Oran Henderson

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Oran K Henderson adalah pegawai pemerintah 11 Briged Infantri, Divisyen Americal semasa tragedi pembunuhan beramai-ramai di My Lai. Belaiu merupakan pegawai tertinggi dihadapkan pertuduhan berikutan Pembunuhan Beramai-ramai di My Lai.

Semasa tragedi My Lai, Kolonel Henderson sudah berkhidmat selama 25 tahun dan beliau menyimpan hajat menjadi seorang Jeneral. Beliau mengambil alih pemerintahan 11 Briged sehari sebelum kejadian di My Lai. Sebelum memimpin 11 Briged, Kolonel Henderson tidak pernah memimpin pasukan semasa pertempuran. Operasi di My Lai adalah pertempuran sulung bagi Kolonel Henderson.

Apabila juru terbang helikopter Hugh Thompson, Jr. membuat tuduhan terdapat pembunuhan tidak sah di My Lai, Kapten Ernest Medina mendakwa antara 20 hingga 28 orang awam terbunuh di My Lai akibat serangan helikopter penyerang dan bedilan artileri.

Pada pukul 3.00 petang hari kejadian, Kolonel Henderson memerintahkan Kapten Ernest Medina untuk kembali ke My Lai dan mempastikan berapa ramai orang awam terbunuh. Tetapi arahannya dibatalkan oleh pegawai yang lebih tinggi. Kolonel Henderson mentafsirkan bahawa pihak atasan tidak mahukan siasatan rapi dijalankan.

Siasatan Kolonel Henderson sekadar mengumpulkan askar-askarnya beramai-ramai dan bertanya sama ada sesiapa terlibat dengan pembunuhan sembarangan. Semua askarnya menjawab tidak ada, walaupun ramai kemudiannya menyatakan mereka menjawab “tiada komen”. Pada mulanya, Kolonel Henderson cuba menyorokkan perlakuan jenayah yang dilakukan oleh anggota-anggota Kompeni C, battalion 1-20 Infantri. Dalam laporan yang dimajukan kepada Jeneral Young pada 19 Mac, Kolonel Henderson mendakwa 20 orang penduduk awam terkorban secara tidak disengajakan. Kolonel Henderson merumuskan bahawa tiada orang awam dikumpulkan dan ditembak oleh tentera Amerika. Beliau menyatakan tuduhan pembunuhan beramai-ramai tersebut ternyata propaganda oleh pihak Viet Cong untuk memburukkan nama baik tentera Amerika. Laporan Kolonel Henderson boleh dilihat di sini [1] Diarkibkan 2007-03-12 di Wayback Machine

Dalam keterangan semasa perbicaraan, Kolonel Henderson menafikan diberitahu bahawa askar-askar di bawah pemerintahannya terlibat dalam pembunuhan sembarangan orang-orang kampung, walaupun Hugh Thompson, Jr. sebelumnya memberikan keterangan bahawa dia (Thompson) menghabiskan masa 20 hingga 30 minit bersama Kolonel Henderson untuk memberi maklum secara terperinci mengenai kejadian di My Lai.

Pada 26 Februari 1971, Tentera Darat Amerika mengumumkan Kolonel Henderson akan dihadapkan ke mahkamah tentera di atas peranannya cuba menyorok perbuatan pembunuhan di My Lai. Kolonel Henderson didapati tidak bersalah pad 17 Disember 1971. Kolonel Henderson meninggal dunia pada 2 Jun, 1998.