Al-Din
Sebahagian daripada siri |
Islam dan Iman |
---|
Perseorangan |
Golongan |
|
Istilah |
|
Ad-Din (Arab: الدين ) atau "[negara]]" yang berasal dari asal kata "da ya na" mempunyai banyak erti dalam bahasa Arab. Dari berbagai makna "dayana" ada 4 pengertian yang mempunyai hubung kait dengan agama menurut persepsi Islam:
- 1. Dain / Qardh bermakna hutang. Dalam hal ini ia berkait rapat dengan kewujudan manusia yang merupakan suatu hutang yang perlu dibayar (lihat Surah Al-Baqarah ayat 245), manusia yang berasal dari tiada kemudian dicipta dan dihidupkan lalu diberi berbagai nikmat yang tidak terhingga (wa in ta waddu). Sebagai peminjam, manusia sebenarnya tidak memiliki apa-apa, akan tetapi Pemilik sebenar adalah Allah S.W.T, manusia hanyalah diamanahkan untuk dipergunakan dalam ibadah. Oleh kerana tidak memiliki apa-apa, manusia tidak dapat membayar hutangnya maka satu-satunya jalan untuk membalas budi adalah dengan beribadah, dan menjadi hamba Allah yang mana adalah tujuan daripada penciptaan manusia(Surah Adz-Dzariyaat ayat 56).
- 2. Maddana juga berasal dari kata dana, dari kata ini lahirlah istilah madinah dan madani, maddana yang bermakna membangun dan bertamaddun, oleh itu madinah dan madani hanya boleh digunakan untuk masyarakat yang beragama dan bukannya masyarakat atheis dan sekular. Dari pengertian ini juga seseorang manusia itu perlu melihat ianya berhubung kait dengan konsep khilafah dimana manusia telah diamanahkan oleh Allah sebagai khalifahNya di muka bumi ini dengan tujuan untuk memakmurkan bumi dan membangun tamadun yang sesuai dengan keinginan Allah(Surah Al-Qasas:5, Surah An-Nuur:55).
- 3. Perkataan dana juga mempunyai erti kerajaan (judicious power). Konsep ini sangat berkaitan dengan Tauhid Uluhiyah yang merupakan perkara paling penting dalam aqidah umat Muslim. Seseorang itu tidak diterima imannya dengan hanya percaya kepada Allah sebagai Rabb akan tetapi ia hendaklah beriman kepada Allah sebagai Ilah. Ini bermakna Allah adalah satu-satunya Tuhan yang patut disembah, ditaati, Dialah Penguasa dan Raja. Tauhid Uluhiyah ini yang dapat membezakan musyrikin dengan mukminin. Dari sinilah lahirnya Istilah Al-Hakimiyah dimana seoarang Muslim harus menerima Syariat Allah dan tidak boleh tunduk kepada undang-undang buatan manusia. Kerana Allah Yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui telah menetapkan hukum syariah yang sesuai untuk manusia untuk ditegakkan dan dipatuhi(Surah Yusuf:40,Surah An-Nisaa’:65).
- 4. Pengertian yang lain ialah kecendrungan (inclination). Sudah menjadi fitrah manusia diciptakan mempunyai kecendrungan untuk percaya kepada perkara yang supernatural, percaya adanya tuhan yang mengatur alam semesta dan kuasa ghaib disebalik apa yang dicerna oleh indera manusia. Inilah yang dinamakan Din Ul Fitrah (Surah Az-Zukhruf:9, Surah Ar-Rum:30) Islam adalah agama yang sesuai dengan fitrah manusia dan seorang bayi itu lahir sebagai seorang Muslim.
Dari beberapa definisi / maksud ad-Din menurut Islam seperti yang telah diterangkan diatas, maka jelaslah agama menurut sudut pandangan Islam sangat berbeza dengan persepsi Barat, agama dalam Islam adalah cara hidup, cara berfikir, berideologi, dan bertindak. Agama meliputi sistem-sistem politik, ekonomi, sosial, undang-undang dan ketata-negaraan. Agama berperanan besar dalam membentuk peribadi insan yang kamil disamping juga membentuk masyarakat yang ideal, agama menitik beratkan pembentukan moral dan kerohanian sesebuah masyarakat tetapi tidak lupa juga agama turut dapat membangunkan nilai ketamadunan dan seterusnya membina empayar yang kukuh dan berwibawa dimata dunia. Inilah yang dinamakan agama atau Ad-Din menurut Islam, jadi apa yang dianggap agama oleh barat adalah bukan agama(tidak lengkap) dari pandangan Islam, ataupun Islam bukan hanya sekadar agama dalam pengertian Barat yang sempit.
Islam berasal dari kata as la ma yang dari segi bahasa bermakna berserah diri. Ini tidak berarti setiap orang yang berserah diri dan percaya adanya tuhan termasuk dalam Islam, oleh kerana berserah diri sahaja tidak cukup untuk masuk Islam. Al-Quran menerangkan bahwa ada dua jenis berserah diri/tunduk (Surah Ali Imran:83): (a). Seluruh ciptaan Allah tunduk kepada hukum Allah dengan terpaksa dan menurut suatu kewajipan yang bersifat neutral. (b) Ada juga yang berserah diri dengan keinginan sendiri (tau’an) mereka adalah orang mukmin(Surah Al-An’aam ayat 162,163). Agama selain Islam tidak diterima oleh Allah (Surah Ali Imran:19,85)
Keislaman seseorang itu bergantung kepada kefahamannya terhadap kalimah Syahadah La Ilaha Illallah Muhammadar Rasulullah, Lailaha Illallah merumuskan konsep Tauhid Uluhiyyah yang mana orang musyrikin dan kafirin terkeluar daripada Islam, demikian juga orang yang menuhankan hawa nafsu dan tidak mahu tunduk kepada hukum Allah. Adapun dengan kalimah Muhammadar Rasulullah terkeluarlah orang-orang yang tidak mengakui Nabi Muhammad sebagai Nabi dan Rasul, tunduk dan Iman kepada Allah tidak diterima apabila mengingkari Nabi. Sunnah yang dibawanya adalah wajib dipegang, ibadah seorang Muslim itu tidak akan diterima apabila sesuatu perkara yang dilakukan itu, tidak disyariatkan dan disunnahkan serta melanggari batasan keimanan agama Islam tersebut.