Insiden kebakaran Rumah Jungan 2022

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Insiden kebakaran Rh. Jungan anak Gerang
Tarikh23 Ogos 2022 (2022-08-23)
MasaKira-kira 06:45 MYT (02:45 UTC)
LokasiRh. Jungan anak Gerang, Batu 36, Tamin, Selangau, Sarawak, Malaysia
PenyebabDalam siasatan; Disyaki berpunca daripada tindakan mengecas telefon di atas katil ketika tidur pada waktu malam
Kematian0
Kecederaan0

Pada 23 Ogos 2022, satu insiden kebakaran berlaku di Rh. Jungan anak Gerang di Batu 36, Tamin, Selangau, Sarawak, Malaysia, berhampiran Sekolah Kebangsaan Batu 36. Insiden berkenaan mengakibatkan 171 penghuni hilang tempat tinggal tinggal dan kerugian dianggarkan melebihi RM1 Juta.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Rh. Jungan yang mempunyai 37 pintu dan mempunyai pengunhi seramai 171 orang merupakan salah sebuah daripada beberapa rumah panjang yang terdapat di kawasan Pekan Tamin. Dianggarkan usianya lebih daripada 20 tahun, rumah panjang ini berjiran dengan Rh. Jelai anak Lidam (dahulunya Rh. Sambang), Rh Nyawin, Rh. Mohmat, Rh. Jolia Nara anak Nyanggau (dahulunya Rh. Nyanggau), Rh. Penggang anak Takin (dahulunya Rh. Jeti), Rh Julia anak Awal (dahulunya Rh. Awal) dan Rh. Keroh anak Tegong[1].

Insiden[sunting | sunting sumber]

Pada jam 06:00 pagi, beberapa penghuni menyedari api bermula dari bahagian kiri ketika sibuk menghantar anak mereka ke sekolah. Kemudian, pada jam 06:45 pagi, api mula merebak ke seluruh rumah panjang dengan sangat pantas kerana strukturnya yang tidak kekal. Antara barangan yang tidak sempat diselamatkan dan turut rentung ialah dokumen penting, perkakas dan pakaian sekolah, alatan memasak, barangan elektronik, pakaian dan kunci kenderaan.

Setelah api berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Bomba, keselruhan rumah panjang hangus 100% kerana hanya 5 pintu sahaja yang sempat diselamatkan. sebanyak 32 lagi pintu sudah terbakar sepenuhnya. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana kesemua 171 penghuni berjaya lari menyelamatkan diri sambil sempat menyelamatkan beberapa barangan seperti kenderaan, pakaian dan dokumen penting. Susulan kejadian berkenaan, semua penghuni hilang tempat tinggal dan ditempatkan di Gereja Katolik Indai Maria Ukaristia buat sementara waktu[2][3].

Respons kecemasan[sunting | sunting sumber]

Menurut kenyataan Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4, Janggan Muling, kesemua penghuni terjejas itu terdiri daripada lapan lelaki warga emas, warga emas perempuan (12), lelaki dewasa (51), perempuan dewasa (43), kanak-kanak lelaki (23), kanak-kanak perempuan (27), bayi lelaki (1), bayi perempuan (5) dan orang kelainan upaya (1).

“Kebakaran melibatkan 37 pintu rumah panjang berkeluasan 520 X 180 kaki persegi telah terbakar 98 peratus.

“Kejadian tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa,” katanya.

Terdahulu, Balai Bomba Penyelamat (BBP) Selangau menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 6.58 pagi dan segera mengerahkan anggotanya ke lokasi serta mendapatkan bantuan dari BBP Sungai Merah.

Antara BBP lain yang turut sama membantu ialah dari BBP Sibu Jaya dan BBP Bandar Sibu. Turut hadir membantu ialah Batalion 10 Paukan Gerakan Am (PGA) Polis DiRaja Malaysia (PDRM) Sibu dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Sibu.

Menurut Janggan lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih belum diketahui, namun dakwa penghuni, punca insiden berlaku ialah disebabkan tindakan seorang penghuni yang mengecas telefonnya di atas katil ketika sedang tidur pada waktu malam sebelum kejadian tanpa menutupnya. Katil itu kemudiannya menjadi terlalu panas, cukup untuk mencetuskan api besar yang meranapkan keseluruhan rumah panjang terbabit[4].

Reaksi[sunting | sunting sumber]

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berasa terkejut dan sedih dengan insiden malang yang menimpa mangsa kebakaran rumah panjang terbabit. Pada waktu kejadian berlaku, beliau berada di Kuala Lumpur dan bergegas pulang ke Sarawak pada keesokan harinya bagi melawat mereka. Beliau sendiri melawat lokasi kejadian dan menghulurkan bantuan wang sebanyak RM43,000 kepada wakil mangsa[5] .

Bantuan kecemasan[sunting | sunting sumber]

Beberapa pihak, termasuk dari kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang perseorangan dan syarikat-syarikat swasta tampil menghulurkan sumbangan kepada mangsa yang ditempatkan di Gereja Maria Indai Ukaristia. Antaranya, DGeneration 4x4 Recreational and Social Club Kuching menyalurkan barangan berupa makanan dan barangan keperluan rumah termasuk pakaian sekolah dan lampin pakai buang [6]. Selain itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat juga menghulurkan bantuan serupa kepada mereka[7].

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "SENARAI PENGHULU DAN TUAI RUMAH DAERAH SELANGAU". Portal Rasmi Pentadbiran Bahagian Sibu.
  2. ^ "Rumah Jungan, Tamin angus lengis pagi tadi". Suara Sarawak. 2022-08-23. Dicapai pada 2022-08-23.
  3. ^ "Kebakaran Rh. Jungan: 171 penghuni tinggal sehelai sepinggang". Suara Sarawak. 2022-08-23. Dicapai pada 2022-08-23.
  4. ^ "Kebakaran Rh. Jungan: 171 penghuni tinggal sehelai sepinggang". Suara Sarawak. 2022-08-23. Dicapai pada 2022-08-23.
  5. ^ "ADUN Tamin hulur bantuan kewangan kepada mangsa kebakaran Rh Jungan". Utusan Borneo. 2022-08-25. Dicapai pada 2022-08-25.
  6. ^ "D-Generation 4x4 members deliver aid to Rh Jungan Gerang fire victims". PressReader. 2022-09-02. Dicapai pada 2022-09-02.
  7. ^ "IPD Dalat serah sumbangan kepada mangsa kebakaran Rumah Panjang Jungan Tamin". TV Sarawak. 2022-09-02. Dicapai pada 2022-09-02.