (zōḗ) bermaksud 'kehidupan'.
Neoarkean 2,800 hingga 2,500 juta tahun dahulu 300 Dari gubahan perkataan Yunani νέος (néos) bermaksud 'baharu' atau 'muda', dan ἀρχαῖος (arkhaîos) bermaksud 'kuno'.
Mesoarkean 3,200 hingga 2,800 juta tahun dahulu 400 Dari gubahan perkataan Yunani μέσο (méso) bermaksud ‘pertengahan’, dan ἀρχαῖος (arkhaîos) bermaksud 'kuno'.
Paleoarkean 3,600 hingga 3,200 juta tahun dahulu 400 Dari gubahan perkataan Yunani παλιός (palaiós) bermaksud 'lama', dan ἀρχαῖος (arkhaîos) bermaksud 'kuno'.
Eoarkean 4,031 hingga 3,600 juta tahun dahulu 431 Dari gubahan perkataan Yunani Ηώς (Ēṓs) bermaksud 'senja', dan ἀρχαῖος (arkhaîos) bermaksud 'kuno'.
Julat masa dan etimologi nama-nama sistem/tempoh ICS
Nama Julat masa Tempoh (juta tahun) Etimologi nama
Kuaterner[note 3] 2.6 hingga 0 juta tahun dahulu 2.58 Pertama kali diperkenalkan oleh Jules Desnoyers pada tahun 1829 untuk mendapan yang terdapat di Lembangan Seine Perancis yang kelihatan lebih muda berbanding batu bata tempoh Tertier.[note 4][32]
Neogen 23 hingga 2.6 juta tahun dahulu 20.45 Diterbit dari gubahan perkataan Yunani νέος (néos) bermaksud 'baharu', dan γενεά (geneá) bermaksud 'genesis' atau 'kelahiran'.
Paleogen 66 hingga 23 juta tahun dahulu 42.97 Diterbit dari gubahan perkataan Yunani παλιός (palaiós) bermaksud 'old', dan γενεά (geneá) bermaksud 'genesis' atau 'kelahiran'.
Kapur ~145 hingga 66 juta tahun dahulu ~79 Merupakan terjemahan Bahasa Melayu langsung dari perkataan “Cretaceous” dalam Bahasa Inggeris, yang juga diterbit dari perkataan Terrain Crétacé yang digunakan pada tahun 1822 oleh Jean d'Omalius d'Halloy, sebagai rujukan untuk lapisan kapur yang ekstensif pada Lembangan Paris.[33] Paling awal perkataan ini diterbit dari perkataan bahasa Latin crēta bermaksud kapur.
Jura 201.4 hingga 145 juta tahun dahulu ~56.4 Diberi nama berdasarkan Kawasan Pergunungan Jura. Asalnya digunakan oleh Alexander von Humboldt sebagai 'Jura Kalkstein' (batu kapur Jura) pada tahun 1799.[34] Alexandre Brongniart merupakan orang pertama untuk menerbit istilah “Jura” dalam bidang geologi pada tahun 1829.[35][36]
Trias 251.9 hingga 201.4 juta tahun dahulu 50.502 Dari perkataan Trias oleh Friedrich August von Alberti yang merujuk kepada tiga lapisan bentukan geologi yang tersebar luas di selatan Jerman
Perm 298.9 hingga 251.9 juta tahun dahulu 46.998 Diberi nama berdasarkan kawasan bersejarah Perm, Empayar Rusia.[37]
Karbon 358.9 hingga 298.9 juta tahun dahulu 60 Diringkaskan terjemahan dari Bahasa Inggeris “Carboniferous”, yang bermakna 'memikul arang', yang berasal dari bahasa Latin carbō (arang) dan ferō (untuk memikul).[38]
Devon 419.2 hingga 358.9 juta tahun dahulu 60.3 Diberi nama berdasarkan Devon, England.[39]
Silures 443.8 hingga 419.2 juta tahun dahulu 24.6 Diberi nama berdasarkan salah satu dari puak Celt yakni puak Silures.[40]
Ordovisi 485.4 hingga 443.8 juta tahun dahulu 41.6 Diberi nama berdasarkan puak Celt yang bernama Ordovices.[41][42]
Kambria 538.8 hingga 485.4 juta tahun dahulu 53.4 Diberi nama berdasarkan Kambria, bentuk pelatinan nama Welsh untuk Wales, Cymru.[43]
Ediakara 635 hingga 538.8 juta tahun dahulu ~96.2 Diberi nama berdasarkan Bukit Ediakara. Ediakara mungkin merupakan bentuk seleweng dari perkataan bahasa orang Kuyani 'Yata Takarra' bermaksud tanah keras atau berbatu.[44][45]
Kriogen 720 hingga 635 juta tahun dahulu ~85 Dari gubahan perkataan Yunani κρύος (krýos) bermaksud 'sejuk', dan, γένεσις (génesis) bermaksud 'kelahiran'.[3]
Tonos 1,000 hingga 720 juta tahun dahulu ~280 Dari perkataan Yunani τόνος (tónos) bermaksud 'regang'.[3]
Stenos 1,200 hingga 1,000 juta tahun dahulu 200 Dari perkataan Yunani στενός (stenós) bermaksud 'sempit'.[3]
Ektasis 1,400 hingga 1,200 juta tahun dahulu 200 Dari perkataan Yunani ἔκτᾰσῐς (éktasis) bermaksud 'lanjutan'.[3]
Kalimma 1,600 hingga 1,400 juta tahun dahulu 200 Dari perkataan Yunani κάλυμμᾰ (kálumma) bermaksud 'pelitup'.[3]
Stateros 1,800 hingga 1,600 juta tahun dahulu 200 Dari perkataan Yunani σταθερός (statherós) bermaksud 'stabil'.[3]
Orosira 2,050 hingga 1,800 juta tahun dahulu 250 Dari perkataan Yunani ὀροσειρά (oroseirá) bermaksud 'banjaran gunung'.[3]
Riasia 2,300 hingga 2,050 juta tahun dahulu 250 Dari perkataan Yunani ῥύαξ (rhýax) bermaksud 'aliran lava'.[3]
Sideros 2,500 hingga 2,300 juta tahun dahulu 200 Dari perkataan Yunani σίδηρος (sídēros) bermaksud 'besi'.[3]
Julat masa dan etimologi nama-nama siri/epok ICS
Name Julat masa Tempoh (juta tahun) Etimologi nama
Holosen 0.012 hingga 0 juta tahun dahulu 0.0117 Dari gubahan perkataan Yunani ὅλος (hólos) bermaksud 'keseluruhan', manakala καινός (kainós) bermaksud 'baharu' melalui bahasa Perancis
Pleistosen 2.58 hingga 0.012 juta tahun dahulu 2.5683 Dicipta pada awal 1830-an dari perkataan Yunani πλεῖστος (pleîstos) bermaksud 'paling', manakala καινός (kainós) bermaksud 'baharu'
Pliosen 5.33 hingga 2.58 juta tahun dahulu 2.753 Dicipta pada awal 1830-an dari perkataan Yunani πλείων (pleíōn) bermaksud 'lebih', manakala καινός (kainós) bermaksud 'baharu'
Miosen 23.03 hingga 5.33 juta tahun dahulu 17.697 Dicipta pada awal 1830-an dari perkataan Yunani μείων (meíōn) bermaksud 'kurang', manakala καινός (kainós) bermaksud 'baharu'
Oligosen 33.9 hingga 23.03 juta tahun dahulu 10.87 Dicipta pada 1850-an dari perkataan Yunani ὀλίγος (olígos) bermaksud 'sedikit', manakala καινός (kainós) bermaksud 'baharu' melalui bahasa Jerman
Eosen 56 hingga 33.9 juta tahun dahulu 22.1 Dicipta pada awal 1830-an dari perkataan Yunani ἠώς (ēōs) bermaksud 'senja', manakala καινός (kainós) bermaksud 'baharu', yang bermakna senja kehidupan moden pada epok tersebut
Paleosen 66 hingga 56 juta tahun dahulu 10 Digubah oleh Wilhelm Philippe Schimper pada tahun 1874 yang merupakan lakuran kepada paleo- + Eocene, tetapi pada permukaannya dari perkataan Yunani παλαιός (palaios) bermaksud 'lama', manakala καινός (kainós) bermaksud 'baharu' melalui bahasa Perancis
Kapur Atas 100.5 hingga 66 juta tahun dahulu 34.5 Lihat pada etimologi Kapur
Kapur Bawah 145 hingga 100.5 juta tahun dahulu 44.5
Jura Atas
161.5 hingga 145 juta tahun dahulu 16.5 Lihat pada etimologi Jura
Jura Tengah 174.7 hingga 161.5 juta tahun dahulu 13.2
Jura Bawah
201.4 hingga 174.7 juta tahun dahulu 26.7
Trias Atas 237 hingga 201.4 juta tahun dahulu 35.6 Lihat pada etimologi Trias
Trias Tengah
247.2 hingga 237 juta tahun dahulu 10.2
Trias Bawah 251.9 hingga 247.2 juta tahun dahulu 4.702
Leping 259.51 hingga 251.9 juta tahun dahulu 7.608 Diberi nama berdasarkan Leping, Jiangxi, Republik Rakyat Cina. Nama ini berasal dari perkataan Bahasa Cina Mandarin 乐平 (lèpíng) bermaksud 'irama yang aman damai'
Guadalup 273.01 hingga 259.51 juta tahun dahulu 13.5 Diberi nama berdasarkan Pergunungan Guadalupe di kawasan barat daya AS, paling awal dari perkataan Bahasa Arab وَادِي ٱل (wādī al) bermaksud 'lembah kepada sesuatu', dengan tambahan apitan akhir dari bahasa Latin lupus bermaksud 'serigala' melalui Bahasa Sepanyol
Cisural 298.9 hingga 273.01 juta tahun dahulu 25.89 Dari bahasa Latin cis- (sebelum) + bahasa Rusia Урал (Ural), merujuk kepada lereng kawasan Pergunungan Ural
Pennsilvania Atas 307 hingga 298.9 juta tahun dahulu 8.1 Diberi nama berdasarkan negeri AS Pennsylvania, yang berasal dari gubahan William Penn + perkataan bahasa Latin silvanus (hutan) + -ia dengan analogi kepada Transylvania
Pennsilvania Tengah 315.2 hingga 307 juta tahun dahulu 8.2
Pennsilvania Bawah 323.2 hingga 315.2 juta tahun dahulu 8
Mississippi Atas 330.9 hingga 323.2 juta tahun dahulu 7.7 Diberi nama berdasarkan Sungai Mississippi, dari perkataan bahasa Ojibwe ᒥᐦᓯᓰᐱ (misi-ziibi) bermaksud 'sungai besar'
Mississippi Tengah 346.7 hingga 330.9 juta tahun dahulu 15.8
Mississippi Bawah 358.9 hingga 346.7 juta tahun dahulu 12.2
Devon Atas 382.7 hingga 358.9 juta tahun dahulu 23.8 Lihat pada etimologi Devon
Devon Tengah 393.3 hingga 382.7 juta tahun dahulu 10.6
Devon Bawah 419.2 hingga 393.3 juta tahun dahulu 25.9
Pridoli 423 hingga 419.2 juta tahun dahulu 3.8 Diberi nama berdasarkan kawasan rizab semulajadi Homolka a Přídolí berdekatan Prague, Czechia
Ludlow 427.4 hingga 423 juta tahun dahulu 4.4 Diberi nama berdasarkan Ludlow, England
Wenlock 433.4 hingga 427.4 juta tahun dahulu 6 Diberi nama berdasarkan Tebing Wenlock di Shropshire, England
Llandoveri 443.8 hingga 433.4 juta tahun dahulu 10.4 Diberi nama berdasarkan Llandovery, Wales
Ordovisi Atas 458.4 hingga 443.8 juta tahun dahulu 14.6 Lihat pada etimologi Ordovisi
Ordovisi Tengah 470 hingga 458.4 juta tahun dahulu 11.6
Ordovisi Bawah 485.4 hingga 470 juta tahun dahulu 15.4
Furong 497 hingga 485.4 juta tahun dahulu 11.6 Dari perkataan bahasa Cina Mandarin 芙蓉 (fúróng) bermaksud 'teratai', merujuk kepada simbol provinsi Hunan
Miaoling 509 hingga 497 juta tahun dahulu 12 Diberi nama berdasarkan the kawasan pergunungan Miao Ling [zh] di Guizhou, makna bahasa Cina Mandarinnya ialah 'puncak bercambah'
Siri 2 Kambria (tidak formal) 521 hingga 509 juta tahun dahulu 12 Lihat pada etimologi Kambria
Terreneuve 538.8 hingga 521 juta tahun dahulu 17.8 Diberi nama berdasarkan Terre-Neuve, suatu pinjaman terjemah dari bahasa Perancis untuk Newfoundland

Sejarah dan tatanama skala masa[sunting | sunting sumber]

Rajah skala masa geologi

Pada zaman Yunani Purba, Aristotle melihat bahawa fosil kerang laut dari batu adalah sama seperti yang terdapat di pantai dan disimpulkan bahawa fosil pernah menjadi sebahagian daripada haiwan yang hidup. Beliau memberi alasan bahawa kedudukan tanah dan laut telah berubah selama jangka masa yang lama. Leonardo da Vinci bersetuju dengan pandangan Aristotle bahawa fosil merupakan tinggalan kehidupan purba.[46]

Ahli geologi abad ke-11 Ibnu Sina dan bishop Dominica Albertus Magnus mengembangkan penjelasan Aristotle menjadi satu teori cecair membatu. [47] Ibnu Sina turut pertama kalinya mencadangkan salah satu prinsip asas skala masa geologi, hukum superposisi strata, ketika membincangkan asal-usul gunung dalam Kitab Penyembuhan pada 1027.[48][49] Naturalis Cina Shen Kuo (1031-1095) juga mengakui konsep 'masa dalam'.[50]

Prinsip-prinsip asas skala masa geologi (geologikal) kemudiannya ditetapkan oleh Nicholas Steno pada akhir abad ke-17. Steno berhujah bahawa lapisan batu (atau strata) terbaring dalam kaedah penyesaran, dan setiap satu lapisan merupakan "kepingan" masa. Beliau juga merumuskan hukum superposisi, yang menyatakan bahawa mana-mana strata diberikan mungkin lebih tua daripada yang di atasnya dan lebih muda daripada yang di bawahnya. Walaupun prinsip Steno adalah mudah, mengaplikasikan hukum tersebut pada batu sebenar adalah amat kompleks. Sepanjang abad ke-18 ahli geologi menyedari bahawa:

  1. Urutan strata sering terhakis, diputarbelit, disengetkan, malah terbalik selepas pemendapan;
  2. Strata ditetapkan pada masa yang sama di kawasan yang berbeza boleh memberi penampilan yang sama sekali berbeza;
  3. Strata mana-mana kawasan yang diberikan hanya merupakan sebahagian daripada sejarah panjang Bumi.

Rentang masa grafik terkondensasi[sunting | sunting sumber]

Garis masa berikut menunjukkan skala demi skala waktu geologi. Garis masa pada baris pertama menunjukkan seluruh zaman dari masa pembentukan Bumi sehingga ke zaman kini, tetapi memberikan ruang yang amat pendek untuk eon terkini. Garis masa pada baris kedua menunjukkan gambaran lanjutan untuk eon terkini. Dalam cara yang sama, era terkini juga dikembangkan di garis masa pada baris ketiga, manakala zaman terkini pula dikembangkan pada baris keempat, serta epok terkini pada baris kelima.

SiderosRiaksiaOrosiraStaterosKalimmaEktasisStenosTonosKriogenEdiakaraEoarkeanPaleoarkeanMesoarkeanNeoarkeanPaleoproterozoikMesoproterozoikNeoproterozoikPaleozoikMesozoikSenozoikHadeanArkeanProterozoikFanerozoikPrakambria
KambriaOrdovisiUsia SiluresZaman DevonZaman KarbonUsia PermTriasJuraUsia KapurPaleogenNeogenKuartenerPaleozoikMesozoikSenozoikFanerozoik
PaleosenEosenOligosenMiosenPliosenPleistosenHolosenPaleogenNeogenKuarternerSenozoik
GreenlandNorthgripMeghalayanHolosen
Berjuta-juta tahun (baris pertama, kedua, ketiga, dan keempat)
Beribu-ribu tahun (baris kelima)

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Jangka masa untuk unit masa geologi berbeza-beza secara meluas, dan tiada batasan angka yang tetap terhadap jangka masa yang boleh diwakilinya. Jangka masa tersebut dihadkan oleh jangka masa unit yang berhierarki lebih tinggi darinya, dan kepada sempadan kronostratigrafi yang ditakrifkan olehnya.
  2. ^ Prakambria merupakan istilah geologi tidak formal untuk tempoh masa sebelum Tempoh Kambria
  3. ^ Denominasi masa ini tidak diiktiraf secara universal oleh ahli geologi
  4. ^ Tertier ialah sistem/tempoh geologi yang kini usang penggunaannya yang menjangkau 66 jtd hingga 2.6 jtd. Ia tidak mempunyai persamaan yang tepat dalam ICC moden, tetapi lebih kurang setara dengan gabungan sistem/tempoh Paleogen dan Neogen.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Statues & Guidelines". International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-05.
  2. ^ a b Cohen, K.M.; Finney, S.C.; Gibbard, P.L.; Fan, J.-X. (2013-09-01). "The ICS International Chronostratigraphic Chart". Episodes (dalam bahasa Inggeris) (ed. updated). 36 (3): 199–204. doi:10.18814/epiiugs/2013/v36i3/002. ISSN 0705-3797.
  3. ^ a b c d e f g h i j Van Kranendonk, Martin J.; Altermann, Wladyslaw; Beard, Brian L.; Hoffman, Paul F.; Johnson, Clark M.; Kasting, James F.; Melezhik, Victor A.; Nutman, Allen P. (2012), "A Chronostratigraphic Division of the Precambrian", The Geologic Time Scale (dalam bahasa Inggeris), Elsevier: 299–392, doi:10.1016/b978-0-444-59425-9.00016-0, ISBN 978-0-444-59425-9, dicapai pada 2022-04-05
  4. ^ "Statues & Guidelines". International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-05.
  5. ^ "International Commission on Stratigraphy". International Geological Time Scale. Dicapai pada 5 June 2022.
  6. ^ a b "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  7. ^ a b "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  8. ^ "Chapter 3. Definitions and Procedures". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  9. ^ a b "Chapter 3. Definitions and Procedures". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  10. ^ "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  11. ^ "Global Boundary Stratotype Section and Points". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  12. ^ Knoll, Andrew; Walter, Malcolm; Narbonne, Guy; Christie-Blick, Nicholas (2006). "The Ediacaran Period: a new addition to the geologic time scale". Lethaia (dalam bahasa Inggeris). 39 (1): 13–30. doi:10.1080/00241160500409223.
  13. ^ Remane, Jürgen; Bassett, Michael G; Cowie, John W; Gohrbandt, Klaus H; Lane, H Richard; Michelsen, Olaf; Naiwen, Wang; the cooperation of members of ICS (1996-09-01). "Revised guidelines for the establishment of global chronostratigraphic standards by the International Commission on Stratigraphy (ICS)". Episodes (dalam bahasa Inggeris). 19 (3): 77–81. doi:10.18814/epiiugs/1996/v19i3/007. ISSN 0705-3797.
  14. ^ "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  15. ^ Michael Allaby (2020). A dictionary of geology and earth sciences (ed. Fifth). Oxford. ISBN 978-0-19-187490-1. OCLC 1137380460.
  16. ^ Cohen, K.M.; Finney, S.C.; Gibbard, P.L.; Fan, J.-X. (2013-09-01). "The ICS International Chronostratigraphic Chart". Episodes (dalam bahasa Inggeris) (ed. updated). 36 (3): 199–204. doi:10.18814/epiiugs/2013/v36i3/002. ISSN 0705-3797.
  17. ^ "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  18. ^ Michael Allaby (2020). A dictionary of geology and earth sciences (ed. Fifth). Oxford. ISBN 978-0-19-187490-1. OCLC 1137380460.
  19. ^ Cohen, K.M.; Finney, S.C.; Gibbard, P.L.; Fan, J.-X. (2013-09-01). "The ICS International Chronostratigraphic Chart". Episodes (dalam bahasa Inggeris) (ed. updated). 36 (3): 199–204. doi:10.18814/epiiugs/2013/v36i3/002. ISSN 0705-3797.
  20. ^ a b "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  21. ^ Michael Allaby (2020). A dictionary of geology and earth sciences (ed. Fifth). Oxford. ISBN 978-0-19-187490-1. OCLC 1137380460.
  22. ^ Cohen, K.M.; Finney, S.C.; Gibbard, P.L.; Fan, J.-X. (2013-09-01). "The ICS International Chronostratigraphic Chart". Episodes (dalam bahasa Inggeris) (ed. updated). 36 (3): 199–204. doi:10.18814/epiiugs/2013/v36i3/002. ISSN 0705-3797.
  23. ^ "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  24. ^ Michael Allaby (2020). A dictionary of geology and earth sciences (ed. Fifth). Oxford. ISBN 978-0-19-187490-1. OCLC 1137380460.
  25. ^ Cohen, K.M.; Finney, S.C.; Gibbard, P.L.; Fan, J.-X. (2013-09-01). "The ICS International Chronostratigraphic Chart". Episodes (dalam bahasa Inggeris) (ed. updated). 36 (3): 199–204. doi:10.18814/epiiugs/2013/v36i3/002. ISSN 0705-3797.
  26. ^ Aubry, Marie-Pierre; Piller, Werner E.; Gibbard, Philip L.; Harper, David A. T.; Finney, Stanley C. (2022-03-01). "Ratification of subseries/subepochs as formal rank/units in international chronostratigraphy". Episodes (dalam bahasa Inggeris). 45 (1): 97–99. doi:10.18814/epiiugs/2021/021016. ISSN 0705-3797.
  27. ^ "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  28. ^ Michael Allaby (2020). A dictionary of geology and earth sciences (ed. Fifth). Oxford. ISBN 978-0-19-187490-1. OCLC 1137380460.
  29. ^ Cohen, K.M.; Finney, S.C.; Gibbard, P.L.; Fan, J.-X. (2013-09-01). "The ICS International Chronostratigraphic Chart". Episodes (dalam bahasa Inggeris) (ed. updated). 36 (3): 199–204. doi:10.18814/epiiugs/2013/v36i3/002. ISSN 0705-3797.
  30. ^ "Chapter 9. Chronostratigraphic Units". stratigraphy.org. International Commission on Stratigraphy. Dicapai pada 2022-04-02.
  31. ^ Shields, Graham A.; Strachan, Robin A.; Porter, Susannah M.; Halverson, Galen P.; Macdonald, Francis A.; Plumb, Kenneth A.; de Alvarenga, Carlos J.; Banerjee, Dhiraj M.; Bekker, Andrey; Bleeker, Wouter; Brasier, Alexander (2022). "A template for an improved rock-based subdivision of the pre-Cryogenian timescale". Journal of the Geological Society (dalam bahasa Inggeris). 179 (1): jgs2020–222. Bibcode:2022JGSoc.179..222S. doi:10.1144/jgs2020-222. ISSN 0016-7649. S2CID 236285974 Check |s2cid= value (bantuan).
  32. ^ Desnoyers, J. (1829). "Observations sur un ensemble de dépôts marins plus récents que les terrains tertiaires du bassin de la Seine, et constituant une formation géologique distincte; précédées d'un aperçu de la nonsimultanéité des bassins tertiares" [Observations on a set of marine deposits [that are] more recent than the tertiary terrains of the Seine basin and [that] constitute a distinct geological formation; preceded by an outline of the non-simultaneity of tertiary basins]. Annales des Sciences Naturelles (dalam bahasa Perancis). 16: 171–214, 402–491. From p. 193: "Ce que je désirerais ... dont il faut également les distinguer." (What I would desire to prove above all is that the series of tertiary deposits continued – and even began in the more recent basins – for a long time, perhaps after that of the Seine had been completely filled, and that these later formations – Quaternary (1), so to say – should not retain the name of alluvial deposits any more than the true and ancient tertiary deposits, from which they must also be distinguished.) However, on the very same page, Desnoyers abandoned the use of the term "Quaternary" because the distinction between Quaternary and Tertiary deposits wasn't clear. From p. 193: "La crainte de voir mal comprise ... que ceux du bassin de la Seine." (The fear of seeing my opinion in this regard be misunderstood or exaggerated, has made me abandon the word "quaternary", which at first I had wanted to apply to all deposits more recent than those of the Seine basin.)
  33. ^ d'Halloy, d'O., J.-J. (1822). "Observations sur un essai de carte géologique de la France, des Pays-Bas, et des contrées voisines" [Observations on a trial geological map of France, the Low Countries, and neighboring countries]. Annales des Mines. 7: 353–376.CS1 maint: multiple names: authors list (link) From page 373: "La troisième, qui correspond à ce qu'on a déja appelé formation de la craie, sera désigné par le nom de terrain crétacé." (The third, which corresponds to what was already called the "chalk formation", will be designated by the name "chalky terrain".)
  34. ^ Humboldt, Alexander von (1799). Ueber die unterirdischen Gasarten und die Mittel ihren Nachtheil zu vermindern: ein Beytrag zur Physik der praktischen Bergbaukunde (dalam bahasa Jerman). Vieweg.
  35. ^ Brongniart, Alexandre (1770-1847) Auteur du texte (1829). Tableau des terrains qui composent l'écorce du globe ou Essai sur la structure de la partie connue de la terre . Par Alexandre Brongniart,... (dalam bahasa Perancis).
  36. ^ Ogg, J.G.; Hinnov, L.A.; Huang, C. (2012), "Jurassic", The Geologic Time Scale (dalam bahasa Inggeris), Elsevier, m/s. 731–791, doi:10.1016/b978-0-444-59425-9.00026-3, ISBN 978-0-444-59425-9, dicapai pada 2022-05-01
  37. ^ Murchison; Murchison, Sir Roderick Impey; Verneuil; Keyserling, Graf Alexander (1842). On the Geological Structure of the Central and Southern Regions of Russia in Europe, and of the Ural Mountains (dalam bahasa Inggeris). Print. by R. and J.E. Taylor.
  38. ^ Phillips, John (1835). Illustrations of the Geology of Yorkshire: Or, A Description of the Strata and Organic Remains: Accompanied by a Geological Map, Sections and Plates of the Fossil Plants and Animals ... (dalam bahasa Inggeris). J. Murray.
  39. ^ Sedgwick, A.; Murchison, R. I. (1840-01-01). "XLIII.--On the Physical Structure of Devonshire, and on the Subdivisions and Geological Relations of its older stratified Deposits, &c". Transactions of the Geological Society of London (dalam bahasa Inggeris). s2-5 (3): 633–703. doi:10.1144/transgslb.5.3.633. ISSN 2042-5295. S2CID 128475487.
  40. ^ Murchison, Roderick Impey (1835). "VII. On the silurian system of rocks". The London, Edinburgh, and Dublin Philosophical Magazine and Journal of Science (dalam bahasa Inggeris). 7 (37): 46–52. doi:10.1080/14786443508648654. ISSN 1941-5966.
  41. ^ Lapworth, Charles (1879). "I.—On the Tripartite Classification of the Lower Palæozoic Rocks". Geological Magazine (dalam bahasa Inggeris). 6 (1): 1–15. Bibcode:1879GeoM....6....1L. doi:10.1017/S0016756800156560. ISSN 0016-7568. S2CID 129165105.
  42. ^ Bassett, Michael G. (1979-06-01). "100 Years of Ordovician Geology". Episodes (dalam bahasa Inggeris). 2 (2): 18–21. doi:10.18814/epiiugs/1979/v2i2/003. ISSN 0705-3797.
  43. ^ Chisholm, Hugh, penyunting (1911). "Cambria" . Encyclopædia Britannica (dalam bahasa Inggeris) (ed. ke-11). Cambridge University Press.
  44. ^ Butcher, Andy (26 May 2004). "Re: Ediacaran". LISTSERV 16.0 - AUSTRALIAN-LINGUISTICS-L Archives. Diarkibkan daripada yang asal pada 23 October 2007. Dicapai pada 19 July 2011.
  45. ^ "Place Details: Ediacara Fossil Site – Nilpena, Parachilna, SA, Australia". Department of Sustainability, Environment, Water, Population and Communities. Australian Heritage Database. Commonwealth of Australia. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Jun 2011. Dicapai pada 19 Julai 2011.
  46. ^ Correlating Earth's History, Paul R. Janke
  47. ^ Rudwick, M. J. S. (1985). The Meaning of Fossils: Episodes in the History of Palaeontology. University of Chicago Press. m/s. 24. ISBN 0-226-73103-0.
  48. ^ Fischer, Alfred G.; Garrison, Robert E. (2009). "The role of the Mediterranean region in the development of sedimentary geology: A historical overview". Sedimentology. 56: 3. Bibcode:2009Sedim..56....3F. doi:10.1111/j.1365-3091.2008.01009.x.CS1 maint: postscript (link)
  49. ^ Quoted in The contribution of Ibn Sina (Avicenna) to the development of the Earth Sciences, among other sources
  50. ^ Sivin, Nathan (1995). Science in Ancient China: Researches and Reflections. Brookfield, Vermont: Ashgate Publishing Variorum series. m/s. III, 23–24. Unknown parameter |nopp= ignored (bantuan)

Jika anda melihat rencana yang menggunakan templat {{tunas}} ini, gantikanlah ia dengan templat tunas yang lebih spesifik.