Pergi ke kandungan

Cogito ergo sum

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Cogito ergo sum ("aku berfikir, maka aku ada" dalam bahasa Latin) adalah ungkapan falsafah dicetuskan René Descartes, seorang filsuf Perancis pada abad ke-17, yang merangkumkan keadaan diri seseorang yang boleh dibuktikan wujud tidak dengan pancaindera mengesan sekeliling yang boleh memesongkan pendapat, tetapi dengan kebolehan berfikiran sendiri.[1] Buah fikiran ini mula disebutkan dalam Discours de la Méthode (1637) melalui frasa asal dalam Perancis: Je pense, donc je suis; ia dilanjutkan dalam Principia Philosophiae tahun 1644 dengan ungkapan diterjemahkan kepada bahasa Latin yang dikenali sehingga hari ini.

Pendekatan ini pernah diutarakan oleh beberapa pemikir Yunani Purba: Plato ada menyebutkan mengenai suatu "pengetahuan perkara yang diketahui" (νόησις νοήσεως, nóesis noéseos); begitu juga dengan Aristoteles yang menyebutkan mengenai kesedaran terhadap apa yang dirasai dan dideriakan. Ibnu Sina turut seiringan dalam pendekatan itu melalui suatu andaian: seseorang yang tercipta penuh sempurna tetapi tidak dapat merasakan apa yang dialami terhadap alam luar mahupun dalam badan namun tetap wujud kerana jiwa atau rohnya sangat menyedari keadaannya sendiri.[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Mat Luthfi (2017). Kisah 25 Filsuf Barat. Puteh Press. m/s. 89. ISBN 9789673693559.
  2. ^ Seyyed Hossein Nasr; Leaman, Oliver (1996). History of Islamic Philosophy. Routledge. m/s. 40, 315. ISBN 0-415-13159-6.