Paduka Seri Rama

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Paduka Seri Rama merupakan seorang pemerintah negeri Terengganu pada penghujung abad ke-17. Beliau bersama dua orang lagi pembesar iaitu Paduka Laksamana dan Paduka Raja telah diperintahkan oleh Datuk Bendahara Padang Saujana Johor Tun Habib Abdul Majid agar mengambil alih pemerintahan negeri Terengganu daripada penguasaan megat-megat melalui cara kekerasan. Setelah megat-megat tersebut berundur ke Pahang, Paduka Seri Rama telah kembali ke Johor lalu menghadap Datuk Bendahara. Diperintahkan pula oleh beliau agar Paduka Seri Rama dan Paduka Laksamana agar memerintah Terengganu dengan Seri Rama sebagai ketuanya. Mereka berdua menetap di Kampung Teluk Menara. Setelah berlangsung suatu masa, maka terjadilah suatu perselisihan antara Seri Rama dengan Laksamana yang mengakibatkan pertikaman Seri Rama oleh Laksamana. Lantas beliau meninggal dunia lalu dikebumikan di Bukit Makam (sekarang Bukit Keledang).

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Paduka Seri Rama mempunyai tiga orang anak yang bernama Cik Halimah, Ganda Abu dan Ganda Ahmad.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Dato' Haji Muhammad Saleh bin Haji Awang (Misbaha) (1983). Sejarah Darul Iman hingga 1337H = 1918M. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. m/s. 38. ISBN 9789676100115. OCLC 23565321.