Othman Saat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Othman Saat

PMN; SJMK (Kelantan)
Menteri Besar Johor ke-11
Dalam jawatan
4 Februari 1967 – 4 April 1982
RajaSultan Ismail ibni Sultan Ibrahim (1967–1981)
Sultan Iskandar ibni Sultan Ismail (1981–1982)
Didahului olehTan Sri Dato' Haji Hassan Yunus
Digantikan olehDato' Abdul Ajib Ahmad
Ahli Dewan Negeri Johor
untuk Kesang
Dalam jawatan
1974–1982
Didahului olehKonstituensi baharu
Digantikan olehSabariah Ahmad
Ahli Dewan Negeri Johor
untuk Jorak
Dalam jawatan
1959–1974
Didahului olehKonstituensi baharu
Digantikan olehAbdul Rahman Mahmud
Ketua UMNO Bahagian Pagoh
Dalam jawatan
1974–1985
Digantikan olehMuhyiddin Yassin
Ketua UMNO Bahagian Muar Dalam
Dalam jawatan
1971–1974
Butiran peribadi
Lahir(1927-04-04)4 April 1927
Muar Muar, Johor, Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu, Tanah Melayu British (kini Malaysia)
Meninggal dunia27 Oktober 2007(2007-10-27) (umur 80)
Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru
Tempat persemadianTanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru
Parti politik UMNO
PasanganPuan Sri Rokiah Alwee (m. 1990)
Kamariah Bujang
Hasmah Hussein
Anak-anak9
Othman Saat dengan kereta kegemarannya Mercedes 400 JDN 7

Tan Sri Dato' Haji Othman bin Haji Mohamed Saat (4 April 1927 – 27 Oktober 2007) ialah Menteri Besar Johor yang kesebelas dan yang ketiga sejak kemerdekaan Malaya (kini Malaysia). Beliau menyandang jawatan ini selama tiga penggal, iaitu 15 tahun antara Februari 1967 hingga April 1982. Seorang peminat kereta mewah, himpunannya pada suatu ketika merangkumi 50 jenis kereta, termasuk Ferrari, Alfa Romeo, Daimler-Benz dan Jaguar. Bagaimanapun, beliau hanya mempunyai sebuah kereta Mercedes S400 dengan nombor plat kegemarannya, JDN 7 sehingga ke akhir hayatnya.[1]

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Othman Mohamed Saat dilahirkan di Kampung Tengah, Muar, Johor kepada seorang pedagang beras yang kaya.

Othman Saat mempunyai sembilan anak iaitu lima lelaki dan empat perempuan, 32 cucu serta tujuh cicit hasil daripada tiga perkahwinan. Isteri pertamanya, Puan Sri Rokiah Alwee telah meninggal dunia pada tahun 1990. Isteri keduanya ialah Puan Sri Kamariah Bujang, manakala isteri ketiganya, Hasmah Hussein berakhir dengan penceraian.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Othman Saat menghabiskan pelajaran agamanya di Sekolah Tinggi Arab Madrasah Al-Attas di Johor Bahru, dan kemudian melanjutkan pendidikannya di Mekah selama dua tahun lagi.

Selepas kepulangannya dari Timur Tengah ketika berumur 16 tahun, Othman memulakan kerjayanya dengan syarikat perniagaan ayahnya. Berasal dari keluarga aristokrat dalam kalangan orang Johor, Othman mempunyai 3 adik beradik lelaki termasuk beliau. Abang sulungnya ialah YB Dato' Haji Abdul Rauf bin Haji Mohamed Saat, bekas Pegawai Tinggi Kerajaan Johor atau J.C.S. Pernah memegang jawatan Yang DiPertua Jumaah Majlis Diraja Johor (Johor Royal Court Council), Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), Yang DiPertua Jabatan Agama Johor dan lain-lain. Jalan Dato' Rauf di bandar Kluang adalah sempena nama beliau yang pernah memegang jawatan Pegawai Daerah Kluang. Othman juga mempunyai seorang lagi abang iaitu YB Orang Kaya Dato' Haji Hassan bin Haji Mohamed Saat, seorang penghulu kanan di Johor serta juga memegang jawatan Ahli Surohanjaya Perkhidmatan Awam Johor dan Ahli Majlis Jumaah Majlis DiRaja Johor. Keluarga Othman pernah dikatakan sebagai keluarga terkaya di Muar & mungkin Johor sekitar tahun 1930-80 an. 3 beradik ini amat disegani dan dihormati oleh orang Johor pada ketika itu.

Kerjaya politik[sunting | sunting sumber]

Kehidupan politiknya bermula dengan gerakan nasionalisme Melayu pada dekad 1940-an. Beliau menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) selepas parti politik itu ditubuhkan di Batu Pahat oleh Dato' Onn Jaafar pada tahun 1946. Othman menjadi salah satu ahli jawatankuasa UMNO pada tahun 1952. Beliau mendaftarkan diri pada 11 Mei, 1946 – hari UMNO ditubuhkan.

Pada tahun 1955, Othman menyertai Pilihan Raya Umum, dan memenangi kerusi Dewan Negeri Jorak tanpa bertanding. Beliau menjadi ahli EXCO negeri Johor pada tahun 1958. Pada tahun 1964, Othman dilantik sebagai ahli EXCO untuk bertanggungjawab kepada Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan beliau memulakan skim-skim rumah kos rendah untuk golongan miskin dan membuka tanah rancangan Felda dan FELCRA di Johor pada zaman Tun Abdul Razak sekitar 1970-an.

Pada 1985, Tuan Haji Muhyiddin Yassin berjaya mengalahkan beliau dalam perebutan jawatan Ketua UMNO Bahagian Pagoh. Jawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh dipegangnya selama 14 tahun.

Menteri Besar Johor[sunting | sunting sumber]

Pada 4 April 1967 ketika berumur 43 tahun, Othman dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-11, menggantikan Tan Sri Hassan Yunus.[1] Beliau menyandang jawatan ini selama tiga penggal sehingga tahun 1982. Nasibnya bertukar apabila Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia dan Musa Hitam menjadi timbalannya. Musa Hitam dikatakan menggunakan semua cara dari ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur untuk melemahkan pengaruh Othman. Ini merupakan titik permulaan untuk kejatuhan kerjaya politiknya.

Pada tahun 1982, Othman meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar selepas 16 tahun berkhidmat. Beberapa tahun kemudian pada tahun 1987, beliau menyertai parti politik Semangat 46 yang baru ditubuhkan oleh Tengku Razaleigh Hamzah untuk mencabar UMNO dalam pilihan raya umum pada tahun 1990. Walau bagaimanapun, Semangat 46 tidak begitu berjaya dan kemudian dibubarkan.

Dia telah menjual kebanyakan hartanya untuk membayar cukai. Malah gelaran 'Datuk' juga ditarik balik.[2] Selepas kekalahan beliau dalam UMNO, beliau hampir dilupakan.

Krisis Sultan-Menteri Besar Johor[sunting | sunting sumber]

Wartawan Chamil Wariya dalam bukunya 'Krisis Sultan - Menteri Besar, apa sebenarnya terjadi' mendedahkan krisis Sultan Johor dengan Menteri Besar Johor, Tan Sri Othman Saat. Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu (1982) iaitu Tun Musa Hitam, telah menegur Othman Saat yang didakwa memberi kawasan balak dan tanah berasaskan pertimbangan politik. Othman diarah menghentikan amalan itu. Beliau dilihat sudah terlalu lama menjadi Menteri Besar dan hendaklah memberi laluan kepada orang muda.[3]

Sultan Johor, Sultan Mahmood Iskandar yang baru dilantik semula sebagai Tengku Mahkota Johor, menggesa Othman Saat segera berundur kerana mempertikaikan kesahihan TMJ. Beberapa demonstrasi dirancang akan diadakan di beberapa tempat seperti di Kota Tinggi.[4] Sultan Ismail koma pada 8 Mei, tiga hari sebelum kemangkatannya. Sultan mengeluarkan perintah supaya Othman Saat keluar dari pejabatnya dalam tempoh 24 jam, tidak lama selepas kematian Sultan Ismail. Tetapi Othman Saat tidak mengendahkan arahan itu. Segala darjah kebesaran Negeri Johor termasuk Darjah Kerabat Johor Yang Dihormati Pangkat Pertama turut ditarik balik. Namun akhirnya meletakkan jawatan selepas campur tangan Dr Mahathir Mohamad.

Krisis ini menyamai kisah Dato' Nik Hassan Wan Abdul Rahman dengan Sultan Terengganu, Dato' Abdul Rahim Abu Bakar dengan Sultan Pahang dan krisis Perlembagaan 1983.

Kes mahkamah[sunting | sunting sumber]

Pada 1982, Hakim Wan Yahya membicarakan kes Mohamed bin Ismail lwn. Tan Sri Haji Othman Saat [1982] 2 MLJ 133. Ketika itu dipertikaikan 'locus standy' antara kedua-dua mereka.[5]

Kematian[sunting | sunting sumber]

Beliau diserang angin ahmar ringan pada 2001 dan 2002. Kaki kanannya telah dipotong dari paras lutut akibat gangren pada 2 Oktober 2007 di Hospital Sultan Ismail (HSI) dan beransur pulih. Othman mengalami sakit tulang belakang setelah terlalu lama terbaring di katil.

Pada 27 Oktober 2007, beliau meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI) di Pandan, Johor Bahru akibat jangkitan kuman sehingga membawa kepada septisemia (keracunan darah) jam 7.00 pagi. Beliau meninggal dunia ketika berusia 80 tahun. Jenazah Allahyarham telah disembahyangkan di Masjid Sultan Abu Bakar dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, Johor Bahru. Talkin dibacakan oleh Mufti Johor, Dato' Haji Nooh Gadut. Turut hadir Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail.

Sebuah kampung di Johor telah dinamakan sebagai 'Kampung Othman Saat' bagi mengenang jasanya.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Akhbar New Sunday Times, Malaysia. 24 September 2006.
  • Akhbar Utusan Malaysia, 27 Oktober 2007.
  1. ^ a b "Perginya Bapa Pembangunan Luar Bandar Johor" (PDF). Utusan Malaysia. Yayasan Kepimpinan Perdana. 28 Oktober 2007. Dicapai pada 25 Ogos 2021.
  2. ^ "Sultan Titah Serah Pingat" (PDF). Berita Harian. Yayasan Kepimpinan Perdana. 4 Mei 1982. Dicapai pada 21 Mac 2021.
  3. ^ Krisis Sultan - Menteri Besar, apa sebenarnya terjadi' oleh Chamil Wariya, hlm 111
  4. ^ 'The 1983 Malaysian constitutional crisis: two views and select ...', Simon Barraclough, P. Arudsothy
  5. ^ 'Public interest litigation in Asia' oleh Po Jen Yap, Holning Lau , hlm 83