Black Maria (kugiran)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Black Maria
Berasal dariMalaysia Malaysia 
GenreNu metal, new age metal
PekerjaanVokal, pemuzik
Tahun aktif1998–kini
Syarikat rakaman
Garang Records, Warner Music Malaysia, Smart Audio
Pengkarya berkait
Berkumpulan
Laman sesawang
https://youtube.com/@blackmaria-malaysiabandoff5008
https://www.tiktok.com/@black_maria20
AhliFir - vokal
OP - gitar
Troboss - gitar bass
Sham - dram
Bekas ahliLily - gitar bass (1998)
Shidi - dram (1998-1999)
Sharif - gitar bass (1998-1999)
Ronnie - vokal (1998-1999, 2010-akhir 2023)
AG - vokal (1999-awal 2000-an)
JJ - dram (1999-2023)
Loli - gitar bass (2018)
Ju - gitar bass (2020-2023)
Adai (Allahyarham Afzal Salehin) - vokal (akhir 2023-awal Januari 2024)

Kumpulan Black Maria merupakan sebuah kumpulan pemuzik dan penyanyi yang aktif di Malaysia sejak penghujung tahun 1990-an sehingga kini. Kumpulan ini menyampaikan lagu-lagu berentak nu metal dalam bahasa Melayu.

Sejarah penubuhan[sunting | sunting sumber]

1998-1999: Peringkat awal penubuhan Black Maria[sunting | sunting sumber]

Black Maria ditubuhkan oleh dua orang anak muda yang bersahabat baik iaitu OP (Abdul Rauf Ha) dan Ronnie (Ronnie Jaafar) pada tahun 1998. Mereka membuat keputusan untuk berhijrah dari Kuala Kangsar, Perak, ke Kuala Lumpur dengan hasrat untuk mengembangkan kerjaya seni mereka dengan menubuhkan sebuah kumpulan muzik dan melahirkan album sendiri.

Ketika mereka berdua menetap di Taman Permata, Melawati, Kuala Lumpur, OP sering berkunjung ke sebuah studio muzik di sana. Selain itu, beliau juga sering melawat ke Heaven Studio milk Mus Satira. Ketika di studio tersebut, OP mula mengenali Lily (pemain gitar bass). Lily yang berasal dari Johor juga sering berkunjung ke studio berkenaan. OP terus mengajak Lily untuk menyertai Black Maria dan Lily bersetuju.

Semasa OP berkerja di sebuah studio lain, beliau mula mengenali Shidi (pemain dram). Shidi yang berasal dari Cheras sering berkunjung ke studio tersebut untuk berlatih seorang diri. Apabila OP melihat Shidi berlatih bermain dram, OP mula menyukai cara permainan Shidi. Tanpa bertangguh lagi, OP terus mengajak Shidi untuk menyertai Black Maria dan Shidi bersetuju kerana beliau sememangnya berminat untuk menyertai Black Maria.

Tidak lama selepas Lily dan Shidi menyertai Black Maria bersama OP dan Ronnie, mereka mendapat maklumat bahawa Ali Bakar akan mengadakan sebuah ujibakat untuk mencari sebuah kumpulan muzik rock baru. OP sememangnya menantikan peluang keemasan seperti itu tetapi secara tiba-tiba, Lily tidak mahu ikut serta ke ujibakat tersebut kerana beliau takut kepada Ali Bakar, tanpa menerangkan sebab yang lanjut. OP membuat keputusan untuk menggantikan tempat Lily dengan Sharif yang juga berasal dari Johor. Selepas itu, OP, Ronnie, Shidi dan Sharif mula berlatih bersama-sama sebagai persediaan sebelum hari ujibakat berlangsung.

Kerjaya seni[sunting | sunting sumber]

Pengalaman menyertai ujibakat[sunting | sunting sumber]

Pada hari kejadian, terdapat hampir tiga puluh hingga empat puluh buah kumpulan yang menyertai ujibakat tersebut, termasuklah Black Maria sendiri. Dalam kebanyakan kumpulan muzik yang menyertai ujibakat berkenaan, hampir kesemua kumpulan yang terlibat bermain muzik dan berpakaian mengikut gaya kumpulan XPDC, kerana nama XPDC sedang gah dalam persada seni tanah air pada ketika itu.

Pada masa itu, hanya Black Maria yang berpakaian lain daripada yang lain, seperti gaya kumpulan Korn dan Limp Bizkit. Black Maria juga mempersembahkan lagu berentak nu metal semasa ujibakat tersebut. Ali Bakar sangat berminat dengan Black Maria dan akhirnya Black Maria berjaya dalam ujibakat berkenaan bersama dua buah kumpulan lain, antaranya adalah kumpulan Samurai yang berasal dari Johor.

Black Maria dan Ali Bakar[sunting | sunting sumber]

Selama Black Maria berada di bawah seliaan Ali Bakar, mereka diberi kelebihan untuk berlatih di studio milik beliau tetapi mereka langsung tidak mendapat sebarang tawaran persembahan. Walau bagaimanapun, Ali Bakar sememangnya mempunyai perancangan untuk berjumpa wakil-wakil daripada syarikat rakaman muzik yang terkenal pada waktu itu seperti BMG, Sony Music Malaysia dan Warner Music Malaysia, tetapi beliau sangat sibuk dengan penganjuran pelbagai konsert dan acara muzik yang lain.

Setelah dua tahun berlalu tanpa menerima sebarang tawaran persembahan dan juga tiada perancangan daripada pihak Ali Bakar untuk menghasilkan album, Sharif mengambil keputusan untuk menarik diri daripada kumpulan tersebut. Disebabkan Black Maria belum pernah menandatangani sebarang perjanjian hitam putih bersama Ali Bakar dan pihak Boxoffice Malaysia, OP meminta izin daripada Ali Bakar untuk bergerak sendiri.

Selepas Black Maria mengundurkan diri daripada seliaan Ali Bakar, Ronnie, OP dan Shidi meneruskan rutin latihan mereka di studio lain. Dalam masa yang sama, mereka juga mengumpul idea untuk lagu-lagu baru. OP juga bertindak proaktif dengan membawa beberapa buah lagu demo yang dirakamkan Black Maria dalam tempoh dua tahun yang lalu ke pejabat Warner Music Malaysia. Setelah mendengar kesemua rakaman lagu demo tersebut, pihak Warner Music Malaysia sangat berminat terhadap konsep lagu-lagu Black Maria dan mereka terus menawarkan peluang kepada Black Maria untuk merakamkan sebuah album penuh di bawah seliaan Garang Records.

Mereka bertiga kemudiannya mencari pemain bass baru untuk menggantikan tempat Sharif. OP berpendapat bahawa salah seorang sahabat beliau, PE, lebih sesuai memikul tanggungjawab sebagai pemain bass yang baru. Pada masa yang sama juga, Shidi memilih salah seorang sahabat beliau yang merupakan seorang pemain gitar untuk mengisi tempat pemain bass. Ketika proses pemilihan tersebut, perselisihan faham berlaku antara OP dan Shidi. OP yang merupakan ketua kumpulan Black Maria akhirnya membuat keputusan untuk menggugurkan Shidi daripada Black Maria. Tempat Shidi kemudiannya digantikan oleh JJ (adik kepada Lola XPDC), seorang pemain dram sepenuh masa yang telah lama berada dalam arena muzik kelab malam.

Dengan kehadiran PE dan JJ, Black Maria terus mengorak langkah untuk melaksanakan perancangan penghasilan album sulung mereka.

Ronnie dan OP bekerjasama dalam penghasilan lagu dan penulisan lirik untuk hampir kesemua lagu yang bakal dimasukkan dalam album tersebut. Walau bagaimanapun, Ronnie tidak dapat menyumbangkan suara untuk album tersebut atas faktor kesihatan yang kurang baik.

Tanpa membuang masa, mereka terus mengadakan uji bakat untuk mencari penyanyi baru untuk album tersebut. Setelah selesai proses ujibakat tersebut, akhirnya seorang anak muda yang berasal dari Kolapis Darat, Beluran, Sabah, iaitu Ajis atau nama komersialnya AG, dipilih untuk menggantikan tempat Ronnie sebagai penyanyi.

2000-2001: Kelahiran album Veto; Black Maria mula dikenali ramai[sunting | sunting sumber]

Genre nu metal atau new age metal mula muncul di persada muzik dunia bermula awal tahun 1990-an dengan kemunculan pelbagai kumpulan muzik terkenal seperti Korn, Soulfly, Limp Bizkit, Rage Against The Machine, Papa Roach, Stuck Mojo, Machine Head, Linkin Park, POD, Deftones, Factory 81, Professional Murder Music, Apartment 26 dan sebagainya. Di Malaysia, genre tersebut mula bertapak dalam persada muzik arus perdana pada akhir tahun 1990-an sehingga era 2000-an. Antara kumpulan muzik tanah air yang menjadi perintis utama kepada pengaruh dan perkembangan genre ini di Malaysia ialah Black Maria sendiri, selain Dr Kronik, Sevenwords (kumpulan yang pernah dianggotai oleh Pekin Ibrahim, banyak dipengaruhi POD dan Deftones) dan Trimatra.

Untuk album sulung kumpulan Black Maria di bawah Garang Records dan Warner Music Malaysia, mereka menggunakan nama Veto sebagai judul album kerana lagu Veto merupakan lagu pertama yang dihantar oleh OP kepada Warner Music Malaysia. Pada masa itu, album demo Black Maria masih belum siap sepenuhnya. Setelah selesai proses rakaman album, Garang Records dan Warner Music Malaysia terus giat mempromosikan album tersebut di semua cabang media massa pada ketika itu - stesen radio, stesen televisyen, akhbar, majalah hiburan - melalui pengagihan salinan promosi (promo copy) album Veto. Salinan promosi tersebut dikeluarkan dalam dua jenis - ada yang mempunyai sebuah lagu sahaja iaitu lagu Veto[1], manakala sebuah lagi salinan promosi memuatkan dua buah lagu iaitu lagu Karma ... Safil??? dan Permata 20[2].

Lagu Veto mendapat sambutan yang luar biasa dalam kalangan pendengar radio pada ketika itu sehingga lagu tersebut berjaya menjadi antara juara mingguan untuk rancangan Carta ERA kendalian Halim Othman di Radio ERA selama tiga minggu berturut-turut, bermula dari 3 September 2000 hingga 17 September 2000. Video muzik lagu tersebut juga disiarkan secara kerap di kaca televisyen dan mendapat perhatian orang ramai kerana konsepnya yang canggih dan futuristik, seiring dengan permulaan perkembangan teknologi maklumat pada masa itu.

Konsep muzik Black Maria[sunting | sunting sumber]

Pada peringkat awal penubuhan mereka, Black Maria bercadang untuk mengetengahkan genre rock kapak 1990-an, tetapi kemudiannya mereka berubah fikiran kerana pada masa itu, kumpulan Search, Wings dan XPDC sangat-sangat berpengaruh, sehinggakan ketiga-tiga kumpulan tersebut mendapat banyak tawaran persembahan dan ramai anak muda menjadikan ketiga-tiga kumpulan berkenaan sebagai paksi atau pengaruh utama mereka dalam bidang muzik.

Oleh sebab yang demikian, Black Maria tidak mahu menjadi sebuah lagi kumpulan rock yang kedengaran sama sahaja seperti kumpulan-kumpulan rock yang lain. Sepanjang kerjaya seni mereka, konsep muzik Black Maria banyak dipengaruhi oleh kumpulan rock dan heavy metal tanah air seperti Rusty Blade, Crossfire dan MAY; serta kumpulan metal dan nu metal dari Barat seperti Pantera, Metallica, Megadeth, Korn, Limp Bizkit dan Rage Against The Machine.

Apabila Black Maria mengemukakan idea dan hasrat mereka kepada Warner Music Malaysia untuk dikenali dengan cara yang tersendiri dan tidak mahu dibayangi dengan terlalu banyak lagu yang berentak slow rock atau pun dengan konsep yang sama seperti kumpulan XPDC, Warner Music Malaysia terus bersetuju dan menerima apa yang Black Maria bawakan kepada mereka.

Ketika nama Black Maria mula dikenali oleh para peminat muzik mainstream tanah air, ramai daripada mereka yang menyangka bahawa Black Maria merupakan sebuah kumpulan muzik yang berasal dari Singapura atau Indonesia. Selepas mereka mengetahui bahawa Black Maria merupakan sebuah kumpulan muzik tempatan, para peminat muzik terus memberikan sokongan yang padu kepada mereka setiap kali berlangsungnya sebarang persembahan atau konsert.

2001: Pencalonan dan persembahan di majlis anugerah hiburan berprestij[sunting | sunting sumber]

Anugerah Planet Muzik (APM) kali pertama[sunting | sunting sumber]

Pada majlis Anugerah Planet Muzik kali pertama yang diadakan di Harbour Pavilion, World Trade Centre, Singapura, pada 20 Januari 2001, Black Maria yang merupakan antara wakil artis Malaysia yang membuat persembahan pada majlis anugerah tersebut (bersama trio KRU, Maman Teacher's Pet, Jay Jay, Amy Mastura, Intan Sarafina, Anuar Zain dan Erra Fazira) telah mempersembahkan dua buah lagu daripada album studio mereka, Veto, iaitu lagu Veto dan Permata 20.

Dalam kategori Artis Baru Terbaik (Lelaki) yang merupakan antara kategori pilihan juri profesional, Black Maria merupakan satu-satunya wakil artis dari Malaysia yang dicalonkan dalam kategori tersebut bersama kumpulan Wallpaper, kumpulan Jikustik dari Indonesia, Art Fazil (penyanyi solo dari negara tuan rumah) dan kumpulan 2D. Walau bagaimanapun, kategori tersebut dimenangi oleh Art Fazil.

Anugerah Industri Muzik (AIM) kelapan[sunting | sunting sumber]

Tiga bulan selepas pencalonan mereka dalam kategori Artis Baru Terbaik (Lelaki) di Anugerah Planet Muzik (APM) kali yang pertama di Singapura, Black Maria telah mempersembahkan lagu Veto pada majlis Anugerah Industri Muzik (AIM) kali kelapan yang diadakan pada 28 April 2001 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur[3].

Pada majlis anugerah tersebut, mereka berjaya memenangi kategori Artis Baru Terbaik, menewaskan artis-artis baru lain yang sedang meningkat naik pada ketika itu seperti kumpulan Kamikaze, Deja Moss, Intan Sarafina dan Martinie Kamsa.

Album Veto juga dicalonkan untuk kategori Album Rock Terbaik bersama album Akar & Bumi – kumpulan Amuk (dB Productions), album Inspirasi – kumpulan Kamikaze (Sham Kamikaze), album RentapAwie (M. Nasir) dan album Suatu MasaAmy (Johari Teh, Edrie Hashim). Walau bagaimanapun, mereka tewas kepada album Inspirasi – kumpulan Kamikaze.

2002-2010: Mula menghilang dari radar seni tanah air[sunting | sunting sumber]

Minat pendengar muzik tanah air yang semakin terarah kepada genre pop dan penganjuran pesta ria (fun fair) yang semakin berkurangan menyebabkan hasil pendapatan Black Maria semakin terjejas.

Sebagai usaha meneruskan kehidupan, mereka mula bermain di kelab-kelab malam sekitar Lembah Klang. JJ dan PE terus menjadi pemuzik kelab malam sepenuh masa. OP pula memilih untuk menjadi pencipta dan penggubah lagu, serta pemuzik undangan untuk pelbagai kumpulan muzik dan artis solo yang lain.

Oleh kerana JJ dan PE terikat dengan komitmen kerja mereka, OP mengambil keputusan untuk memilih Mie Cina dan Toron sebagai pemuzik undangan untuk meneruskan perjuangan Black Maria.

AG pula menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Pada masa itu juga, Ronnie telah pulih daripada masalah kesihatan dan beliau kembali menjadi penyanyi Black Maria.

2010-2020: Percubaan untuk bangkit kembali[sunting | sunting sumber]

Demi meneruskan perjuangan Black Maria, OP kembali dengan barisan ahli kumpulan yang baru. Ju (Ridzuan Ahmad) yang merupakan seorang pemuzik kelab malam dipilih sebagai pemain gitarbass menggantikan PE dan Gafir dipilih sebagai pemain dram menggantikan JJ. OP juga memilih Loli (abang kepada Lola XPDC) sebagai pemain gitar bass undangan jika Ju terikat dengan komitmen kerja di kelab malam.

Pada tahun 2020, JJ kembali menyertai Black Maria.

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Album studio[sunting | sunting sumber]

  • 2000: Veto

Single[sunting | sunting sumber]

  • 2023: Sangkar

(versi baru lagu Sangkar Cinta Dusta yang dihasilkan pada tahun 2018)

Lagu-lagu[sunting | sunting sumber]

  • Veto
  • Hanya Kau
  • Suria
  • Karma ... Safil???
  • Resah
  • Revolusi Mentaliti
  • Aku Rela ...
  • Damai
  • Parasit Minda
  • Permata 20

Anugerah dan pencalonan[sunting | sunting sumber]

Tahun yang menandakan tahun majlis itu, menganugerahkan hasil kerja pada tahun sebelumnya.

Anugerah Planet Muzik (APM)[sunting | sunting sumber]

Tahun Karya tercalon/Penerima Kategori Keputusan
2001
(Anugerah Planet Muzik 2001)
Black Maria Artis Baru Terbaik (Lelaki) Tercalon

Anugerah Industri Muzik (AIM)[sunting | sunting sumber]

Tahun Karya tercalon/Penerima Kategori Keputusan
2001
(Anugerah Industri Muzik ke-8)
Black Maria Artis Baru Terbaik Menang
Album: Veto / Penerbit: Razman Album Rock Terbaik Tercalon

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]