Forsep

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Forsep plastik pakai buang

Forsep[1][2][3][4] merupakan sejenis peralatan berengsel yang digunakan untuk menggenggam atau memegang objek. Forsep digunakan apabila jari-jemari adalah terlalu besar untuk menggenggam objek kecil atau apabila terlalu banyak objek yang perlu dipegang pada satu masa sedangkan tangan pula diperlukan untuk melakukan tugasan yang lebih penting. Istilah "forsep" digunakan secara eksklusif dalam bidang biologi dan perubatan. Di luar bidang biologi dan perubatan, biasanya orang awam akan merujuk alat ini sebagai penyepit kecil, alat sepit besar, playar, klip atau pengapit.

Secara mekanikal, forsep menggunakan prinsip tuas untuk memegang dengan menggunakan tekanan.

Bergantung pada fungsinya, forsep pembedahan asas boleh dikategorikan kepada kumpulan-kumpulan berikut:

  1. Forsep jenis bukan pakai buang. Forsep jenis ini harus tahan daripada pelbagai jenis kesan fizikal mahupun kesan kimia yang terhasil apabila forsep tersebut bersentuhan dengan cecair badan, rembesan dan agen pembersih, mahupun apabila forsep tersebut dibersihkan melalui pelbagai jenis kaedah pensterilan.
  2. Forsep jenis pakai buang. Ia biasanya diperbuat daripada bahan berkualiti rendah atau plastik yang dilupuskan selepas digunakan.

Forsep pembedahan biasanya diperbuat daripada keluli karbon gred tinggi, yang memastikan ia boleh menahan pensterilan berulang dalam autoklaf bersuhu tinggi. Sesetengahnya diperbuat daripada aloi keluli tahan karat yang berkualiti tinggi seperti aloi kromium dan aloi vanadium untuk memastikan daya tahan forsep berkekalan serta forsep tersebut dapat bebas daripada karat. Keluli berkualiti rendah pula digunakan untuk menghasilkan forsep untuk kegunaan lain. Terdapat beberapa jenis forsep yang pakai buang pula diperbuat daripada plastik sahaja. Penciptaan forsep pembedahan pada zaman moden ini dikaitkan dengan Stephen Hales.[5]

Terdapat dua jenis forsep asas iaitu forsep anjal (sering dipanggil "forcep ibu jari") dan forsep pengunci, walaupun kedua-dua jenis forsep tersebut terdapat dalam berpuluh-puluh bentuk khusus untuk pelbagai kegunaan. Forsep anjal juga terdapat dalam dua bentuk asas yakni forsep yang berengsel pada satu hujung yang jauh dari kawasan genggaman (biasanya ia disebut sebagai "penyepit" sahaja), manakala sejenis lagi pula mempunyai engsel di tengah-tengah mata forsep dan kawasan genggaman dan reka bentuknya seakan gunting. Forsep anjal selalunya berengsel di tengah, walaupun beberapa bentuk lain meletakkan engsel pada kedudukan yang sangat dekat dengan hujung pemegang. Forsep pengunci pula menggunakan pelbagai cara untuk mengunci permukaan genggaman dalam kedudukan rapat, supaya objek digenggam dapat dimanipulasi dengan mudah, atau objek tersebut dapat dikepit dan digenggam secara berasingan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "forceps". The American Heritage Dictionary of the English Language (ed. 5th). HarperCollins. Dicapai pada 2018-08-30.
  2. ^ "forceps". Merriam-Webster.com Dictionary. Dicapai pada 2018-08-30.
  3. ^ "forceps". Cambridge English Dictionary. Dicapai pada 2018-08-30.
  4. ^ "forceps - Definition of forceps in English by Oxford Dictionaries". Oxford Dictionaries - English. Diarkibkan daripada yang asal pada December 1, 2017. Dicapai pada 2018-08-30.
  5. ^ Scientific American inventions and discoveries By Rodney P. Carlisle.