Metrologi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Seorang ahli sains berdiri di hadapan tapak uji mikroarkasaat (1 persejuta 1 arkasaat atau 1 persejuta 1/3600 darjah).

Metrologi merupakan ilmu mengukur yang merangkumi segala segi pengukuran yang teori mahupun amali. Istilahnya berasal dari bahasa Yunani iaitu μέτρον (metron), "ukur"[1] + "λόγος" (logos) yang bermaksud "hujah, perkataan, kajian, kira-kira, ilmu" dsb.[2] Dalam bahasa Yunani Kuno, istilah μετρολογία (metrologia) bererti "teori nisbah".[3]

Metrologi ditakrifkan oleh Biro Timbangan dan Ukuran Antarabangsa (BIPM) sebagai "ilmu mengukur yang merangkumi penentuan secara uji kaji dan teori sekali pada sebarang tahap ketaktentuan di dalam mana-mana bidang sains dan teknologi."[4]

Metrologi terbahagi kepada anak-anak bidang yang berikut:

Metrologi saintifik atau asas[sunting | sunting sumber]

Metrologi saintifik atau asas berkenaan dengan penentuan sistem kuantiti, sistem unit, unit ukuran, pembangunan kaedah ukuran yang baru, pewujudan piawaian ukuran dan pemindahan kebolehkesanan dari piawaian-piawaian ini kepada masyarakat. BIPM menjaga pangkalan data penentukuran metrologi serta keupayaan mengukur oleh pelbagai institusi di seluruh dunia. Institusi-institusi ini yang kegiatannya diulas sebaya menyediakan titik rujukan tahap tertinggi untuk kebolehkesanan metrologi. Dalam bidang ukuran, BIPM telah mengenal pasti sembilan bidang yang sesuai untuk metrologi, termasuk kepanjangan, jisim dan masa.

Metrologi gunaan, teknikal atau industri[sunting | sunting sumber]

Metrologi gunaan, teknikal atau industri berkenaan dengan penggunaan ilmu ukuran pada bidang pembuatan dan sebagainya serta kegunaannya dalam masyarakat untuk memastikan kesesuaian alat ukur, penentukuran dan kawanan mutu ukuran. Walaupun anak bidang metrologi ini menekankan ukuran itu sendiri, namun kebolehkesanan penentukuran alat ukur itu perlu untuk memastikan keyakinan terhadap ukuran.

Metrologi undang-undang[sunting | sunting sumber]

Metrologi undang-undang berkenaan dengan "kegiatan-kegiatan yang terhasil daripada keperluan undang-undang serta mengenai pengukuran, unit ukuran, alat ukur dan kaedah-keadah pengukuran yang dilakukan oleh pihak-pihak yang berkemampuan."[5] Keperluan undang-undang begini boleh timbul daripada keperluan menjaga kesihatan, keselamatan awam, alam sekitar, pencukaian, perlindungan untuk pengguna dan perdagangan adil antara lainnya. OIML ditubuhkan untuk membantu dalam menyelaraskan peraturan-peraturan sedemikian di peringkat antarabangsa demi memastikan peraturan-peraturan itu tidak menghambat perdagangan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. μέτρον, Henry George Liddell, Robert Scott, A Greek-English Lexicon, on Perseus
  2. λόγος, Henry George Liddell, Robert Scott, A Greek-English Lexicon, on Perseus
  3. μετρολογία, Henry George Liddell, Robert Scott, A Greek-English Lexicon, on Perseus
  4. "What is metrology?". BIPM. 2004. Diperolehi pada 2011-12-01. 
  5. International Vocabulary of Terms in Legal Metrology. Paris: OIML. 2000. p. 7. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]