Kolej Vokasional

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) merupakan satu pelan induk TVET negara bagi memantapkan lagi sistem pendidikan vokasional yang dimulakan sejak 2013 sehingga 2020, di mana berlakunya penstrukturan semula sekolah menengah vokasional dan sekolah menengah teknik kepada Kolej Vokasional (KV). Langkah ini di ambil bagi menyokong agenda transformasi ekonomi negara dalam menghasilkan tenaga kerja mahir yang kompeten. TPV telah mengubah persepsi masyarakat yang beranggapan pendidikan vokasional sebagai pendidikan kelas kedua dan menjadikannya setaraf dengan aliran perdana.

KV menawarkan dua (2) peringkat pengajian iaitu Sijil Vokasional Malaysia (SVM) dan Diploma Vokasional Malaysia (DVM). Murid lepasan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) daripada sekolah menengah harian yang berminat dan cenderung mengikuti aliran vokasional berpeluang menyambung pengajian di peringkat Sijil Vokasional Malaysia (SVM) sebelum melanjutkan pengajian di peringkat DVM.

KV menggunakan Kurikulum Standard Kolej Vokasional (KSKV) di mana ia mengutamakan pembelajaran secara praktikal (hands-on) berbanding teori. Kini, terdapat 87 buah KV menawarkan pengajian dalam pelbagai program vokasional di peringkat SVM dan DVM.

Pengiktirafan SVM oleh Lembaga Peperiksaan (LP) adalah setara dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Lulusan SVM juga akan dianugerahkan dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) tahap 3. Bagi mereka yang memenuhi syarat, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian ke peringkat DVM. Proses akreditasi program DVM dilaksanakan oleh Malaysia Qualifications Agency (MQA) dan Malaysia Board of Technologists (MBOT). Graduan DVM akan berpeluang menjadi tenaga kerja mahir yang kompeten, menyambung pengajian ke tahap yang lebih tinggi dan menjadi usahawan dalam bidang.