Pelindung cahaya matahari

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Fail:Lolyco Nutox Oxyfusion Sunblock SPF45.jpg
Pelindung cahaya matahari direka pada tahun 1938 dan sejak masa itu, telah menjalani banyak pembaikan dan kini boleh didapati dengan mudah, termasuk dalam talian seperti di Lolyco.com, Diarkibkan 2008-12-04 di Wayback Machine sebuah kedai Malaysia dalam talian.

Pelindung cahaya matahari, juga dikenali sebagai pelindung kulit, ialah losen, semburan, atau produk topikal yang menyerap atau memantulkan sinaran ultraungu (UV) matahari demi melindungi kulit.

Pelindung cahaya matahari mengandungi satu atau lebih penapis UV yang terdiri daripada tiga jenis yang utama: [1]

  • sebatian kimia organik yang menyerap cahaya ultraungu (seperti oksibenzona);
  • zarahan tak organik yang memantulkan, menyelerakkan, dan menyerap cahaya UV (seperti titanium dioksida, zink oksida, atau segabungan kedua-duanya);
  • zarahan organik yang terutamanya menyerap cahaya dengan cara yang serupa dengan sebatian kimia organik, tetapi mengandungi berbilang kromofor serta memantulkan dan menyelerakkan sebahagian cahaya seperti dengan zarahan tak organik. Dalam bentuk rumusan, ia juga bertindak dengan cara yang tidak sama dengan sebatian kimia organik. Salah satu contohnya ialah Tinosorb M.

Pertubuhan-pertubuhan perubatan seperti American Cancer Society mengesyorkan penggunaan pelindung cahaya matahari.[2]


Dos yang disyorkan[sunting | sunting sumber]

Dos yang digunakan oleh FDA untuk menguji pelindung cahaya matahari ialah 2 mg bagi setiap sentimeter persegi kulit terdedah.[3] Dengan syarat bahawa seseorang dewasa yang "sederhana" berukuran 5 kaki 4 inci (163 cm) tingginya dan 150 paun (68 kg) beratnya serta mempunyai pinggang yang berukuran 32 inci (82 cm), orang dewasa sedemikian yang memakai seluar mandi sahaja perlu menggunakan 29 g (lebih kurang 1 auns) pelindung yang disapu dengan rata pada bahagian badan yang terdedah. Bagi muka sahaja, sukatan tersebut adalah lebih kurang 1/4 hingga 1/3 sudu teh bagi setiap muka dewasa yang sederhana.

Berbeza dengan nasihat umum bahawa pelindung cahaya matahari harus dibubuh semula pada setiap 2-3 jam, sesetengah penyelidikan telah menunjukkan bahawa pelindungan yang terbaik boleh dicapai dengan menggunakannya 15-30 minit lebih dahulu sebelum sebarang pendedahan kepada cahaya matahari, diikuti oleh pembubuhan semula 15-30 minit selepasnya. Pembubuhan tambahan hanya diperlukan selepas kegiatan-kegiatan seperti berenang, perpeluhan, dan penggosokan.[4]

Walaupun demikian, penyelidikan yang lebih terkini di University of California, Riverside menunjukkan bahawa pelindung cahaya matahari perlu dibubuh semula pada setiap dua jam bagi memastikan keberkesanannya. Kecuaian berbuat demikian boleh menerukkan kerosakan sel, akibat pembebasan lebih banyak radikal bebas daripada kimia-kimia pelindung yang diserap ke dalam kulit.[5] Sebaliknya, sesetengah kajian pula menunjukkan bahawa orang yang hanya menggunakan separuh hingga sesuku jumlah yang disyorkan oleh pengiklan dapat mencapai SPF terkadar dan oleh itu, SPF yang berkesan harus diturunkan sehingga punca kuasa dua atau punca kuasa empat jumlah yang diiklankan.[6]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pelindung cahaya matahari pertama yang berkesan dikembangkan oleh ahli kimia, Franz Greiter, pada tahun 1938. Produknya yang dikenali sebagai Gletscher Crème (Krim Glasier) kemudian menjadi asas kepada syarikat Piz Buin (dinamai sempena nama tempat yang Greiter dikatakan memperoleh pelindung cahaya matahari yang mengilhami campurannya) yang kini merupakan salah satu pemasar produk pelindung cahaya matahari yang terkenal. Sesetengah rencana internet mengatakan bahawa Gletscher Crème memiliki Faktor Pelindungan Cahaya Matahari (SPF) sebanyak 2 kali, walaupun petikan penyelidikan tidak dapat dijumpai dalam talian.

Franz Greiter telah dihargai kerana memperkenalkan konsep Faktor Pelindungan Cahaya Matahari (SPF) pada tahun 1962. Ukuran itu kini telah menjadi piawai di seluruh dunia untuk mengukur keberkesanan pelindung cahaya matahari apabila disapu dengan rata pada kadar 2 miligram per sentimeter persegi (mg/cm2). Terdapat sesetengah perbalahan tentang kebergunaan ukuran SPF, khususnya tentang adakah kadar penggunaan 2 mg/cm2 itu membayangkan kadar yang benar-benar digunakan oleh pengguna.

Pelindung cahaya matahari pertama yang digunakan secara meluas dikeluarkan oleh Benjamin Greene, seorang askar udara yang kemudian menjadi ahli farmasi, pada tahun 1944. Produknya, Red Vet Pet (untuk Red Veterinary Petrolatum), memiliki keberkesanan yang terhad, dan bertindak sebagai penghalang fizikal kepada sinaran ultraungu. Ia merupakan bahan merah dan lekit yang tidak menyenangkan, seolah-olah jeli petroleum. Produk ini dikembangkan pada kemuncak Perang Dunia II apabila bahaya terhadap pendedahan yang berlebih-lebihan kepada cahaya matahari disedari oleh para askar di Lautan Pasifik serta juga keluarga masing-masing di rumah. Kini, pelindung cahaya matahari yang lebih baru dan yang dapat bertahan daripada air dan peluh telah dikembangkan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Shaath, N. (2005). "The Chemistry of Ultraviolet Filters," in Regulations and Commericial Development 3rd edition, edited by N. Shaath, Taylor and Francis Press, New York. 954pp, 2005.
  2. ^ [1] What You Need To Know About Skin Cancer
  3. ^ http://www.fda.gov/ohrms/dockets/dailys/00/Sep00/090600/c000573_10_Attachment_F.pdf
  4. ^ Diffey B (2001). "When should sunscreen be reapplied?". J Am Acad Dermatol. 45 (6): 882–5. doi:10.1067/mjd.2001.117385. PMID 11712033.
  5. ^ Kerry M. Hanson, Enrico Gratton and Christopher J. Bardeen (2006). "Sunscreen enhancement of UV-induced reactive oxygen species in the skin". Free Radical Biology and Medicine. 11: 1205. doi:10.1016/j.freeradbiomed.2006.06.011.
  6. ^ http://www3.interscience.wiley.com/journal/117983506/abstract?CRETRY=1&SRETRY=0[pautan mati kekal]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

* FDA monograph on sunscreen Diarkibkan 2007-01-05 di Wayback Machine
* FDA monograph on dosing, mechanism of action, and photodegradation of sunscreen (PDF file)