Portal:Binatang

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Selamat Datang ke Portal Binatang
سلامت داتڠ کڤورتل بيناتڠ
Kepelbagaian jenis binatang
Kepelbagaian jenis binatang

Binatang atau haiwan ialah organisma eukariot multisel di dalam alam biologi Animalia. Dengan beberapa pengecualian, binatang mengambil bahan organik, menghirup oksigen, berupaya untuk bergerak, boleh membiak secara seksual dan melalui peringkat ontogenetik di mana badan mereka terdiri daripada sel sfera yang berongga, blastula semasa perkembangan embrio. Lebih daripada 1.5 juta spesies binatang hidup telah diterangkan—yang mana sekitar 1 juta adalah serangga—tetapi dianggarkan terdapat lebih daripada 7 juta spesies haiwan secara keseluruhannya. Binatang mempunyai julat panjang dari 8.5 mikrometer (0.00033 in) hingga 33.6 meter (110 ka). Mereka juga mempunyai saling tindak yang kompleks di antara satu sama lain dan persekitaran mereka, serta membentuk siratan makanan. Kajian saintifik mengenai binatang dikenali sebagai zoologi.

Kebanyakan spesies binatang hidup berada dalam Bilateria, suatu klad di mana makhluk tersebut mempunyai pelan tubuh badan bersimetri secara dwisisi. Bilateria termasuklah protostomia dan deuterostomia. Di dalam protostomia terdapat haiwan-haiwan seperti nematod (cacing gelang), artropod, platyhelminthes (cacing pipih), anelid dan moluska, manakala deuterostomia pula mencakupi ekinoderma dan kordata (termasuklah vertebrat). Bentuk hidupan yang ditafsirkan sebagai binatang purba terdapat dalam biota Ediakara yang wujud pada zaman Prakambria akhir. Filum binatang moden terbentuk jelas dalam rekod fosil sebagai spesies laut semasa letupan Kambria, yang mula berlaku sekitar 539 juta tahun lalu. 6,331 kumpulan gen yang terdapat pada semua haiwan hidup telah dikenal pasti; ini mungkin timbul daripada nenek moyang tunggal yang hidup 650 juta tahun dahulu.

Rencana pilihan
Lembu di padang, Devon
Lembu di padang, Devon

Lembu merupakan jenis mamalia ungulat bela jinak yang umum sekali. Ia merupakan anggota moden yang terutama dalam subfamili Bovinae, dan spesies yang paling banyak bilangan dalam genus Bos, dan umum sekali dikelaskan sama sekali sebagai Taurus.

Lembu dipelihara sebagai ternakan untuk daging, susu dan hasil tenusu, dan sebagai penarik (lembu kasi yang menarik kereta, bajak dan alat-alat sebagainya). Hasil keluaran lembu yang lain termasuklah kulit dan tahi untuk baja asli atau bahan api. Di sesetengah negara seperti India, lembu membawa erti keagamaan yang penting.

Sekitar 10,500 tahun dahulu, lembu dibela jinak daripada sekurang 80 progenitor di Turki tenggara. Menurut anggaran 2011, terdapat 1.4 bilion ekor lembu di dunia. Pada 2009, lembu menjadi antara haiwan ternakan pertama yang mendapat genom yang dipetakan sepenuhnya. Lembu dianggap sebagai harta kekayaan yang terlama, maka mencuri lembu dikira satu bentuk kecurian yang terawal. (Rencana penuh...)
Gambar pilihan
Itik melewar

Itik melewar (Anas platyrhynchos) merupakan sejenis itik yang biasa dijumpai di kawasan beriklim sederhana dan subtropika di Amerika Utara, Eropah dan Asia. Itik jantan mempunyai kepala berwarna hijau, perut dan kepak yang berwarna kelabu. Itik betina pula hampir keseluruhan warnanya adalah perang.

(Kredit gambar: Richard Bartz)

Kategori