Dominasi sosial di Sarawak, Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Politik di Sarawak telah menjadi topik yang hangat untuk dibicarakan, baik dari segi ekonomi, pembangunan, imigresen hinggalah kepada hak bumiputera Sarawak yang berlandaskan Perjanjian 18 Perkara Sarawak. Politik dan sosial di Sarawak telah menemukan bentuk politik pemberian dalam kawalan penaungan dimana politik dominasi dan populariti telah memperlihatkan pengaruh pemerintahan dari akar umbi berdasarkan kajian yang telah dibuat oleh Roff (1974), Leigh (1974), Searle (1938), dan Cooke (1998)[1][2][3].

Definisi ‘dominasi sosial’ menurut Kamus Dewan dan Pustaka Edisi Keempat, ‘dominasi’ bermaksud menguasai, mengenakan, atau menimpakan kekuasaan terhadap sesuatu. Manakala, ‘sosial’ didefinisikan sebagai segala yang berkaitan dengan masyarakat, perihal masyarakat, kemasyarakatan. Penelusuran berkaitan dominasi sosial dikonstrukkan dalam orientasi dominasi sosial. Orientasi dominasi sosial yang berasal dari fenomena moden memiliki sistem hierarki berkelompok yang mempunyai kekuatan dan sumber tenaga yang samarata jika dibandingkan dengan kelompok yang lain[4] kerana ia lebih cenderung menginginkan keadaan ketimpangan dan dominasi dari satu pihak terhadap pihak lain. Menurut Morrison, Fast dan Ybarra pada tahun 2008 dalam Journal of Experimental Psychology: Group Status, Perceptions of Threats and Support for Social Inequality menemukan beberapa penelitian bahawa kelompok yang mempunyai status tinggi lebih cenderung untuk menyokong ketimpangan sosial. Disisi lain, orientasi dominasi sosial yang dimiliki pemimpin akan lebih mendukung adanya kelompok hierarki[5]. Impaknya dari konstruksi hierarki berkelompok, hak sosial bumiputera Sarawak telah didominasikan secara halus oleh kelompok yang tidak bertanggungjawab dalam politik pembangunan Sarawak.

Penindasan terhadap Tanah Adat Bumiputera Sarawak[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2017, Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru) menggesakan kerajaan negeri untuk menyelesaikan perkara-perkara berkaitan Tuntutan Adat Bumiputera (Native Customary Rights - NCR) dengan mengembalikan peruntukan Seksyen 5(2)(f) Kanun Tanah Sarawak (Bab 81) setelah ia dimansuhkan pada tahun 2000[6]. Antara tanda-tanda fizikal penandaan asal pembentukan sempadan 'menoa' ialah adat masyarakat, Surat Pekeliling Sekretarian No 12/1939, Rekod-rekod rasmi (Buku Sempadan) merupakan bukti-bukti bahwa tanah NCR wujud. Berdasarkan undang-undang Kanun Tanah Sarawak 1957 tanah adat Bumiputera yang sememangnya diakui dengan melindungi hak tanah adat seperti yang diperuntukan di dalam Bab 21 Kanun Tanah Sarawak iaitu Seksyen 2 (a), Seksyen 5 (2), dan Seksyen 15 (1) yang memberi penekanan terhadap definisi, cara pemilikan, dan perlindungan hak tanah adat[7].

Apabila pertikaian semakin rumit berhubung tanah, penindasan halus terhadap hak adat bumiputera disebabkan kekeliruan tafsiran yang berbeza terhadap 'pemakai menoa' dan 'pulau galao' antara kerajaan negeri dan rakyat Sarawak berlaku tanpa sedar. Sebagai contohnya, kes saman Kerajaan Negeri oleh Tuai Rumah Sandah dan Siew Libau pada tahun 2019 dimana Mahkamah Persekutuan telah menolak permohonan semakan NCR berkaitan keseluruhan keluasan tanah NCR melebihi 5,639 hektar yang dipajak oleh kerajaan negeri kepada sebuah syarikat pada tahun 2011. Alasan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan mereka atas alasan merasakan bahawa semakan kehakiman itu lebih kepada rayuan dan ini menyebabkan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi kerana Mahkamah Persekutuan telah membatalkan keputusan mereka.[8], ini membuktikan penindasan halus yang dilakukan oleh kelompok hierarki yang tinggi dimana suara dari kelompok hierarki rendah tidak dilayan dengan adil serta tidak didengari. Walaupun Kerajaan Negeri menegaskan bahawa proses pengukuran tanah NCR dilakukan Jabatan Tanah dan Survie (JTS) Sarawak mengikut Seksyen 18 Kanun Tanah Negeri serta tidak mengambil tanah-tanah secara percuma kerana pampasan akan diberikan kepada pemilik tanah; bukanlah alasan untuk Kerajaan Negeri mengambil ringan isu tanah adat dengan menutup mata serta telinga.

Oleh itu, Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) mahu Ordinan Mahkamah Bumiputera, Kanun Tanah Sarawak dan Ordinan Hutan dipinda bagi mengetengahkan isu untuk menentukan sebarang pertikaian tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) antara kerajaan dan mana-mana pihak atau individu. Isu seperti ini jelas telah menindaskan hak adat bumiputera sarawak apabila PBDS menganggap prosedur yang dilakukan oleh kerajaan negeri tidak begitu tepat apabila kuasa untuk menentukan sama ada tanah yang dipertikaikan itu adalah NCR atau tanah kerajaan yang ditentukan oleh Jabatan Tanah dan Survei apabila Mahkamah Bumiputera dikehendaki mengemukakan salinan keputusannya[9].

Jika kerajaan negeri tidak meminda Ordinan Mahkamah Bumiputera, ini akan menyebabkan kes rayuan terhalang dari didengari oleh hakim dari Semenanjung Malaysia, yang tidak mempunyai pengalaman dalam kehakiman Borneo. Tambahan pula apabila Sarawak mempunyai kod tanahnya sendiri dimana bidang kuasa untuk mendengar kes-kes berkaitan Bumiputera dan kes tanah haruslah terletak pada badan kehakiman tempatan Sarawak sahaja. Oleh itu, kerajaan negeri seharusnya lebih peka menyantuni serta menghormati hak bumiputera dalam menyuarakan ketidakpuasan agar isu tanah seperti ini dapat diselesaikan.

Diskriminasi politik dalam pembangunan Sarawak[sunting | sunting sumber]

Pada awal tahun 1980an, Abdul Taib Mahmud telah memperkenalkan "politik pembangunan" yang menjadi mainan dalam fikiran rakyat di Sarawak sebagai wacana kearah kemajuan agar Sarawak setanding dengan negeri-negeri lain menjelang 2020. Menurut Faisal S. Hazis (2009) dalam artikel beliau yang bertajuk 'The Politics of Development in Sarawak' menyatakan bahawa pembangunan merupakan wadah untuk meraih sokongan pengundi dalam Malaysia.[10] Hal ini membuatkan "politik pembangunan" mempunyai banyak persamaan dengan "developmentalist state" yang menurut Castells (1992: 33-70):

“...'developmentalist state' merupakan satu tunjang ideologi yang penting terhadap 'developmentalist' yang mengandungi misi tersendiri dalam memastikan pembangunan ekonomi, kebiasaannya ditafsirkan sebagai kadar pengumpulan dan perindustrian yang tinggi [11].”

Namun begitu, isu politik dalam pembangunan menjadi norma dalam dominasi sosial yang berlaku di Sarawak sejak 57 tahun yang lalu. Hal ini dikaitkan terdapat beberapa kawasan pedalaman di Sarawak yang masih tidak mendapat bekalan air bersih, elektrik serta jalan raya yang berturap hingga sering dimomokkan oleh para pembangkang setiap kali menjelang pilihan raya. Diskriminasi terhadap luar bandar Sarawak telah menyebabkan beberapa kawasan pendalaman yang masih mundur dari segi prasarana, kemudahan kesihatan, persekolahan, dan peluang pekerjaan berbanding dengan kawasan bandar di Sarawak. Hal ini demikian kerana dana yang disalurkan kepada kawasan-kawasan perkampungan adalah berdasarkan jumlah undian yang disumbangkan dan populasi penduduk yang hadir semasa pengundian; Jika kurang, maka kuranglah dana yang disalurkan oleh Kerajaan Negeri. Jika banyak, maka banyaklah dana tersebut. Situasi 'anak emas' dan 'anak tiri' ini telah menjadi norma yang dilakukan sejak dini dalam penyaluran dana untuk pembangunan infrastruktur sesuatu kawasan. Diskriminasi politik dalam pembangunan di kawasan pedalaman Sarawak terutama sekali nasib golongan masyarakat di luar bandar, terutamanya golongan miskin dan etnik minoriti tidak terbela walhal golongan ini juga berhak untuk sama-sama menikmati sebahagian daripada kekayaan negeri Sarawak. Suara rakyat miskin yang tidak memiliki kuasa untuk membantah telah membuat mereka terperangkap di sudut dinding politikus yang mengunci mulut mereka dengan janji-janji manis. Isu seperti ini cukup membuktikan bahawa dominasi sosial didalam kelompok hierarki atasan itu wujud dimana ketidakadilan berlaku diantara dua darjat.

  1. ^ Leigh, Michael B.1974. The Rising Moon: Political Change in Sarawak, Sydney: Sydney University Press.
  2. ^ Searle, Peter. 1038. Politics in Sarawak 1970 - 1976: Iban Perspective, Singapore: Oxford University Press.
  3. ^ Roff, Margaret Florence. 1974. The Politics of Belonging Political Change in Sabah and Sarawak, Kuala Lumpur : Oxford University Press, 1974
  4. ^ Pratto, F., Sidanius, J., Stallworth, L. M., & Malle, B. F. (1994). Social dominance orientation: A personality variable predicting social and political attitudes. Journal of Personality and Social Psychology, 67 (4), 741-763. doi: 10.1037//0022-3514.67.4.741
  5. ^ Arifianto, M. H. T. (2017, August 28). Orientasi dominasi sosial sebagai alternatif untuk melihat sikap implisit terhadap sistem sosial yang timpang: Adaptasi skala Orientasi Dominasi Sosial7 (SDO7 scale). Jurnal Psikologi Sosial, 15(2), 105–121. https://doi.org/10.7454/jps.2017.10
  6. ^ “Kembalikan hak bumiputera dalam Kanun Tanah Sarawak.” (2017, October 16). Malaysiakini. Retrieved June 17, 2023, from https://www.malaysiakini.com/news/398540
  7. ^ Abdul Manaf, A. A., Syafiq Akmal K., Samila MS, Lyndon, Zaimah R, Saad, Selvadurai S, Awang, Hussain, Jaafar, & Mat Jali. (2015). Sempadan dan pertikaian pemilikan tanah adat di Sarawak. Malaysian Journal of Society and Space, 11(7), 94.
  8. ^ Mahkamah Persekutuan tolak permohonan semakan NCR Tuai Rumah Sandah, Siew Libau. (2019, September 11). Mahkamah Persekutuan Tolak Permohonan Semakan NCR Tuai Rumah Sandah, Siew Libau | Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2019/09/11/mahkamah-persekutuan-tolak-permohonan-semakan-ncr-tuai-rumah-sandah-siew-libau
  9. ^ PBDS mahu Ordinan Mahkamah Bumiputera, Kanun Tanah Sarawak dan Ordinan Hutan dipinda. (2023, June 17). PBDS Mahu Ordinan Mahkamah Bumiputera, Kanun Tanah Sarawak Dan Ordinan Hutan Dipinda | Utusan Borneo Online. https://www.utusanborneo.com.my/2023/06/17/pbds-mahu-ordinan-mahkamah-bumiputera-kanun-tanah-sarawak-dan-ordinan-hutan-dipinda
  10. ^ Hazis. (2009). The Politics of Development in Sarawak. The Politics of Development in Sarawak, 77, 91–111. http://journalarticle.ukm.my/608/1/akademika78%5B03%5DA4.pdf
  11. ^ Castells, M. 1992. 'Four Tiger Asian Tigers With a Dragon Head: A Comparative Analysis of the State, Economy, and Society in the Asian Pacific Rim.' in R.P. Appelbaum and J. Henderson (eds) States and Development in the Asian Pacific Rim, 33-70, Newbury Park: Sage.