Dalforce

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dalforce adalah satu nama yang digunakan semasa Penjajahan Jepun di Tanah Melayu untuk satu kumpulan sukarelawan berbangsa Cina (Singapore Overseas Chinese Anti-Japanese Volunteer Army) terdiri daripada kumpulan pengikut orang-orang Cina kumpulan Kuomintang & kumpulan Komunis Cina (Communist Chinese). Kumpulan ini juga mengambil berkhidmat banduan-banduan berbangsa Cina di dalam pasukan ini.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Dalam bulan Disember 1941, Malaya menghadapi tekanan hebat untuk mempertahankan Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura daripada serangan askar Jepun. Tentera Jepun telah melumpuhkan angkatan laut Pasifik Amerika Syarikat semasa serangan mengejut di Pearl Harbor, dan membuat pendaratan di Kota Bharu pada 8 Disember 1941.

Lt Col. John Dalley dari Pasukan Polis Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah mengambil inisiatif menubuhkan pasukan ini. Dalley mencadangkan penubuhan satu pasukan gerila dalam tahun 1940 tetapi cadangan beliau tidak diambil endah oleh pemerintah British. Hanya setelah Jepun menyerang pada 8 Disember barulah Dalley diminta menubuhkan pasukan yang beliau cadangkan. Bersama-sama dengan lain-lain pegawai British, Dalley melatih sekumpulan 200 orang rekrut di Johor dalam bulan Januari 1942. Menjelang Pertempuran Singapura, pasukan yang kini dikenali dengan nama Dalforce mempunyai kekuatan 4,000 orang anggota.

Perkhidmatan Dalforce[sunting | sunting sumber]

Anggota-anggota Dalforce menggunakan pakaian awam biasa, dengan kasut kanvas berwarna putih. Mereka menggunakan tanda pengenalan berupa ikatan kain putih di kepala. Kebanyakan daripada mereka dilengkapkan dengan senapang jenis Lee-Enfield dari Perang Dunia Pertama dan bukannya senapang jenis Lee-Enfield SMLE yang digunakan oleh tentera British. Mereka diberikan juga pisau bayonet dan 24 butir peluru. Hanya sebilangan daripada mereka diberikan bom tangan dan pasukan ini tidak diberikan mesingan. Latihan yang diberikan amat ringkas sekalid an hanya mengambil masa 10 hari. Anggota wanita ditugaskan untuk tugasan perubatan awal, memasak dan juga sebagai penyampai mesej semboyan dan lain-lain tugasan ringan.

Ramai anggota Dalforce merasakan kepimpinan Tentera British tidak bersikap adil kerana unit-unit pasukan Tentera British, Askar Melayu, Tentera Australia, pasukan Gurkha malahan Tentera MPAJA (Malayan People's Anti-Japanese Army) diberikan kelengkapan yang lebih baik berbanding dengan kelengkapan yang diberikan kepada Dalforce. Tetapi mereka menahan rasa kerana motif utama mereka adalah untuk menahan kemaraan askar Jepun.

Dalforce berjuang di Bukit Timah, Woodlands dan di kawasan pantai Selat Johor. Pertembungan pertama mereka berlaku apabila pasukan askar Jepun cuba menyeberangi Selat Johor dengan perahu-perahu kecil di waktu malam. Kawasan itu telah diletakkan petroleum oleh askar-askar British dan India pada hari-hari sebelumnya. Apabila perahu-perahu kecil yang digunakan askar Jepun melalui kawasan yang dicurahkan minyak petroleum tadi, askar-askar Dalforce menyalakan petroleum menyebabkan ramai askar Jepun mati terbakar. Askar Jepun yang terselamat cuba melarikan diri tetapi diburu oleh askar-askar Dalforce. Walaupun demikian, hanya 3 daripada 20 orang askar Dalforce terselamat. Akibatnya, askar-askar Jepun membenci askar-askar Dalforce dan menggunakan dendam ke atas askar Dalforce untuk melakukan kekejaman ke atas rakyat bangsa cina di Singapura.

Kesan[sunting | sunting sumber]

Sebelum Singapura jatuh ke tangan Jepun, pasukan Dalforce diarahkan dibubarkan oleh pemerintah British. Mereka diberikan ganjaran S$10 sebagai balasan untuk perkhidmatan mereka. Ramai yang menjadi mangsa seksaan dan dibunuh askar Jepun. Dalforce hanya wujud selama 3 bulan sahaja.

Pautan Luar[sunting | sunting sumber]