Pergi ke kandungan

Chow Jack

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Chow Jack atau nama penuhnya Chow Mun Fai (37 tahun) telah mengaku bersalah di hadapan Hakim Azman Mustapha atas tuduhan menghina bulan Ramadan dan Aidilfitri. Dia seorang penyelia tapak pembinaan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuat pemeriksaan dan mendapati Chow Mun Fai adalah pemilik akuan laman sosial Facebook itu.

Penjara setahun[sunting | sunting sumber]

Pada 9 September 2014, Chow Jack dihukum penjara maksimum satu tahun oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan menggunakan aplikasi Facebook untuk menghantar komen dengan niat menyakitkan hati orang Islam, Jun 2014. Komentarnya di Facebook pada bulan puasa 2014 mencetuskan kemarahan umat Islam di negara ini apabila dia menghina Ramadan dan Aidilfitri.

Chow Jack didakwa menghantar komentar itu di akaun Facebooknya, di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre Sentul Park, Jalan Strachan, Sentul jam 10.30 pagi, 12 Jun 2014. Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 memperuntukkan hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM50,000 atau kedua-duanya.Tertuduh didakwa menerbitkan satu penerbitan yang menghasut di Facebook miliknya pada masa, tarikh dan tempat yang sama. Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman itu terhadap Chow Mun Fai berkuat kuasa pada 9 September 2014 selepas tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan. Hakim Azman Mustapha berharap agar hukuman itu menjadi pengajaran kepada tertuduh juga orang ramai. Janganlah berselindung di sebalik kemudahan internet untuk menyiarkan kata-kata bersifat jelik yang boleh menimbulkan kemarahan sehingga cenderung kepada runtuhnya keharmonian dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.

Peguam Ahmad Ridza Mohd. Noh yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang ringan memandangkan anak guamnya adalah penanggung tunggal keluarga. Chow Jack adalah anak sulung daripada tiga beradik itu juga menghidap penyakit tibi dan ekoran itu dia menerima wang RM300 setiap bulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi mendapat rawatan.Lagipun anak guam telah insaf dan memohon maaf atas perbuatannya serta berjanji tidak akan mengulanginya pada masa yang akan datang.

Timbalan Pendakwa Raya, Suhaimi Ibrahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum atas alasan kenyataan tertuduh dalam komentarnya langsung tidak sensitif terhadap kepelbagaian masyarakat di negara ini. Tindakan tertuduh itu seolah-olah mempertikai ketinggian Islam sebagai agama Persekutuan. Komentarnya jelas dinyatakan kepada penganut Islam dan lebih menyakitkan, perbuatan itu dilakukan pada bulan Ramadan. Seharusnya mahkamah tidak akan berkompromi kepada mereka yang membelakangkan undang-undang serta kebebasan bersuara di negara ini. Setiap pengguna laman sosial itu perlu sedar kebebasan yang diberi itu perlu bergerak seiring dengan tanggungjawab terhadap kesan yang bakal berlaku ke atas kenyataan mereka.

Tertuduh yang bertubuh kecil dilihat menangis teresak-esak ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa. Ibu dan bapa tertuduh yang hadir di galeri mahkamah juga tidak dapat menahan air mata ketika hakim membacakan keputusan.[1]

Rujukan[sunting | sunting sumber]