Iron Man

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kulit Iron Man Vol. 4, Isu #6.
Seni oleh Adi Granov.

Iron Man (Anthony Edward "Tony" Stark) ialah seorang adiwira buku komik cereka dalam alam Marvel Comics rekaan pencipta-penyunting Stan Lee, pengarang Larry Lieber, dan pelukis-pelukis Don Heck dan Jack Kirby. Dia julung kali muncul dalam siri komik Tales of Suspense #39 (Mac 1963). Selepas cedera parah dan dipaksa membina senjata pembinasa, Tony Stark sebaliknya mereka sebuah baju perisai yang berkuasa untuk menyelamatkan nyawanya serta membantu melindungi dunia dengan identiti Iron Man. Stark ialah seorang pengusaha kaya-raya dan pencipta genius dan baju perisainya dilengkapi peralatan berteknologi yang membantunya membanteras jenayah.

Sepanjang kerjayanya sebagai wira, Iron Man menjadi seorang ahli pasukan adiwira the Avengers, serta juga ditampilkan dalam pelbagai jelmaan siri komik sendirinya. Iron Man pernah diadaptasikan ke dalam filem dan siri TV animasi, lebih-lebih lagi Robert Downey Jr. memegang watak wira ini dalam sebuah filem lakonan hidup pada tahun 2008. Forbes pernah menarafkan Iron Man di kalangan watak cereka yang paling kaya dalam ranking tahunannya.[1] BusinessWeek turut meletakkan Iron Man sebagai antara sepuluh orang watak cereka paling pintar dalam komik Amerika.[2]

Biografi[sunting | sunting sumber]

Asal-usul[sunting | sunting sumber]

Anthony 'Tony' Stark lahir di Long Island, New York, dan merupakan anak kepada Howard Stark, seorang pengusaha kaya dan ketua Stark Industries, dan isterinya Maria Stark. Tony seorang genius cilik yang luar biasa, menyertai MIT ketika berusia 15 tahun, lalu menjadi pelajar paling cemerlang. Selepas ibu bapanya terkorban dalam kemalangan jalan raya, dia mewarisi syarikat bapanya.

Ketika memerhati kesan-kesan teknologi eksperimentalnya dalam usaha peperangan Amerika Syarikat, Stark cedera parah terkena jerangkap samar lalu ditawan pihak musuh yang kemudiannya mengarahkannya mereka senjata untuk mereka. Bagaimanapun, kecederaan Stark dahsyat sekali dan serpihan-serpihan dalam dadanya boleh menikam jantungnya. Seorang lagi tawanan bernama Yin Sen membantu Stark menggunakan bengkel untuk berahsia-rahsia mereka dan membina sebuah sut perisai berkuasa yang menyelamatkan nyawa Stark dengan memastikan denyutan jantungnya. Stark menggunakan baju itu untuk melarikan diri, namun Yin Sen terkorban apabila cuba melarikan diri. Stark membalas dendam terhadap penculiknya, kemudian pulang ke pangkuan tentera Amerika. Dalam perjalanan dia menemui seorang juruterbang helikopter Tentera Udara Amerika Syarikat yang tercedera, bernama James "Rhodey" Rhodes.

Setelah pulang, Stark mendapati serpihan-serpihan dalam dadanya tidak boleh ditanggalkan tanpa membunuhnya, maka dia terpaksa memakai plat dada dari baju perisai itu di sebalik pakaiannya sebagai pengawal jantungnya. Dia juga harus mengecas semula plat itu setiap hari, atau menghadapi ancaman serpihan itu. Identiti sebenar Iron Man diselindungi oleh kenyataan Stark bahawa Iron Man ialah pengawal peribadi dan maskot korporat Stark. Dengan itu, Iron Man melawan ancaman kepada syarikatnya, lawan Komunis seperti Black Widow, the Crimson Dynamo dan Titanium Man dan juga penyangak-penyangak bebas seperti Mandarin. Tiada sesiapa pun menyangka Stark adalah Iron Man kerana dia menonjolkan imej usahawan yang kaya-raya. Dua orang pembantu setia Stark pada masa ini ialah pemandu peribadinya Harold "Happy" Hogan dan setiausahanya Virginia "Pepper" Potts, yang dibenarkan mengetahui keduaan identiti Stark. Sementara itu, Jim Rhodes menjadi juruterbang peribadi Stark yang luar biasa kemahiran dan keberaniannya.

Mula-mulanya komik ini membawa pendirian anti-Komunis, tetapi ini beransur diringankan kerana bangkitnya tentangan kepada Perang Vietnam[3][4]. Perubahan ini berlaku dalam satu siri cereka-cereka yang mana Stark mempertimbangkan semula pendirian politiknya dan kewajaran menghasilkan senjata untuk pihak tentera. Stark menggunakan harta benda peribadinya bukan sahaja untuk menyelenggara baju perisainya, bahkan memajukan senjata untuk S.H.I.E.L.D. dan teknologi-teklnologi lain untuk wira-wira lain.

Lama-kelamaan, keadaan jantung Stark disedari umum lalu diubati oleh pemindahan jantung buatan. Walaupun begitu, Stark juga semakin ketagih alkohol. Kali pertama ini menjadi masalah adalah ketika Stark menyedari bahawa agensi keselamatan kebangsaan S.H.I.E.L.D. selama ini telah membeli satu kepentingan kawal di syarikatnya agar memastikan pemajuan senjata Stark yang berterusan untuk pihak mereka. Pada masa yang sama, pesaing perniagaan Stark, Justin Hammer, mengupah beberapa penyangak untuk menyerang Stark. Pada satu ketika, baju perisai Iron Man pun dicuri dan digunakan untuk membunuh seorang diplomat. Meskipun Iron Man tidak disyaki serta-merta, Stark diarahkan menyerahkan baju perisainya ke pihak berkuasa. Maka Stark bergabung bersama Rhodes, kini setiawan dan juruterbang peribadi Stark, untuk menjejak dan menewaskan sesiapa yang bertanggungjawab, namun Hammer kembali untuk mengacai Stark lagi. Dengan teman wanitanya Bethany Cabe, sahabat-sahabat dan kakitangannya di sisi, Stark berjaya mengharungi kemelut-kemelut ini sambil mengatasi ketagihan alkoholnya.

Tidak lama kemudian, seorang musuh ketat bernama Obadiah Stane memanipulasi emosi Stark sehingga mengakibatkan penyakit Stark kambuh. Akibatnya, Stark kehilangan kuasanya di Stark International, menjadi seorang petualang kaki botol yang tiada tempat tinggal lalu menyerahkan baju perisainya kepada Rhodes, maka Rhodes menjadi Iron Man baru untuk jangka masa yang lama. Tidak lama kemudian, Stark pulih lalu mengasaskan syarikat baru, Circuits Maximus. Stark menumpu perhatiannya pada rekaan teknologi terbaru, termasuk membina baju perisai baru sebagai sebahagian terapi pemulihannya. Rhodes masih memegang peranan Iron Man tetapi beransur-ansur semakin agresif dan paranoid, kerana baju perisai itu tidak ditentukur dengan betul bagi kegunaannya. Akhirnya Rhodes mengamuk, maka Stark terpaksa memakai baju prototaip untuk menewaskannya. Apabila Circuits Maximus menghadapi ancaman Stane, Stark menggunakan baju perisai generasi baru yang baru siap itu untuk bertarung dengan Stane. Kemahiran Stark terbukti tiada tandingan kepada penggunaan sut lainan Stane (bergelar Iron Monger) yang kurang berpengalaman maka Stark berjaya mendapat kembali syarikatnya apabila Stane membunuh diri untuk mengelak dari ditangkap.

Kuasa dan kebolehan[sunting | sunting sumber]

Baju perisai[sunting | sunting sumber]

Iron Man memiliki baju perisai berkuasa yang memberinya kekuatan dan ketahanan luar biasa, kebolehan terbang, dan beraneka senjata. Baju perisai ini dicipta dan dipakai oleh Stark sendiri, kecuali ada beberapa orang lain yang mengambil alih identit Iron Man termasuk sahabat karib James Rhodes, sekutu-sekutu Harold "Happy" Hogan, Eddie March, dan Michael O'Brien.

Sistem senjata bajunya telah berevolusi mengikut peredaran zaman, tetapi senjata penyerangan terpenting Iron Man selama ini merupakan sinar penangkis yang ditembak dari tapak sarung tangannya. Senjata-senjata lain yang pernah dipasang dalam pelbagai varian baju perisai ini termasuk projektor bersinar di dadanya; palang-palang nadi yang mengumpul tenaga kinetik apabila berjalan agar makin jauh makin hebat tumbukannya; sebuah penjana denyut elektromagnet dan sebuah perisai tenaga. Kebolehan-kebolehan lain termasuk penjanaan ultra-freon, penghasilan dan manipulasi medan magnet, letupan sonik dan penjana hologram untuk menghasilkan umpan.

Selain model kegunaan am yang dipakainya, Stark turut memajukan beberap sut khusus untuk penerbangan angkasa lepas, penyelaman dasar laut, penyelinapan dan lain-lain. Stark mengubahsuai sut-sut seperti baju perisai "Hulkbuster" yang terdiri daripada tambahan pada baju perisai modularnya untuk mengukuhkan kekuatan dan ketahanannya lagi agar membolehkannya menangani Incredible Hulk. Satu lagi model yang direka untuk menentang Thor berasaskan Destroyer dan menggunakan sumber kuasa yang mistik.

Kemahiran[sunting | sunting sumber]

Stark ialah seorang genius yang memegang ijazah tinggi dalam kejuruteraan. Dia memaparkan akumen perniagaan yang tinggi, menguasai semula syarikat-syarikatnya setelah kehilangannya berkali-kali, dan membina pegangan syarikat-syarikatnya agar meningkatkan kekayaan dirinya. Apabila Stark tidak dapat menggunakan baju perisainya, dia meminta Captain America untuk melatih seni bela diri gar dirinya menjadi kuhuh.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Noer, Michael (2007-12-11). "The Forbes Fictional 15". Forbes. http://www.forbes.com/2007/12/11/richest-fictional-characters-oped-books-fict1507-cx_mn_de_1211fictional15_land.html. Capaian 2008-03-15. 
  2. Pisani, Joseph (2006-06-01). "The Smartest Superheroes". BusinessWeek. http://images.businessweek.com/ss/06/05/smart_heroes/index_01.htm. Capaian 2007-11-25. 
  3. Lee, Stan (1975). Son of Origins. New York: Simon and Schuster. m/s. 45. ISBN 0-671-22170-1. 
  4. Wright, Bradford (2001). Comic Book Nation. Baltimore MD: John Hopkins University Press. m/s. 336. ISBN 0-8018-6514-X. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]