Gerakan sayaJUGAanakmalaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

#SayaJugaAnakMalaysia merupakan satu gerakan di Malaysia yang memperjuangkan kesamarataan hak antara ibu dan bapa dalam isu pemberian kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara. Projek ini dibawa oleh Family Frontiers dan Pertubuhan Perfileman Sosial Malaysia berkolaborasi dengan The Fourth. Projek ini bertujuan untuk menggesa kerajaan Malaysia untuk memberi hak kewarganegaraan yang sama rata bagi anak-anak yang dilahirkan di luar negara kepada ibu-ibu warganegara Malaysia.[1]

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Perlembagaan Persekutuan Malaysia memperuntukkan bahawa bapa warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing boleh dianugerahkan kewarganegaraannya secara automatik sekiranya anak-anak mereka dilahirkan di luar negara. Namun begitu, ibu warganegara Malaysia tidak menikmati hak yang sama; walaupun ibu adalah warganegara Malaysia, tetapi anak tidak berstatus rakyat Malaysia. Isu tertimbul apabila anak-anak ini tidak diberikan hak-hak asasi yang setaraf warganegara dalam perkara-perkara seperti akses kepada perkhidmatan kesihatan, pendidikan dan keselamatan sosial disebabkan mereka tidak berwarga Malaysia. Hal ini mengakibatkan golongan anak ini dikebelakangkan berbanding dengan anak-anak lain. Isu juga tertimbul apabila anak-anak kepada ibu tersebut tidak dapat pulang ke Malaysia kerana tidak memiliki dokumen kewarganegaraan.

Berdasarkan statistik daripada Kementerian Dalam Negeri, dari 2018 hingga Jun 2022, terdapat jumlah sebanyak 3407 ibu warga Malaysia terpaksa memohon kewarganegaraan untuk anak mereka yang dilahirkan di luar negara dan hanya 19 daripada mereka lulus.[1]

Jadual Kedua, Bahagian II, seksyen 1(b) termaktub bahawa: "tiap-tiap orang yang lahir di luar Persekutuan yang bapanya pada masa kelahiran itu seorang warganegara dan sama ada telah lahir di Persekutuan atau pada masa kelahiran itu berada dalam perkhidmatan Persekutuan atau perkhidmatan sesuatu Negeri;"[2]

Cadangan penyelesaian[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Malaysia boleh meminda Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan wanita warga Malaysia mempunyai hak yang sama seperti lelaki warga Malaysia dalam hal pemberian kewarganegaraan kepada anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara secara automatik.[1]

Pada 9 September 2021, Mahkamah Tinggi KL memutuskan bahawa Perkara 14(1)(b) dibaca bersama Jadual Kedua, Bahagian II, Seksyen 1(b) Perlembagaan Persekutuan harus dibaca secara harmoni dengan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Dengan ini, hakim Mahkamah Tinggi mengisytiharkan perkataan ‘bapa’ harus dibaca untuk memasukkan ibu dan anak-anak mereka berhak untuk mendapatkan kewarganegaraan melalui kuatkuasa undang-undang. [3]

Namun begitu, tiga hari kemudian, kerajaan Malaysia membuat rayuan terhadap keputusan tersebut, dan rayuan tersebut dibenarkan oleh Mahkamah Rayuan dalam keputusan 2-1. Para wanita warga Malaysia kini terpaksa merayu ke Mahkamah Persekutuan.[3]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Mangharam, C, R., Yee, E., Huda Ab Rahman, Teoh, A. A. (n.d.). #SayaJugaAnakMalaysia. https://sayajugaanakmalaysia.my/
  2. ^ https://www.jakess.gov.my/pdffile/ENAKMEN/Perlembagaan%20Persekutuan%20.pdf
  3. ^ a b Family Frontiers. (n.d.). Kronologi Kes Suriani Kempe & Lain-lain v Kerajaan Malaysia & Lain-lain. https://familyfrontiers.org/case-timeline/