Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB) yang terletak diatas sekeping tanah yang agak luas juga (kira-kira empat lot) di Jalan Raja Alang, Kampung Baru, Kuala Lumpur, Malaysia yang dianugerahkan oleh seorang dermawan bernama Haji Bachik bin Abdullah. Haji Bachik berasal dari Melaka dan mempunyai sebuah rumah di Jalan Melayu. Sebagai seorang pedagang yang menjawat jawatan sebagai ketua orang-orang Melayu pada ketika itu, bertumpu tinggal di Kampung Hujung Pasir.

Sebenarnya nama Kampung Baru wujud atas dasar penyatuan dari beberapa buah kampung Melayu atau mukim. Pada kira-kira tahun akhir 1880 terdapat tujuh buah kampung yang kedudukannya berdekatan antara satu dengan yang lain. Penyatuan kampung-kampung tersebut telah dilakukan tahap demi tahap kerana masing-masing penduduk mahukan pentadbiran itu harus diterajui oleh mereka sendiri. Misalnya Kampung Masjid telah menjadi sebahagian Kampung Baru pada tahun 1880, Kampung Periok pula dalam tahun 1890. Kampung Hujung Pasir telah masuk ke dalam Ikatan Perkampungan itu dalam tahun 1900. Dalam tahun-tahun berkutnya jelas kelihatan jumlah penduduk semakin bertambah.

Berita tentang kemakmuran penduduk-penduduk Kampung Baru telah diketahui umum khususnya oleh peniaga-peniaga yang berulang alik dari Kuala Lumpur ke Klang. Maka orang dari keturunan Jawa pula tidak mahu ketinggalan untuk mencari rezeki di Kampung Baru. Dalam tahun 1906 pula ramai orang-orang Jawa berhijrah ke Kampung Baru di suatu yang digelar Kampung Paya. Dalam tahun 1914 pula Kampung Periok diterima masuk dalam lingkungan Kampung Baru dengan pembahagian lot-lot tanah untuk tujuan penempatan.

Susunan penempatan semula ini telah diserahkan kepada Kerajaan oleh unit Perancang Bandar pada tahun 1929.

Kampung yang asalnya mempunyai 12 rumah di persisir Sungai Klang di sebelah Timur dalam awal tahun 1900, tiga puluh tahun kemudiannya telah menjadi tumpuan pendatang-pendatang dari Ulu Selangor, Kajang dan Klang. Misalnya dalam tahun 1930 di Kampung Baru terdapat 554 buah rumah dengan jumlah penduduk seramai 2600 orang. Jumlah ini meningkat kepada 615 buah rumah dan jumlah penduduknya seramai 3562 orang. Sehingga bulan Mei 1935, 750 lot telah dibahagikan bersama hakmilik sementara.

Di antara lot-lot tersebut terdapat lot kepunyaan Tuan Haji Bachik yang kemudiannya telah mewakafkan kepada Lembaga Pentadbir Kawasan Kampung di akhir tahun dua puluhan untuk didirikan sebuah surau. Dengan jerih payah penduduk maka terdirilah sebuah balai dari lantai dan tiang nibong yang kemudiannya telah ditukarkan menjadi surau. Di kawasan ini juga dijadikan tanah perkuburan bagi penduduk Kampung Baru ketika itu.

Sejak masa itu hingga kini, Masjid Jamek Kampung Baru telah menjadi tumpuan masyarakat kampung. Sebanyak tiga kali bangunan asal telah diruntuhkan. Pada kali yang ketiga masjid yang berbentuk seperti rumah Melaka telah diganti bangunan baru dengan memohon derma dari setiap kelamin penduduk kampung sendiri iaitu dengan mengenakan RM60.00 bagi setiap kelamin dan pembayaran boleh dibuat secara beransur-ansur. Hingga tahun 1955 jumlah kutipan yang dibuat dengan cara itu telah dapat mengumpulkan sebanyak RM30,000.00. Oleh kerana kutipan itu di anggap lambat, satu jawatankuasa yang baru telah ditubuhkan untuk menjalankan kempen mengutip derma dengan lebih aktif lagi. Akhirnya Kerajaan Negeri Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM90,000.00 dan sekiranya terdapat kekurangan, orang ramai diminta meneruskan derma baktinya. Maka dengan kehendak Allah, Masjid Kampung Baru telah terdiri dengan belanja sebanyak RM214,000.00 yang mana perletakan Batu Asas Binaan telah disempurnakan oleh YTM Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj pada tahun 1956 .

Hari ini, Masjid Jamek Kampung Baru terpaksa menampung lebih dari 7000 orang jamaah setiap hari Jumaat. Dan pada waktu sembahyang tidak kurang dari 500 orang berjamaah. Jumlah ini bertambah dari hari ke hari. Sebagaimana biasa kuliah tetap diadakan setiap malam selepas Maghrib sementara kuliah Subuh pula diadakan selepas Subuh hingga pukul 7.00 pagi setiap hari. Kuliah Subuh mula diadakan pada awal tahun enam puluhan lagi oleh tuan-tuan guru antaranya Allahyarham Anuar Mussadad dan Allahyarham Tuan Haji Kiai Fathullah Harun dan disambung oleh tuan-tuan guru lain seperti Allahyarham Tuan Haji Mohd Tahir bin Jaafar, Allahyarham Tuan Haji Osman bin Mohd Noor (bekas Kadi Kuala Lumpur), Allahyarham Ustaz Haji Ahmad bin Ramli dan guru-guru yang lain hinggalah ke masa ini.

Pembangunan Masjid[sunting | sunting sumber]

Masjid ini secara fizikalnya berukuran 69,665 kaki persegi atau 6,472 meter persegi. Kapasiti untuk menampung jamaah dalam anggaran 7,000 orang jamaah dalam satu-satu masa terutamanya pada hari Jumaat.

Masjid Jamek Kampung Baru ini juga dilengkapi dengan Dewan Solat Muslimin dan Muslimat, Pejabat Pentadbiran, Bilik Mesyuarat, Bilik Tetamu, Bilik Imam & Bilal, Bilik Pengurusan Jenazah, Ruang Dapur dan Perpustakaan. Dewan Solat Muslimin dan Muslimat yang dilengkapi dengan kemudahan penghawa dingin turut memberi keselesaan kepada para jamaah yang berkunjung.

Selain itu juga, terdapat Pusat Didikan Kanak-kanak Islam atau Tadika Islam Masjid Jamek Kampung Baru yang mampu menempatkan 150 orang murid sahaja, 5 kelas dalam satu sesi 8.00 pagi – 11.00 pagi. Tadika MJKB ini mendapat sambutan amat baik di kalangan ibubapa dari segi pendaftaran masuk anak-anak mereka yang berumur 5 hingga 6 tahun yang terdiri daripada anak-anak kariah Kg Baru sendiri dan luar kariah Kg Baru. Tadika Masjid Jamek Kampung Baru ini juga pernah menerima anugerah Tadika Cemerlang peringkat Wilayah Persekutuan pada tahun 2004 dan 2005 selain Ketua Guru Cemerlang 2001, Guru Cemerlang 2004. Selain Tadika ini juga turut mencapai prestasi yang cemerlang dalam bidang pelajaran iaitu 85 % hingga 98 % dalam gred A hingga C. Pernah menjuarai Pertandingan Mengaji Al Quran sebanyak 4 kali, Pertandingan Nasyid dan Duga Akal, masing-masing 4 kali dan 3 kali.

Rujukan[sunting | sunting sumber]