Puting beliung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Puting beliung
ڤوتيڠ بليوڠ
Puting beliung di Manitoba, Kanada.
MusimTerutamanya pada musim bunga dan musim panas, tetapi boleh terjadi bila mana sahaja
Kesankerosakan angin
Puting beliung di Oklahoma, Amerika Serikat.
Puting beliung ini sedang memusnahkan sebuah kilang di Illinois, Amerika Serikat.

Puting beliung (Jawi: ڤوتيڠ بليوڠ) atau tornado (Jawi: تورنادو) ialah sebuah turus udara berputar yang bersentuhan dengan tanah dan awan kumulonimbus. Udara di dalam puting beliung berpusing dengan amat pantas, dan kebiasaanya angin tersebut mempunyai kelajuan kurang daripada 175 km/j namun, terdapat puting beliung yang mempunyai kelajuan angin setinggi 480 km/j.

Puting beliung dipanggil begitu kerana rupanya seperti bahagian runcing atau "puting" pada pangkal mata sebatang beliung.[1] Walau bagaimanapun, juga hadir dalam pelbagai bentuk dan saiz dan dapat dilihat dalam bentuk corong kondensasi yang berasal dari bawah awan kumulonimbus, bersama-sama awan habuk dan debu yang dibawa bersamanya. Biasanya puting beliung mempunyai diameter 75 m lebar dan akan bergerak beberapa kilometer sebelum mereda tetapi puting beliung paling ekstrem yang pernah direkodkan mempunyai diameter sebanyak 3 km lebar dan bergerak di atas permukaan bumi lebih dari 100 km sebelum mereda.[2][3][4]

Bagaimana puting beliung berlaku[sunting | sunting sumber]

Puting beliung boleh terjadi hasil aktiviti di dalam awan kumulonimbus yang besar semasa ribut petir dahsyat. Kelazimannya, ribut petir jenis supersel mampu menghasilkan fenomena tersebut. Puting beliung juga boleh berlaku bersama taufan. Dalam kebanyakan ribut petir yang berlaku di dunia, udara panas naik membawa wap air dan membentuk awan kumulonimbus dan hujan membawa udara sejuk ke bawah pada tempat yang sama, oleh itu angin ribut kencang tidak terbentuk. Tetapi sesetengah ribut petir pula menghasilkan angin kencang di dalam awan akibat turun naik udara panas dan sejuk secara serentak serta turun naik udara panas dan sejuk yang tidak berlaku pada tempat yang sama, dikenali sebagai fenomena angin ricih. Sekiranya angin ricih kencang tersebut berubah bentuk daripada melintang di dalam awan kepada menegak, angin kencang berbentuk corong akan terbentuk dan pusaran angin berbentuk corong tersebut dikenali sebagai puting beliung.[perlu rujukan]

Kemusnahan dan lokasi berlakunya puting beliung[sunting | sunting sumber]

Kekuatan angin dan tahap kemusnahan yang dilakukan puting beliung dikategori mengikut Skala Fujita Terselaras, atau skala EF, daripada EF0 sehingga EF5. EF0 mempunyai kelajuan angin paling rendah manakala EF5 mempunyai kelajuan angin paling tinggi. Skala EF menggantikan Skala Fujita yang lama pada tahun 2007.

Puting beliung berlaku paling kerap di Amerika Utara dan bertumpu di kawasan tengah dan tenggara Amerika Syarikat yang juga dipanggil 'Lorong Puting Beliung' (Tornado Alley). Kadangkala aktiviti puting beliung juga kerap berlaku di kawasan di selatan Amerika Syarikat yang dikenal sebagai 'Lorong Dixie' (Dixie Alley). Puting beliung juga berlaku di Afrika Selatan, kebanyakkan kawasan Eropah, (kecuali Sepanyol, kawasan sekitar Banjaran Alps, Balkan, dan Utara Skandinavia), Australia, New Zealand, Bangladesh, timur India, Jepun, Filipina, dan tenggara Amerika Selatan, terutamanya di kawasan yang digelar Koridor Puting Beliung yang merangkumi Brazil, Uruguay dan Argentina.

Puting beliung boleh dikesan sebelum atau semasanya berlaku dengan mengesan titik tekanan rendah di dalam awan kumulonimbus menggunakan kaedah radar Doppler dengan mengenalpasti corak halaju dan nilai pantulan. Akibatnya, penduduk di kawasan yang diramalkan akan dilanda puting beliung hanya mempunyai masa yang sangat terhad untuk pergi ke tempat perlindungan.

Peristiwa puting beliung di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa kejadian puting beliung di Malaysia walaupun negara tersebut jarang-jarang menerima fenomena alam ini. Berikut ialah senarai peristiwa puting beliung yang utama terjadi di Malaysia:

  • Puting beliung Kota Damansara (13 Jun 2010) - suatu ribut puting beliung yang amat dasyhat telah melanda Kota Damansara. Diantara kawasan perumahan yang terlibat ialah Seksyen 6,7,8,9 dan 10. Kawasan yang paling teruk menerima kesan ribut ialah perumahan PPR Seksyen 8 Kota Damansara. Di kawasan ini lebih 30 gerai penjaja daripada golongan berpendapatan rendah termusnah apabila angin kuat ribut puting beliung merosakkan semua kanopi gerai. Ada juga gerai-gerai yang terangkat terus dan di lemparkan beberapa meter jauh oleh ribut tersebut.[5] Selain itu dianggarkan juga sebanyak 120 pokok besar tumbang, kira-kira 30 buah motosikal di tempat letak kenderaan terbalik, gerai-gerai roboh dan hampir 29 buah kereta rosak dihempap pokok dan lori turut terbalik.[6]
  • Puting beliung Perlis (28 Oktober 2010) - Berlaku di sekitar kawasan Jejawi. Lebih 50 rumah, kedai makan dan bengkel membaiki kenderaan di sekitar Jejawi rosak akibat angin puting beliung.[7][8]
  • Puting beliung Pulau Pinang (15 November 2010)- Berlaku di kawasan Gurney, Pulau Pinang, Malaysia. Berlaku kira-kira pukul 6.30 petang.[9]
  • Puting beliung di Pendang, Kedah (14 Oktober 2014) - Berlaku di Kampung Alor Besar mengakibatkan 10 buah rumah dan sebuah sekolah rendah mengalami kerosakan.[10]
  • Puting beliung di Alor Setar, Sungai Baru, Kg Batin, Mergong Jaya pada pukul 4.30 ptg 31 Oktober 2014
  • Puting beliung di Alor Setar iaitu di Kuala Sala, Kampung Sungai Nonang, Kota Sarang Semut, Kuala Kangkong - pusaran angin dengan kelajuan 180 km pada 12 November 2014, Jam 3.00 petang, Rabu.[perlu rujukan]
  • Puting Beliung di Bukit Besar, Kota Sarang Semut, Kedah (7 Mac 2018). Jam 7 petang.
  • Puting Beliung di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas di Ipoh (30 Januari 2022) berlaku selama 10 minit pada jam 6.40 petang.[11] 

Perbezaan antara puting beliung dan taufan[sunting | sunting sumber]

Istilah puting beliung dan taufan, walaupun kedua-duanya merujuk kepada pusaran udara laju dan kawasan bertekanan rendah, terdapat perbezaan diantara kedua-dua fenomena ini. Hal ini kerana penghasilan taufan merupakan sebahagian daripada sistem cuaca manakala penghasilan puting beliung merupakan sebahagian daripada sistem ribut petir. Selain itu, taufan boleh bertahan selama berhari-hari malah lebih seminggu, tetapi puting beliung hanya bertahan selama beberapa jam.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Kanedi, M. (7 Januari 2012). "Mengapa Tornado Disebut "Puting Beliung"? [Mekanisme, Klasifikasi, dan Tips Menghindari Tornado]". Kompasiana.com. Dicapai pada 2 Februari 2022.
  2. ^ Pusat Kaji Cuaca (2006). "Doppler On Wheels". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-02-05. Dicapai pada 2006-12-29.
  3. ^ Omaha/Valley, Pejabat Ramalan cuaca NE (2005-10-02). "Puting beliung Hallam Nebraska". Dicapai pada 2006-09-08.
  4. ^ Edwards, Roger (4 April 2006). "Soalan-soalan lazim puting beliung dalam talian". Pusat Ramalan Taufan. Dicapai pada 2006-09-08.
  5. ^ Ribut puting beliung di Kota Damansara
  6. ^ Ribut terbalikkan lori, 120 pokok
  7. ^ Puting beliung landa kawasan Jejawi, musnahkan 50 premis
  8. ^ Kosmo - Perlis dilanda puting beliung
  9. ^ Tornado in Gurney Area Penang on 15-11-2010
  10. ^ Puting beliung di Pendang rosakkan 10 rumah, sebuah sekolah - See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/puting-beliung-di-pendang-rosakkan-10-rumah-sebuah-sekolah#sthash.lFvR0hBX.dpuf.
  11. ^ Fadzil, Farahin (31 Januari 2022). "Ipoh Dilanda Puting Beliung Selama 10 Minit. Banyak Rumah Ditimpa Pokok". The Rakyat Post. Diarkibkan daripada yang asal pada 2022-03-02. Dicapai pada 19 Mei 2022.

Bacaan lanjut[sunting | sunting sumber]

  • Grazulis, Thomas P. (1993). Significant Tornadoes 1680-1991, A Chronology and Analysis of Events. St. Johnsbury, VT: Environmental Films. ISBN 1-879362-00-7

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Umum[sunting | sunting sumber]

Ramalan serantau[sunting | sunting sumber]

Kajian[sunting | sunting sumber]