Bin

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Di dalam bahasa Melayu dan Arab, Bin merupakan satu istilah yang bererti "anak lelaki kepada" manakala Binti pula mewakili "anak perempuan kepada". Ia berasal dari perkataan Arab iaitu "ibn" (ابن) yang membubuh gelaran anak lelaki atau "binte" (بنت) bagi anak perempuan. Sebagai contoh, Mahathir bin Mohamad bererti Mahathir anak lelaki kepada Mohamad. Ini merupakan satu bentuk patronimik iaitu sistem penamaan menurut susur galur bapa berbanding matronimik yang bererti sistem penamaan menurut susur galur ibu seperti Isa bin Mariam.

Penggunaan perkataan "bin" atau "ibn" dalam bahasa Arab bergantung kepada kedudukannya dalam ayat. "Ibn" adalah tranliterasi daripada alef-ba-nun yang digunakan pada awalan nama. Sekiranya istilah muncul di tengah-tengah nama, huruf alef ditinggalkan dan istilah itu ditulis sebagai "bin" (بن). Kedua-dua transliterasi sejajar dengan perbezaan sebutan dalam bahasa Arab.

Bin dalam Islam adalah menurut perintah Allah dalam Surah Al-Ahzab, Ayat 5:-

Panggillah anak-anak angkat itu dengan ber"bin"kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai "maula-maula" kamu dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah Al-Ahzab, Ayat 5

Penggunaan sistem patronimik membenarkan susur galur seseorang di susur selagi ada, sebagai contoh Ibn Khaldun memberikan nama penuhnya sebagai Abd ar-Rahman ibn Muhammad ibn Muhammad ibn Muhammad ibn al-Hasan ibn Muhammad ibn Jabir ibn Muhammad ibn Ibrahim ibn Abd ar-Rahman ibn Khaldun.

Di Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara pernah menggunakan sistem penamaan tanpa "bin" bagi pendaftaran anak angkat (Contoh Ali Murad bererti Ali merupakan anak angkat kepada Murad. Ali bin Murad menunjukkan anak sebenar).[1] Namun demikian, pada 12 Julai 2008, akhbar telah melaporkan bahawa tindakan ini bersalahan dengan hukum syarak dan perlu menggunakan bin/binti Abdullah.[2]

Patronimik masih digunakan di kebanyakan Dunia Arab khususnya Arab Saudi. Bagaimanapun, kebanyakan Dunia Arab telah beralih kepada sistem nama keluarga. Sebagaimana nama Inggeris, nama keluarga masih berasaskan nama yang dahulunya patronimik.

Di Iraq, nama penuh dihasilkan dengan mencantumkan nama orang perseorangan dengan nama bapa (kadangkala nama bapa ditinggalkan, sebaliknya nama datuk digunakan atau kedua-dua nama bapa dan datuk digunakan) bersama-sama dengan nama bandar, desa, atau suku kaum. Sebagai contoh, Hayder Muhammed al-Tikriti adalah anak Muhammed yang bernama Hayder dan berasal dari bandar Tikrit.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]