Demokrasi Akar-Umbi di Sarawak

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Latar Belakang[sunting | sunting sumber]

Sistem demokrasi yang sering dibincangkan dalam negara adalah sistem demokrasi yang berteraskan pembentukan kerajaan iaitu sistem demokrasi berparlimen. Namun begitu, sebuah negeri di Malaysia Timur, secara khususnya Sarawak, mempunyai sistem demokrasi di peringkat akar-umbi dalam memilih Tuai Rumah (ketua rumah panjang). Sistem demokrasi ini adalah unik kerana pemilihan tuai rumah berteraskan pemilihan mengikut komuniti rumah panjang tersendiri.


Tuai rumah merupakan ketua rumah panjang bagi komuniti-komuniti etnik Iban di Sarawak. Sehubungan dengan itu, penduduk rumah panjang juga berkuasa dalam memilih tuai rumah. Ahli Parlimen Julau, Datuk Joseph Salang Gandum turut memberitahu bahawa kaedah ini turut dipersetujui oleh Allayarham Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem (Utusan Borneo Sarawak, 2017). [1]

Syarat Pelantikan[sunting | sunting sumber]

Pelantikan sebagai tuai rumah juga mempunyai syarat-syarat yang perlu dipenuhi bagi memegang jawatan ini. Pemilihan tuai rumah menitik-beratkan kelayakan akademik yang baik serta berkredebiliti tinggi (Unit Komunikasi Awam Sarawak, 2022) [2]. Kelayakan akademik dan kebolehan bagi memastikan seseorang itu dapat dilantik sebagai tuai rumah adalah tamat tingkatan tiga, boleh membaca, boleh menulis (Abang Su’ud, 2020) [3].


Namun begitu, setara dengan aliran masa dan keperluan, tuai rumah juga perlu berkeupayaan dalam teknologi maklumat serta perlu mempunyai telefon pintar bagi memastikan urusan kerja secara atas talian dapat dilakukan (Unit Komunikasi Awam Sarawak, 2021) [4]. Akhir sekali, tuai rumah perlulah berasal daripada kalangan penduduk rumah panjang dan bukannya orang yang menetap di luar bagi memastikan tuai rumah dapat mengetahui isu-isu di rumah panjang (Utusan Borneo (Sarawak), 2019)[5].

Proses Pemilihan[sunting | sunting sumber]

Secara amnya, proses bagi pemilihan tuai rumah perlu dipersetujui sebulat suara oleh penghuni-penghuni sesebuah rumah panjang tersebut (Utusan Borneo (Sarawak), 2019)[5]. Proses ini melibatkan golongan-golongan dewasa dan yang telah berkahwin daripada setiap rumah yang terdapat di rumah panjang.

Kontroversi[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2015, terdapat isu-isu berkenaan hak demokratik dalam memilih tuai rumah bagi penduduk rumah panjang. Ordinan Ketua Masyarakat 2004 telah diperkatakan daripada pihak-pihak tertentu bahawa ordinan tersebut mengawal tuai-tuai rumah di seluruh negeri Sarawak (Bersih, 2015) [6].

Terdapat ahli politik daripada bahagian pembangkang yang mengutuk tindakan tersebut kerana ianya mengganggu semangat perpaduan di rumah panjang yang sudah wujud sejak sekian lama. Selain itu, campur tangan luar terutamanya dari pihak kerajaan dalam pelantikan tuai rumah boleh menimbulkan perselisihan faham dan seterusnya akan memecah-belahkan penduduk di sesebuah rumah panjang (Ajang, 2016) [7].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Utusan Borneo Sarawak. (2017). Penduduk rumah panjang kini boleh memilih tuai rumah pilihan sendiri. Press Reader. https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sarawak/20170808/282016147418643
  2. ^ Unit Komunikasi Awam Sarawak. (2022). Tuai Rumah Perlu Miliki Kelayakan Akademik & Kredibiliti Tinggi. Ukas.sarawak.gov.my. https://ukas.sarawak.gov.my/2022/08/13/tuai-rumah-perlu-miliki-kelayakan-akademik-kredibiliti-tinggi/
  3. ^ Abang Su’ud, A. I. (2020, October 5). Tuai rumah baharu perlu miliki kelayakan akademik. Www.utusanborneo.com.my. https://www.utusanborneo.com.my/2020/10/05/tuai-rumah-baharu-perlu-miliki-kelayakan-akademik
  4. ^ Unit Komunikasi Awam Sarawak. (2021). Tuai Rumah dan Kapitan Masa Kini Perlu Celik Teknologi Maklumat – UKAS. Ukas.sarawak.gov.my. https://ukas.sarawak.gov.my/2021/04/28/tuai-rumah-dan-kapitan-masa-kini-perlu-celik-teknologi-maklumat/
  5. ^ a b Utusan Borneo (Sarawak). (2019, September 18). Tuai rumah harus daripada kalangan penghuni rumah panjang, Kata Munan. Press Reader. https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sarawak/20190918/281612422108930
  6. ^ Bersih. (2015). Memilih tuai rumah adalah hak demokratik penduduk rumah panjang – BERSIH. Bersih.org. https://bersih.org/2015/11/25/memilih-tuai-rumah-adalah-hak-demokratik-penduduk-rumah-panjang/
  7. ^ Ajang, S. (2016, February 16). Jangan campuri urusan pelantikan tuai rumah. Borneo Post Online. https://www.theborneopost.com/2016/02/16/jangan-campuri-urusan-pelantikan-tuai-rumah/