Hutan Lipur Bukit Ayer

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Hutan Lipur Bukit Ayer merupakan kawasan hutan semulajadi yang amat sesuai dan menarik untuk menjalankan pelbagai aktiviti rekreasi. Air sungai yang dingin dan jernih yang melalui panorama hutan tropika yang kaya dengan tumbuh-tumbuhan, serta air terjunnya yang melata ke dalam kolam di bawah, menjadikan ia satu lokasi yang ideal bagi tujuan berkelah dan berehat.

Hutan Lipur Bukit Ayer terletak 12 km dari Bandar Kangar. Beberapa kemudahan disediakan untuk seperti pusat penerangan, chalet, tapak perkemahan, taman permainan kanak-kanak dan kemudahan tempat letak kereta.

Untuk sampai ke hutan lipur ini pengunjung boleh menggunakan kenderaan sendiri atau pengangkutan awam seperti bas atau teksi dari Bandar Kangar.

Air terjun dan sungai yang mengalir jernih secara semulajadi mengindahkan suasana. Pada bahagian hilirnya pula terdapat sebuah kolam mandi yang cantik untuk para pengunjung.

Di sini juga dikhaskan sebuah kolam mandi untuk kanak-kanak. Tapak perkhemahan yang menampung kira-kira 100 orang peserta dilengkapi dengan tempat memasak dan sumber air yang bersih. Bagi mereka yang menggemari aktiviti lasak terdapat denai yang boleh digunakan bagi tujuan tersebut. Disini juga terdapat tempat permainan kanak-kanak, gerai makanan, bilik air, surau dan pondok-pondok rehat.