Lembaga Tabung Angkatan Tentera
| Ditubuhkan | Ogos 1972 |
|---|---|
| Ibu pejabat | Bangunan LTAT, Jalan Bukit Bintang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Malaysia |
| Laman web | ltat.org.my |
Lembaga Tabung Angkatan Tentera atau singkatannya LTAT ialah sebuah badan berkanun kerajaan yang telah ditubuhkan melalui akta parlimen, Akta 101, 1973 bagi mengadakan faedah-faedah persaraan dan faedah-faedah lain kepada anggota lain-lain pangkat dan satu skim simpanan kepada pegawai-pegawai Angkatan Tentera Malaysia dan anggota kerahan dalam pasukan sukarela.
Isi kandungan |
[sunting] Objektif
LTAT mempunyai dua objektif utama:
- Objektif utama pertama ialah mengadakan faedah persaraan dan faedah-faedah lain untuk anggota lain-lain pangkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (Pencarum wajib) dan satu skim simpanan untuk pegawai-pegawai Angkatan Tentera dan Anggota Kerahan Angkatan Sukarela.
- Objektif utama kedua ialah melaksanakan program-program latihan peralihan bagi Anggota Angkatan Tentera yang akan atau yang telah bersara.
[sunting] Visi
Menjadi sebuah organisasi yang berwibawa dan dicontohi oleh badan-badan Kerajaan dan korporat.
[sunting] Misi
LTAT telah menggariskan tiga misi penting seperti berikut:
- Mengadakan faedah-faedah persaraan dan sosioekonomi yang bermutu tinggi untuk anggota-anggota Angkatan Tentera Malaysia.
- Komited untuk membantu dalam pembangunan Negara melalui pelaburan yang berhemat.
- Menerapkan nilai-nilai kualiti dan budaya kerja cemerlang di kalangan pekerja dan bekerja secara berpasukan dengan penuh dedikasi, tanggungjawab, disiplin, amanah, proaktif dan inovatif ke arah pencapaian yang cemerlang dan berterusan.
[sunting] Dasar Kualiti
LTAT adalah komited untuk menjadi sebuah organisasi berwibawa dan mencapai tahap pengurusan dana wang caruman Anggota Angkatan Tentera yang tinggi bagi memenuhi ekspektasi pelanggan dari segi pemberian perkhidmatan dan pulangan wang caruman serta meningkatkan keberkesanan Sistem Pengurusan Kualiti secara berterusan.
[sunting] Caruman
Di bawah skim persaraan, pencarum wajib dikehendaki mencarum 10% daripada gaji bulanan kepada LTAT dan kerajaan akan mencarum sebanyak 15% sebagai majikan. Di bawah skim simpanan bagi pencarum sukarela simpanan dibenarkan sekurang-kurangnya RM25 sebulan sehingga had maksimum RM750 sebulan.
[sunting] Masa Depan
Melalui perancangan strategik yang terperinci, LTAT telah berjaya melaksanakan pelbagai program bagi mencapai wawasan dan matlamat bagi mempertingkatkan kedudukan sosioekonomi anggota angkatan tentera yang sedang berkhidmat dan juga bagi mereka yang telah bersara.
LTAT akan meneruskan dasar dan strategi untuk mempelbagaikan portfolio pelaburannya. Walau bagaimanapun, penekanan akan diberikan ke atas sektor pembuatan, sektor pembangunan hartanah, dan sektor kewangan dan di dalam projek-projek penswastaan kerajaan.
LTAT dijangka dapat meneruskan pertumbuhan yang dinamik dan progresif dalam semua kegiatannya. LTAT juga akan menunaikan tanggungjawabnya untuk menguruskan tabungan pencarum dan aset-aset yang diamanahkan kepadanya dengan cara yang paling berkesan dan cekap supaya dapat memberikan pulangan yang sebaik mungkin, dan melindungi nilai dananya.
LTAT akan terus memberikan perkhidmatan yang cemerlang dan terus mengenalpasti dan mewujudkan faedah-faedah baru untuk pencarum-pencarumnya dan melaksanakan program-program sosioekonomi yang lebih inovatif untuk bekas anggota angkatan tentera.