Aci sesondol

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Animasi komputer bagi aci sesondol.

Aci sesondol merupakan peralatan yang digunakan pada enjin omboh untuk membuka dan menutup injap. Ia terdiri daripada rod silinder yang merentasi enjin dengan beberapa sesondol berbentuk lonjong, satu untuk setiap injap. Sesondol membuka injap dengan menolaknya ataupun menggunakan mekanisme perantaraan, sambil ia berputar.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Sistem sesondol dan aci sesondol terawal dipercayai dicipta di Iraq (Mesopotamia), sebagaimana yang diterangkan oleh Al-Jazari pada tahun 1206.[1] Mekanisme tersebut kemudian mula digunakan di dalam jentera buatan Eropah pada kurun ke-14,[2] atau mungkin lebih awal.[3]

Pemasaan[sunting | sunting sumber]

Aci sesondol

Hubungan antara putaran aci sesondol dengan putaran aci engkol adalah sangat penting. Memandangkan injap mengawal aliran campuran udara-bahan api masukan serta gas ekzos, injap mesti dibuka dan ditutup pada masa yang tepat mengikut lejang enjin. Oleh sebab itu, aci sesondol dihubungkan dengan aci engkol sama ada secara terus melalui mekanisme gear, atau secara tidak terus melalui tali sawat pemasaan ataupun rantai pemasaan. Dalam beberapa reka bentuk, aci sesondol juga menggerakkan pengagih serta pam minyak pelincir dan pam bahan api. Juga dalam reka bentuk sistem suntikan bahan api terawal, aci sesondol turut mengendalikan pemancit bahan api.

Dalam enjin dua lejang yang menggunakan aci sesondol seperti enjin diesel dua lejang, injap dibuka sekali pada setiap putaran aci engkol, manakala pada enjin empat lejang pula aci sesondol berputar pada kadar separuh daripada putaran aci engkol.

Kedudukan aci sesondol[sunting | sunting sumber]

Bergantung kepada kedudukan aci sesondol, sesondol membuka injap secara terus ataupun melalui pautan rod penolak dan lengan jumpelang. Pengendalian terus melibatkan mekanisme yang lebih mudah serta dengan kadar kegagalan yang rendah, tetapi memerlukan aci sesondol untuk ditempatkan pada bahagian atas silinder. Walau bagaimanapun, pada zaman dahulu di mana enjin tidaklah secekap sekarang, faktor tersebut tidak begitu dipedulikan, tetapi kini rekaan aci sesondol atas adalah lazim. Sesetengah enjin menggunakan dua aci sesondol di mana masing-masing mengawal injap-injap masukan dan keluaran secara berasingan, dikenali sebagai sesondol atas berkembar (DOHC), maka enjin V6 DOHC pula mempunyai empat aci sesondol.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Galeri[sunting | sunting sumber]

Four stroke engine diagram.jpg Komponen lazim enjin empat lejang DOHC. (E) Aci sesondol ekzos, (I) Aci sesondol masukan, (S) Palam pencucuh, (V) Injap, (P) Omboh, (R) Rod penyambung, (C) Aci engkol, (W) Jaket air bagi aliran bendalir penyejuk.
4-Stroke-Engine.gif Aci-aci sesondol dalam sistem enjin DOHC mengawal bukaan injap.
FordtaunusV4front.jpg Gear pemasaan injap pada enjin V4 Ford Taunus — gear kecil pada aci engkol, gear besar pada aci sesondol. Nisbah gear menyebabkan aci sesondol berputas separuh putaran aci engkol.

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. Georges Ifrah (2001). The Universal History of Computing: From the Abacus to the Quatum Computer, p. 171, Trans. E.F. Harding, John Wiley & Sons, Inc. (Lihat [1])
  2. A. Lehr (1981), De Geschiedenis van het Astronomisch Kunstuurwerk, p. 227, Den Haag. (See [2])
  3. http://emp.byui.edu/DavisR/202/202C16.html Dicapai pada 21 Jun 2007