Kerajaan Lakham

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Lakhmid)

Kerajaan Lakham (bahasa Arab: اللخميون) diasaskan oleh Amru, seorang pemuda berasal suku kaum Bani Lakham (b. Arab: بنو لخم) Arab beragama Kristian pada sekitar tahun 266M dan ia berpusat di Hirah, barat Sungai Furat.[1]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada peringkat asalnya, kerajaan Lakham merupakan sebuah kerajaan yang bebas sehinggalah pada tahun 325M apabila Kisra Empayar Parsi Sassan ketika itu, Shapur II, menyerang kota Hirah dan menakluk kota tersebut.

Selepas Kisra Shapur II berjaya menakluk kerajaan Hirah, beliau melantik seorang bangsawan Arab Krisitian iaitu Aus bin Qailam sebagai wakil kerajaan Parsi Sassan di bumi Arab, seterusnya bertindak sebagai kerajaan pengaman atau penampan bagi mencegah kemaraan tentera Rom Byzantium dan keganasan bangsa Arab yang datang dari Semenanjung Arab. Maka, terbentuklah kerajaan Arab-Parsi di barat Sungai Furat.

Sebelum kedatangan Islam, saingan kerajaan Hirah pada ketika itu adalah kerajaan Arab-Rom iaitu kerajaan Ghassan yang berpusat di selatan Damsyik. Ini kerana selain berbeza dari segi kerajaan naungannya, kedua-dua kerajaan campuran ini berbeza daripada fahaman Kristiannya. Kerajaan Lakham menjadikan Kristian Nestorian sebagai agama rasminya dan ini bertentangan dengan kerajaan Ghassan yang mana kerajaan Arab-Rom ini menjadikan Kristian Ortodoks sebagai agama rasmi negara.

Kejatuhan[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Lakham musnah ketika di dalam Perang Hirah selepas dikepung oleh tentera Islam pimpinan Khalid bin al-Walid pada sekitar bulan Mei 633M. Selepas itu, kerajaan ini diambilalih oleh tentera Islam dan menjadi pembantu ketika berhadapan dengan tentera Parsi Sassan yang datang dari Mada'in, ibu kota Parsi.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Esat Ayyıldız, “Lahmîlerin Arap Edebiyatına Etkisi”, 2nd International Archeology, Art, History and Cultural Heritage Congress, ed. Kenan Beşaltı (Şanlıurfa: Iksad Yayınevi, 2022), 38-44.