Kembara Lang Surya - Pendeta Gua Khayalan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Buku / Novel
Pendeta Gua Khayalan - Kembara Lang Surya

Ilustrasi oleh Rosh

Kembara Lang Surya - Pendeta Gua Khayalan
Siri Kembara Lang Surya
Pengarang Asal Masdalifadzlie M. Saaid
Penterjemah
ISBN ISBN 9789675136412
Kod Buku
Saiz
Genre Tidak diketahui
Terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Negara Malaysia
Bahasa Melayu
Tahun Keluaran 20-Oct-2009
Bilangan Muka Surat 256
Harga Malaysia Barat RM14/Malaysia Timur RM16(2010)

Buku Pendeta Gua Khayalan - Kembara Lang Surya dikarang oleh Masdalifadzlie M. Saaid dan diterbitkan pada 20-Oct-2009 dengan harga Malaysia Barat RM14/Malaysia Timur RM16(2010). Ia diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd dalam bahasa Melayu dengan nombor ISBN10 /ISBN13 978-967-5136-41-2.

Novel ini, dengan genre fantasi Melayu, adalah novel sulung karya Masdalifadzlie M. Saaid dan yang pertama dalam siri trilogi Kembara Lang Surya (KLS).

Godaan[sunting | sunting sumber]

Kisah ini bertunjang pada tiga watak utama - Lang Surya, Rimau Seru dan Cempaka Suri, masing-masing dengan konflik tersendiri.

Konflik Lang Surya dengan ibunya menjadi topik utama. Setelah diusir oleh ibunya, dia bertekad mencari ayahnya, Lang Merah - bekas Laksamana Indera Wangsa yang diyakini masih hidup walaupun ramai yang mengatakan ayahnya telah mati ditelan sihir Hutan Jardi. Dia percaya, ayahnya dapat menjernihkan kembali hubungannya dengan ibunya. Dari detik itu, bermulalah pengembaraan penuh magis dan teka-teki. Waizuri Rengga Api mencadangkan agar dia mencari seorang pendeta di pergunungan Tujupuri, bagi mendapatkan maklumat tentang ayahnya. Namun jalan yang memimpin ke arah pendeta itu tidaklah semudah yang dirancang. Godaan-godaan khayalan harus ditempuh sebelum dia dapat bertemu pendeta yang mendiami Gua Khayalan di Banjaran Tujupuri.

Rimau Seru adalah seorang pembunuh upahan yang setia pada prinsip yang unik. Setelah membunuh gurunya sendiri, dia mengembara ke seluruh Indera Wangsa bagi mencari sesuatu yang sangat diidamkan. Sewaktu di Indera Puspa, dia didatangi oleh seorang pengupah yang inginkan dia membunuh keluarga Lang Merah, tetapi Rimau Seru menolak upahan itu. Dia mahu meninggalkan dunia seorang pembunuh upahan. Seorang nenek tua di Indera Nila memberikan klu kepada pencariannya, dan dia bermati-matian mempertaruhkan nyawa bagi merebut pencariannya.

Cempaka Suri punya mimpi yang istimewa. Mimpinya adalah realiti, namun dia bisa berfantasi menggerakkan mimpi mengikut kemahuannya. Magis di dalam mimpi adalah senjata utamanya. Mimpi-mimpinya mempertemukan dia dan Lang Surya, yang menyimpan bunga cempaka pemberian Puteri Kenanga Mulya. Dia mengembara ke dalam mimpi bagi mendapatkan kembali bunga cempaka miliknya.

Plot demi plot menyatukan pengembaraan mereka hingga ditimpa musibah yang tidak terjangka. Dapatkah Lang Surya menembus godaan-godaan sepanjang perjalanan ke Gua Khayalan? Berjayakah Rimau Seru dalam pencariannya, juga meninggalkan pekerjaannya sebagai seorang pembunuh upahan? Mampukah mimpi-mimpi Cempaka Suri mengembalikan bunga cempaka miliknya? Apakah mereka bertiga lolos daripada malapetaka yang menimpa mereka?

Watak[sunting | sunting sumber]

Watak Utama

Lang Surya - Seorang remaja yang pintar berhitung, juga cekal dan kental semangat dalam memperjuangkan apa yang diperjuangkan. Senjatanya adalah sebilah keris bergelar Luk Bisa, pemberian gurunya, Pendeta Musang Tunggal.

Rimau Seru - Seorang pembunuh upahan berprinsip unik berasal dari Indera Kawi. Gagah dan tangkas dalam ilmu silat anutannya, juga lincah menarikan pedang kembarnya, Pedang Luka dan Pedang Chedra. Di sebalik ketangkasan bersilat, dia memiliki minat mendalam terhadap sastera.

Cempaka Suri - Seorang gadis yang tidak diketahui negeri asalnya, anak kepada seorang inang istana. Gemar menjadikan buku sebagai teman. Dianugerahi mimpi yang istimewa, mimpi yang berjalan dalam realiti, namun dapat dihembuskan magis bersamanya. Senjatanya adalah busur dan kelodan pemberian Puteri Kenanga Mulya. Dia juga memiliki sekuntum bunga cempaka, juga pemberian Puteri Kenanga Mulya.

Watak Sampingan

Anggrik Pagi - Ibu kepada Lang Surya.

Cempaka Rani - Ibu kepada Cempaka Suri.

Gunung - Ketua makhluk kenit yang menjadi pembantu kepada Pendeta Musang Tunggal.

Lang Merah - Mantan laksamana. Ayah kepada Lang Surya.

Lebah Kota - Seorang saudagar senjata yang licik menipu dalam urusan jual beli.

Lebah Muda - Anak kepada Lebah Kota.

Melati Puteh - Pengasuh Lang Surya.

Pendeta Musang Tunggal - Penjaga hutan di Tanjung Jinggasura. Guru persilatan kepada Lang Surya.

Pendeta Repati Bayu - Pendeta yang mendiami Gua Khayalan di Banjaran Tujupuri. Guru kepada Lang Merah dan Waizuri Rengga Api.

Puteri Kenanga Mulya - Seorang puteri diraja yang hidup ratusan tahun yang lampau.

Singa Tama - Guru kepada Rimau Seru, juga seorang pembunuh upahan.

Waizuri Rengga Api - Pentadbir Kota Indera Sura. Teman rapat Lang Merah semasa kempen pembebasan Indera Wangsa daripada jajahan Rang Mandira.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

  • Amaran bagi yang belum membaca KLS - Pendeta Gua Khayalan. Teks di bawah mengandungi spoiler.

Kisah ini bermula apabila Lang Merah, seorang laksamana menjadi mangsa konspirasi pembesar-pembesar istana sehinggakan dititahkan oleh Raja Indera Wangsa mencari cokmar diraja yang dilarikan oleh seekor gergasi ke dalam Hutan Jardi. Lang Merah yang terkenal dengan kesetiaannya kepada raja menjunjung titah tersebut dan dengan berat hati meninggalkan isterinya yang sedang mengandungkan anak sulung mereka.

Anggrik Pagi, isteri kepada Lang Merah melahirkan Lang Surya tanpa kehadiran suaminya yang tidak pulang-pulang setelah masuk ke dalam Hutan Jardi, hutan yang penuh misteri. Tidak lama kemudian, Anggrik Pagi membawa Lang Surya dan pengasuh anaknya, Melati Puteh pulang ke kampung halaman di Tanjung Jinggasura, satu daerah dalam negeri Indera Sura.

Pada suatu hari, ketika Lang Surya sudah beranjak ke awal remaja, Melati Puteh membawanya sebagai teman mencari pucuk paku dan ubi liar di pinggir hutan. Kerana dilamun asyik memetik pucuk paku dan ubi liar, Melati Puteh kehilangan Lang Surya yang disesatkan hutan ketika berburu bersama lastiknya. Melati Puteh cuba mencari namun usahanya sia-sia.

Lang Surya bertemu dengan seorang gadis kecil yang kemudian mencabarnya agar melastik seekor anak helang. Sebagai ganjaran jika bidikannya mengena, gadis kecil tersebut bersetuju menunjukkan jalan pulang kepada Lang Surya. Lang Surya melastik jatuh anak helang tersebut, namun sebaik sahaja ingin menuntut ganjarannya, dia mendapati gadis kecil itu telah tiada di sisinya. Dalam kekeliruan itu, Lang Surya didatangi oleh Pendeta Musang Tunggal yang menjaga hutan tersebut. Menurut pendeta itu, gadis kecil yang mencabar Lang Surya sebentar tadi adalah satu realiti dan khayalan minda Lang Surya sendiri.

Lang Surya dijatuhkan hukum oleh Pendeta Musang Tunggal supaya merawat anak helang itu dan melatihnya terbang hingga pandai. Dalam pada itu juga, Pendeta Musang Tunggal mengambil Lang Surya sebagai anak muridnya dan diajarkan ilmu persilatan. Sepuluh tahun adalah masa yang dirasakan oleh Lang Surya sebelum anak helang yang dinamakan Sang Geroda, berjaya terbang tinggi di angkasa. Namun dia tidak menyangka kerana masa sebenar dia bersama pendeta itu hanya sepuluh hari.

Apabila pulang ke rumahnya, Lang Surya mendapati ibunya tidak mempercayai bahawa dia adalah Lang Surya kerana dirinya telah mendewasa sepuluh tahun. Lang Surya cuba meyakinkan ibunya, namun Anggrik Pagi kekal dengan pendiriannya lalu menghalau Lang Surya dari halaman rumah mereka. Dengan hati yang luluh, Lang Surya berlalu pergi.

Lang Surya berpendapat, hanya ada satu cara bagi membuktikan bahawa dirinya adalah Lang Surya, iaitu dengan bantuan ayahnya, Lang Merah. Jika dia berjaya menemukan kembali ayah dengan ibunya, sudah tentu hati ibunya melembut dan menerimanya kembali sebagai anak. Lantas dia mengambil keputusan bagi mengembara mencari ayahnya yang dikatakan hilang ditelan sihir Hutan Jardi.

Dalam perjalanannya menuju ke Kota Indera Sura, Lang Surya bertemu dengan seorang pembunuh upahan, Rimau Seru yang kebetulan memburu destinasi yang sama. Lang Surya merahsiakan identitinya kerana tidak mahu dikenali sebagai anak kepada Lang Merah, manakala Rimau Seru pula baru sahaja menerima upah agar melenyapkan saki-baki orang-orang yang mempunyai hubungan dengan Lang Merah. Namun upah itu ditolak kerana prinsip pegangannya yang tidak membunuh anak kecil dan perempuan. Di samping itu, Rimau Seru juga sedang mencari pedang pusaka peninggalan moyangnya, yang juga kembar kepada pedang yang dimilikinya sekarang.

Mereka berpisah di Kota Indera Sura. Lang Surya terlihat bunga cempaka milik Cempaka Suri tercicir dari selitan telinga. Dia mendapatkan bunga tersebut bagi dikembalikan, namun kelibat Cempaka Suri begitu pantas menghilang. Cempaka Suri adalah seorang gadis yang istimewa kerana mampu masuk ke alam mimpi dan mengembara secara realiti. Saat itu, dia sedang mengembara di dalam mimpinya ke Indera Sura.

Lang Surya terus mencari Cempaka Suri hingga tersesat di dalam kota, dan malam menggantikan tempat siang. Lang Surya kemudiannya ditangkap oleh peronda kota atas tuduhan melanggar undang-undang darurat kota. Menurut undang-undang darurat kota, selepas satu per tiga malam, tidak dibenarkan sesiapun berkeliaran di jalan-jalan kota.

Lang Surya dihadapkan ke muka pengadilan, dan Waizuri Rengga Api membicarakan pertuduhan ke atasnya. Lang Surya akhirnya dijatuhkan hukuman buang negeri. Sebelum menjalani hukuman, Waizuri Rengga Api yang dapat menghidu Lang Surya adalah anak kepada temannya Lang Merah, menyarankan agar Lang Surya mencari Pendeta Repati Bayu di banjaran Tujupuri di Indera Nila bagi mendapatkan maklumat tentang Lang Merah. Lang Surya bersetuju dan berlayar ke Indera Nila.

Sementara itu, dalam pencariannya, Rimau Seru bertemu dengan seorang perempuan tua yang mengemis di satu lorong usah di pasar Kota Indera Sura. Sebagai balasan untuk Rimau Seru yang bersedekah kepadanya, perempuan tua itu memberikan maklumat penting mengenai pedang pusaka yang sedang dicari. Perempuan tua itu menegaskan agar Rimau Seru berlekas ke Indera Nila bagi mendapatkan pedangnya.

Di Indera Nila, Rimau Seru berjaya menemukan kembali pedang pusaka moyangnya. Namun dia terpaksa bertarung dengan Lebah Kota, seorang saudagar senjata yang licik menipu dalam berjual beli. Dalam pertarungan itu, Rimau Seru jatuh pengsan kerana termakan muslihat Lebah Kota walaupun pada awalnya dia memenangi pertarungan. Sebaik sedar, anak Lebah Kota, Lebah Muda yang tidak suka cara ayahnya berniaga memberitahu pedang milik Rimau Seru itu akan dijualkan kepada saudagar asing di pelabuhan. Rimau Seru perlu pantas ke pelabuhan memintas niat Lebah Kota jika mahukan pedangnya kembali.

Lang Surya mendaki banjaran Tujupuri bagi mencari Gua Khayalan, tempat diamnya Pendeta Repati Bayu. Dalam pendakiannya, dia berdepan dengan pelbagai godaan yang menguji semangat dan kesungguhannya dalam mendapatkan Pendeta Repati Bayu. Sebaik bertemu dengan Pendeta Repati Bayu, Lang Surya diberitakan bahawa ayahnya masih hidup, namun disembunyikan oleh seekor gergasi di dalam satu lekuk sihir. Menurut pendeta itu, Lang Surya perlu mencari lekuk sihir itu dan meruntuhkannya bagi menyelamatkan Lang Merah. Selesai berurusan dengan Pendeta Repati Bayu, Lang Surya dihantar oleh pendeta itu ke pinggir kota.

Di pinggir Kota Indera Nila, Lang Surya bertemu dengan Cempaka Suri yang datang menerusi mimpi bagi menuntut kembali bunga cempakanya. Kemudian Rimau Seru yang sedang dalam perjalanan ke pelabuhan, menghampiri mereka. Rimau Seru menagih bantuan daripada Lang Surya bagi mendapatkan kembali pedangnya daripada Lebah Kota. Cempaka Suri pula menolak ajakan Lang Surya agar bersama-sama mereka.

Tiba di pelabuhan, Lang Surya dan Rimau Seru mencari Lebah Kota dan pencarian mereka berhasil. Ketika itu Lebah Kota sedang menyerahkan pedang milik Rimau Seru kepada seorang saudagar asing. Lang Surya dan Rimau Seru menyergah kedudukan Lebah Kota dan saudagar asing itu dan pertarungan pun bermula. Pada mulanya mereka mendahului saingan, namun satu kesilapan kerana terlalu yakin menyebabkan Lang Surya dijatuhkan lawan dan nyawanya berada di hujung pedang musuh. Rimau Seru tidak mampu berbuat apa selain melepaskan senjatanya agar nyawa Lang Surya tidak diapa-apakan.

Cempaka Suri datang membantu bersama Sang Geroda. Rimau Seru akhirnya berjaya mendapatkan kembali pedang miliknya. Mereka bertiga berlayar kembali ke Indera Sura namun cuaca memberontak ganas pada malam itu. Mereka bertiga akhirnya karam dipukul ombak.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]