Hikayat Isma Yatim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Hikayat Isma Yatim merupakan sebuah hikayat lama Melayu. Ia termasuk dalam daftar yang disediakan oleh Werndly, yang mencatitkan berkenaan Hikayat Isma Yatim bahawa: "Bahasanya baik dan bentuk karangannya kemas".

Bentuk hikayat[sunting | sunting sumber]

Hikayat Isma Yatim mempunyai bentuk gaya jalan bahasa kesusasteraan Parsi-Arab dan boleh dikatakan tidak lagi terpengaruh oleh corak kesusasteraan Hindu-Jawa Kandungan Hikayat Isma Yatim ini menunjukkan bahawa ia merupakan kesusteraan istana, yang bertujuan untuk bacaan golongan istana, kerana jalan ceritanya banyak mem­bayangkan hal ehwal penghidupan di dalam istana, demikian juga menceritakan sifat-sifat kebijaksanaan seseorang pe­gawai serta kebaktian dan taat setia kepada raja. Dari sebab itu, hikayat ini bolehlah juga dijadikan sebagai suatu contoh bagi me­rupakan bagaimana keadaan bentuk coraknya hasil-hasil sastera ciptaan zaman Kerajaan Melayu Melaka yang memberi penekanan kepada sifat-sifat kebijaksanaan seseorang pe­gawai serta kebaktian dan taat setia kepada raja.

Cetakan moden[sunting | sunting sumber]

Salinan hikayat ini telah dicetak oleh Kelly & Walsh, Ltd., Singapura pada tahun 1901, untuk kegunaan sekolah-sekolah Melayu negeri-negeri Selat. [1] Pada per­mulaan kata naskah salinan ini dapat dipastikan corak­nya yang mencontohi kesusasteraan Parsi itu dengan menyerupai aturan pendahuluan kata Hikayat Amir Hamzah dan Sejarah Melayu, iaitu dimulai dengan puji-pujian bagi Allah Tuhan yang maha suci dan yang maha tinggi; serta memohonkan berkat shafa'at Nabi Muhammad Mustafa, s.'a.w. Tetapi pendahuluan kata Hikayat Isma Yatim ini tidaklah menyebut nama seseorang orang besar atau raja,seperti pendahuluan kata buku Sejarah Melayu ada menye­butkan nama seseorang orang besar atau raja yang menye­babkan pengarangnya bersungguh-sungguh menciptakan buah usahanya itu.

Pengenalan Hikayat Isma Yatim[sunting | sunting sumber]

Sebahagian daripada pendahuluan kata Hikayat Isma Yatim itu demikian bunyinya:

Ketahui oleh kamu, ayohai, segala saudara­ku yang membaca hikayat ini, telah adalah faedah di dalamnya empat perkara: pertama, jikalau diturut saperti di dalam hikayat ini, "isharat" namanya; dan kedua, jikalau berkata­kata di hadapan majlis di sebutkan dengan riwayat ini, "'ibarat" namanya; dan ketiga, jikalau di­tanyai oleh segala raja-raja pada perkataan yang musykil maka berdatang sembah: "Ya tuanku demikian patik dengar di dalam hikayat", "cerita"-lah namanya; dan keempat, jikalau di­dengar dan dibaca oleh segala yang mashghul menjadikan suka hatinya, "hikayat" namanya; demikianlah hendak diketahui kebajikannya oleh segala. orang yang membaca hikayat ini, maka "'arif"-lah namanya. Dan jikalau tiada demikian adalah saperti ibarat gajah memamah rias, baik diikat; kera yang kecil makan buah kayu, saperti Hanoman gunong pun dapat diangkatnya, demkianlah ibarat orang yang arif dalamnya.........

Begitu juga hikayat ini menyerupai susunan Hikayat Amir Hamzah iaitu dalam perkara membahagi-bahagikan isinya kepada beberapa bab. Dalam pada itu pula pada permulaan tiap-tiap satu bab Hikayat Isma Yatim itu di­terangkan pati-pati jalan cerita yang mengikutnya, misal­nya bagi Bab Yang Kelima, permulaannya demikian: "Al-kisah peri mengatakan tatkala Isma Yatim bersembah syarat kepada raja; dan peri mengatakan tatkala Isma Yatim bersembahkan kehendak raja; dan peri mengatakan tatkala Isma Yatim bersembahkan segala syarat laki-laki dan perempuan; dan peri mengatakan Isma Yatim di-kurniai, (oleh) mendapat Tuan Puteri Ratna Kendi di dalam permata Nila Kendi itu; dan peri mengatakan Isma Yatim di kurniai baginda isteri; dan peri mengatakan baginda memberi kurnia akan nakhoda itu isteri, serta digelar pula oleh baginda akan dia."

Hikayat ini banyak mengandungi nasihat yang bijaksana dan tamthil ibarat yang berharga dalam hal ahwal peme­rintahan dan pendidikan, serta disulam pula dengan pan­tun-pantun.

Ringkasan Hikayat Isma Yatim[sunting | sunting sumber]

Ringkasan kandungan Hikayat Isma Yatim ialah saperti di bawah ini:

Seorang menteri di benua Keling, Megat Nira nama­nya telah pergi membawa diri ke negeri Masulipatam, sebab malu alah bermain catur dengan seorang hulubalang di hadapan majlis rajanya.

Pada masa isterinya hampir akan bersalin, maka di­ketahuilah oleh Megat Nira daripada beberapa alamat yang disaksikannya, bahawa ia akan memperolehi seorang anak yang amat bijaksana. Hal ini terbukti apabila Isma Yatim diserahkan mengaji kepada seorang mualim bernama Sufian; dengan cepat dapat ia mengarang hikayat, mula-mulanya hikayat untuk kanak-kanak, kemudian di­karangkannya pula hikayat-hikayat yang mengandungi tamthil 'ibarat untuk menambah akal dan menyukakan hati segala golongan orang ramai hingga termasyhurlah kebi­jaksanaannya ke seluroh negeri itu.

Sesudah itu dikarangkannya pula sebuah hikayat yang mengandungi panduan dan nasihat bagi raja-raja, lalu ia pergi kepada perdana menteri minta persembahkan hika­yat itu kepada raja. Maka oleh perdana menteri itu di­bawanya Isma Yatim bersama-sama mengadap raja, dan pada hari itu juga ia telah diambil raja bekerja di dalam istana. Tiada beberapa lama sesudah itu ia telah diberi kerja menghampar permaidani raja dan kemudiannya di­jadikan biduanda.

Tatkala beramah mesra dengan seorang nakhoda yang datang daripada negeri asing ke negeri Indera-Patani, Isma Yatim telah menerangkan kepada nakhoda itu enam syarat yang harus diketahui oleh dagang sebagai membalas budi, maka nakhoda itu telah menghadiahkan pakaian yang in­dah-indah kepada Isma Yatim, demikian juga sebuah chanda-peti permainan ajaib yang didapatnya di pulau Mutia Langkawi untuk dipersembahkan kepada raja. Di ­dalam peti itu ada dua buah permata Nila Kendi namanya. Sebuah daripada permata itu jika diletakkan di atas talam nescaya keluar dua ekor merak yang pandai berpantun dan berseloka; sebuah lagi permata itu jika diletakkan di atas geta keemasan akan keluar seorang puteri yang amat cantik parasnya. Dengan kebijaksanaan Isma Ya­tim, akhirnya puteri yang bernama Ratna Kendi Maheran Langkawi dari permata Nila Kendi itu menjadi isteri raja.

Apabila terbit ancaman tentera Raja Rum Safardan akan melanggar negeri itu maka Isma Yatim telah dinaik­kan pangkatnya daripada jawatan bendahari menjadi pang­lima perang, dan dengan kebijaksanaannya tentera-tentera musuh itu dapat dikepungnya; tetapi kemudian kedua pi­hak itu telah mengikat persahabatan. Isma Yatim telah pula diangkat memegang jawatan perdana menteri.

Puteri Indera, permaisuri raja, mendapat tahu bahawa Puteri Ratna Kendi Maheran Langkawi telah hamil, maka khuatirlah ia kiranya bertambah-tambah kasih raja akan puteri itu, lalu difitnahkan oleh permaisuri, dikatakannya puteri itu hendak meracun baginda. Oleh terlalu murka­nya.maka raja pun menyuruh bunuh tuan puteri itu; tetapi dengan kebijaksanaan Isma Yatim, yang melindungi puteri itu, iaitu disembunyikannya di dalam rumah di tengah-tengah sebuah kebun.

Raja telah menyesal oleh menghukum bunuh tuan puteri itu dengan tiada usul periksa lagi, maka ketika itu baharulah Isma Yatim menerangkan rahsia bahawa pe­rintah baginda itu sesungguhnya tidak dijalankan. Puteri Ratna Kendi Maheran Langkawi bersama-sama Dewi Rum yang lahir dalam persembunyian itu, telah di sambut kem­bali ke istana dengan segala keraian.

Apabila raja telah mangkat maka puteri baginda itu­lah naik takhtakerajaan dengan geIaran Mengindera Seri Bulan di-Semudera Negara, di-bawah pimpinan dan didekan kedua ibu suri serta Perdana Menteri Isma Yatim. Pada mas a memimpin tuan puteri itu memerentah kerajaan banyak-lah nasihat dan kias 'ibarat yang amat berharga di­beri oleh Isma Yatim. Akhir-nya tuan puteri itu berkah­win dengan Indera Mempelai, putera Raja Shahdon Meng­indera.

Ia terdapat dalam bentuk mikrofilem dengan rujukan Microfilm: NL 2554. (1901). Singapore: Printed for the Education Office by Kelly & Walsh, 1901. (RRARE 899.2302 HIK)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]


Senarai Kesusasteraan Melayu
A - B - C - D - E - F - G - H - I - J - K - L - M - N - O - P - Q - R - S - T - U - V - W - X - Y - Z


Ralat petik: Tag <ref> ada tetapi tag <references/> tidak disertakan