Batu Rakit

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Koordinat: 5°27′N 103°03′E / 5.450°N 103.050°E / 5.450; 103.050

Fail:Pantai Batu Rakit Terengganu.jpeg
Batu Rakit yang amat terkenal dengan keindahan pesisir pantainya.

Batu Rakit ialah sebuah mukim dan bandar kecil di daerah Kuala Nerus, Terengganu, Malaysia. Batu Rakit mendapat namanya daripada pembentukan batu yang berbentuk rakit yang terletak berhampiran pantainya.

Terdapat Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Dato' Razali Ismail dan Institut Teknologi Petronas Batu Rakit (INSTEP) di sini.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sebelum Jepun menakluk Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua, Batu Rakit pernah menjadi salah sebuah daerah di Terengganu yang mana ketika itu ia meliputi kawasan Merang di bahagian utara hingga ke sempadan Seberang Takir di bahagian selatan sementara dari timur pesisir pantai Laut China Selatan, ia meliputi kawasan hingga ke Tepoh di bahagian barat. Batu Rakit pernah mempunyai pusat pentadbirannya sendiri yang berasingan dari daerah Kuala Terengganu antaranya sebuah pejabat kastam untuk mentadbir pelabuhan kecil di Pantai Batu Rakit, sebuah balai polis dan sebuah pejabat daerah.[1]

Pada tahun 1937, Batu Rakit ditadbir oleh seorang Pegawai Daerah iaitu Yang Mulia Syed Abdul Kadir Abdullah Al-Aidarus atau YM Engku Pengeran Anum atau lebih dikenali oleh penduduk Batu Rakit dengan nama Engku Kadir.[1]

Nama Batu Rakit diambil sempena dengan kewujudan satu jajaran batu yang permukaan atasnya kelihatan timbul yang terletak lebih kurang 300 meter di tengah laut dari pantai yang kelihatan seolah-olah ianya sebuah rakit.

Menurut penduduk tempatan, di dasar laut batu itu melebar seperti bukit dan ditengah-tengah atas jajaran batu itu pula terdapat lubang sebesar “timba” yang dipanggil “telaga” oleh penduduk setempat. Jika jajaran batu ini dilihat daripada tiga penjuru berlainan, ia pasti kelihatan sama sahaja.

Pada tahun 60-an, penduduk tempatan sangat percaya kepada “bisa” batu tersebut. Sesiapa yang terkejut apabila terlihat batu tersebut pasti akan membawa demam yang berlarutan dan pernah berlaku dikatakan demam sehingga membawa maut. Oleh itu, penduduk setempat berhati-hati supaya tidak bertembung dengan batu tersebut ketika pulang daripada menangkap ikan. Pada ketika itu, batu tersebut tidak diletakkan apa-apa penanda atau rumah api sebagai petunjuk kepada nelayan terutamanya pada waktu subuh atau malam. Kerana “bisa” batu itu juga, ia dijadikan tempat untuk menyempurnakan “hajat”. Apabila hajat sudah tercapai penduduk akan menaiki sampan membawa persembahan untuk diletakkan di atas batu itu. Persembahan yang biasa di bawa oleh penduduk seperti ayam putih, nasi kunyit atau telur.

Selain daripada kepercayaan kepada ”bisa” batu ditengah-tengah laut, satu lagi kepercayaan penduduk sekitar ialah ”semah pantai”. ”Semah pantai” adalah bertujuan untuk membawa ikan yang banyak kepada nelayan. Ia dilakukan setahun sekali selama 7 hari 7 malam. Acara yang biasa dilakukan adalah melibatkan ayam putih, nasi kunyit dan telur. Bahan-bahan ini akan dihanyutkan dengan perahu kecil yang dibuat khas untuk upacara ini. Selain itu, kumpulan menora juga dipanggil khas daripada Negara Thailand untuk membuat persembahannnya. Pembayaran untuk kumpulan menora biasanya dibiayai oleh peniaga-peniaga ditepi pantai dan juga tekong-tekong motobot. Aktiviti ini dijalankan di Kampung Pengkalan Atap berhampiran ’rest house’. Pada zaman pencerobohan tentera Jepun ke Tanah Melayu, pihak tentera Jepun pernah mengebom batu tersebut kerana ianya disangka sebagai kapal perang tentera British.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b Perayaan Jubli Emas Sekolah Kebangsaan Batu Rakit. Percetakan Yayasan Islam Terengganu Sdn Bhd. 1991.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]