Pengguna:Yahyasahri

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

PANDUAN MEMULAKAN PERNIAGAAN DI MALAYSIA OLEH MOHD YAHYA BIN MAT SAHRI

Prakata

Alhamdullilah dipanjatkan penuh kesyukuran kehadrat Allah SWT serta Selawat dan Salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Saya mengucapkan penuh kesyukuran di atas limpah kurnia Allah SWT memberikan saya umur, kesihatan serta kekuatan untuk menyusun satu lagi buku panduan bagi para usahawan dan peniaga.

Buku Panduan Memulakan Perniagaan yang hanya setebal 50 mukasurat ini merupakan satu buku panduan yang dapat digunakan oleh pembaca yang ingin menceburkan diri dalam dunia keusahawanan. Dunia keusahawanan yang penuh dengan onak serta pancaroba seharusnya diberikan satu pedoman serta panduan sebagai satu jalan penyelesaian seandainya berlaku satu masalah yang menemui jalan buntu. Usahawan serta peniaga merupakan orang yang kreatif serta punya daya imaginasi yang tinggi dan punya pelbagai alternatif bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi. Adanya buku seperti ini yang tidak banyak dipasaran merupakan satu lagi alternatif bagi menambahkan kepelbagaian jalan penyelesaian dalam pengurusan perniagaan.

Dunia menuju era globalisasi yang tidak dapat dibendung serta disekat oleh mana-mana negara di dunia ini. Sumber maklumat amat penting bagi mencapai keberkesanan dalam membuat keputusan kepada pilihan yang cukup banyak dalam apa jua bidang. Melalui Internet seorang pelajar boleh mendapat maklumat mengenai jurusan apa yang harus menjadi pilihannya, dengan membanding maklumat, seorang yang ingin mencari pekerjaan boleh mendapat pekerjaan diseluruh dunia, seorang surirumah boleh mendapatkan resepi masakan Italy, Brazil atau mana-mana negara juga untuk mencari jodoh internet boleh membantu. Penguasaan dunia masa akan datang adalah bergantung kepada siapa yang punya maklumat serta ilmu yang lebih, dialah yang akan menguasai dunia.

Penyusunan buku ini yang ringkas serta mudah dibaca, mudah dibawa, mudah disimpan dan yang utamanya murah harganya akan banyak membantu masyarakat Malaysia yang ingin membuat kertas kerja dalam memulakan perniagaan juga dalam permohonan pinjaman. Kandungannya juga memuatkan jenis-jenis dana pembiayaan dan alamat agensi pelaksana skim dana yang dikeluarkan.

Para pembaca dan pihak yang menggunakan kandungan buku ini sebagai bahan cetusan untuk memajukan diri, saya ucapkan syabas dan tahniah kerana dapat membantu diri sendiri bagi kebaikan keluarga dan masyarakat. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam penghasilan buku ini khususnya isteri dan anak-anak saya, semua kakitangan YSP , semua AJK DPIMS, pengatur huruf, pencetak, pengedar dan para pembaca sekelian. Sama-sama kita berdoa kehadrat Ilahi agar kita semua sentiasa dibawah rahmat serta rahimNya.

Mohd Yahya Bin Mat Sahri ysp3737my@yahoo.com yahyasahri@gmail.com Facebook: www.facebook.com/yahyasahriII Twitter: @yahyasahri

YSP Management & Training Sdn.Bhd. 24-3-2, Tingkat 3, Jalan Semarak Api 3 Diamond Square Off Jalan Gombak 53000 Kuala Lumpur Tel : 03 - 4023 5155, Faks : 03 - 4023 4155

 KANDUNGAN	

1.KEUSAHAWANAN Takrif Pengertian Keusahawanan Sifat Usahawan Peranan Usahawan Nilai-Nilai Keusahawanan Dalam Masyarakat Ringkasan Keusahawanan

2.MENGENALPASTI PELUANG-PELUANG PERNIAGAAN Pengalaman Persekitaran Perkembangan Dan Perubahan Ekonomi Perubahan Dan Perkembangan Teknologi Masalah Semasa Pengguna Kreativiti Dan Daya Cipta BAB 1 KEUSAHAWANAN

TAKRIF

Keusahawan boleh disifatkan sebagai suatu kebolehan, kemampuan serta kecenderungan untuk mencari peluang-peluang perniagaan, mengusahakan perniagaan tersebut, membuat pembaharuan atau pengubahsuaian yang berfaedah serta memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat.

PENGERTIAN USAHAWAN

Usahawan ialah orang yang melibatkan diri dalam sesuatu perniagaan atau perusahaan. Dia bertanggungjawab dalam mengusahajan sesuatu perusahaan samada dalam bidang pertanian, penternakan, pengeluaran atau perkhidmatan. Pendek kata usahawan ialah orang yang berusaha membuat sesuatu yang baru (kreatif), merancang dan mencipta sesuatu yang lebih baik (inovatif), mengatur serta mewujudkan pasaran dan sanggup menghadapi risiko.

Bagi seseorang usahawan, kepuasan utamanya ialah apabila dapat mencipta sesuatu kekuatan perniagaan yang mencabar. Motif keuntungan menjadi matlamat kedua. Baginya keuntungan merupakan sasaran dalam jangka panjang.

SIFAT USAHAWAN

Adakah sifat keusahawanan wujud disebabkan oleh faktor-faktor keturunan? Ataupun sifat ini boleh diasuh, dibimbing dan dilatih? Sifat-sifat keusahawanan boleh wujud pada setiap orang yang bekerja keras, berusaha bersungguh-sungguh demi mencapai cita-cita yang diingini. Antara sifat-sifat usahawan.

Dorongan Kejayaan ‘Rajin itu tangga kejayaan’, begitulah bunyi peribahasa yang menjelaskan bahawa setiap manusia yang rajin akan mencapai kejayaan. Begitulah juga halnya dengan usahawan, mereka yang rajin biasanya mudah mencapai kejayaan. Mereka juga harus gigih dalam menjalankan tugas, tidak kira samada tugas itu muda ataupun rumit.

Keyakinan Diri Seseorang usahawan harus mempunyai keyakinan diri dalam mengusahakan sesuatu perniagaan. Keyakinan diri akan menjadikan seseorang usahawan berani untuk mengorak langkah dalam bidang perniagaan yang diminatinya. Sifat keyakinan diri membolehkan usahawan terus memupuk minatnya yang berterusan dalam perniagaannya. Ini dapat mengelakkan wujudnya sikap ‘hangat-hangat tahi ayam’ di kalangan usahawan.

Berjimat Cermat Sikap berjimat cermat yang ada pada seseorang usahawan membolehkannya menyimpan wang untuk dijadikan modal. Dengan cara ini usahawan tidak perlu meminjam daripada institusi kewangan ataupun beliau hanya membuat pinjaman yang minimum sahaja kerana mempunyai simpanan sendiri. Hal ini dapat mengelakkan usahawan daripada menanggung liabiliti yang berat, terutamanya bagi usahawan muda.

Mengenal Dan Merebut Peluang Usahawan seharusnya peka terharap peluang-peluang perniagaan yang ada di sekelilingnya. Usahawan yang bijak akan sentiasa berusaha mencari peluang dan cekap mengenalpasti peluang yang sedia ada ataupun yang wujud. Usahawan perlu dapat memanfaatkan sesuatu situasi untuk dijadikan sebagai peluang perniagaan. Usahawan harus sedar bahawa peluang hanya datang sekali sekala, boleh dicari, boleh diwujudkan dan perlu direbut, kalau lambat bertindak maka terlepaskan peluang.

Membuat Keputusan Yang Bijak Dan Tepat Kejayaan sesebuah perniagaan juga bergantung kepada keupayaan usahawan membuat keputusan yang bijak dan tepat. Keputusan yang dibuat harus sesuai dengan tempat dan masanya. Proses membuat keputusan bukanlah suatu perkara yang mudah kerana masa dapat perniagaan akan hancur jika usahawan salah membuat keputusan. Usahawan perlu meneliti dan mengkaji pelbagai faktor sebelum membuat sesuatu keputusan. Usahawan juga perlu menganalisi kesan-kesan yang mungkin timbul daripada sesuatu keputusan yang hendak dibuatnya.

Mengambil Risiko Yang Sederhana Setiap usahawan terdedah kepada pelbagai jenis risiko dalam perniagaannya. Usahawan harus sanggup dan berhati-hati ketika mengambiil sesuatu risiko. Usahawan yang bijak akan memastikan bahawa risiko yang diambilnya itu sesuai dengan kebolehan, kemampuan dan pengalamannya.

Sebelum mengambil sesuatu risiko, usahawan perlu merancang dan mengkaji untuk memastikan bahawa risiko tersebut adalah munasabah supaya kerugian dapat dielakkan atau diminimumkan.

Tabah Dan Tenang Di dalam menjalankan perniagaanya, usahawan harus tabah dan tenang semasa menghadapi sebarang cabaran dan masalah. Usahawan patut menerima cabaran dan masalah yang boleh diatasi. Kekurangan bukan merupakan suatu rintangan atau halangan yang kekal abadi. Usahawan harus melihatnya dari sudut lain untuk dijadikan sebagai peluang. Salah satu cabaran yang pasti dihadapi oleh usahawan persaingan daripada pengusaha-pengusaha lain.

Inovatif Usahawan harus mempunyai idea-idea untuk menukarkan sesuatu barangan atau perkhidmatan yang sedia ada kepada sesuatu yang lebih baik. Dengan kebolehan ini, usahawan dapat memperbaiki barangan atau perkhidmatan supaya menepati kehendak dan citarasa pengguna. Melalui cara ini dia dapat mengatasi pesaing-pesaingnya. Umpamanya seseorang yang inovatif dapat mengusahakan tempurung kelapa menjadi senduk, tempat abu rokok, bunga hiasan dan bekas meletak pensel.

Sentiasa Memandang Ke Hadapan Usahawan tidak seharusnya berpuas hati dengan apa yang telah dicapainya. Mereka harus sentiasa berusaha dan bekerja kuat untuk memaju dan memperkembangkan perniagaannya, serta tidak mudah putus asa. Usahawan perlu sentiasa berpegang kepada prinsip ‘gagal bukan bererti kalah’.

Usahawan seharusnya mempunyai kebolehan memandang jauh ke hadapan. Usahawan yang mempunyai sifat ini sentiasa berada selangkah di harapan pesaing-pesaingnya. Dengan keadaan demikian usahawan berkenaan mempunyai kelebihan untuk mengatasi pesaing-pesaingnya. Keupayaan berpandangan jauh juga membolehkan seseorang usahawan merancang dan mengambil langkah-langah untuk meminimumkan sebarang kemungkinan kerugian.

Bertanggungjawab Sifat bertanggungjawab yang ada pada seseorang usahawan membolehkan perniagaannya berkembang. Disamping itu, usahawan mempunyai tanggungjawab kepada masyarakat dan negara. Usahawan bertanggungjawab menjaga kebersihan alam dari pencemaran oleh kegiatan perniagaannya. Usahawan juga mempunyai tanggungjawab untuk membantu ahli-ahli masyarakat yang kurang bernasib baik.

Kreatif Kreatif bererti mencipta sesuatu yang baru. Kreativiti seseorang usahawan terdapat dalam pelbagai bentuk, bergantung kepada situasi dan jenis perniagaan yang dijalankan. Usahawan yang memiliki daya pemikiran yang kreatif sentiasa dapat menghasilkan pembaharuan dan kemajuan. Usahawan yang berfikiran kreatif dapat meneroka bidang-bidang baru yang belum dilakukan oleh orang lain.

PERANAN USAHAWAN

Usahawan memainkan peranan penting untuk memastikan kejayaan perusahaannya. Disamping itu usahawan juga memainkan peranan yang penting terhadap masyarakat dan negara. Peranan yang dimainkan oleh usahawan adalah seperti berikut:

a)Mewujudkan peluang pekerjaan b)Memenuhi keperluan dan kehendak masyarakat c)Menyumbang terhadap pembangunan ekonomi d)Meningkatkan taraf hidup masyarakat e)Penemuan dan ciptaan baru

Mewujudkan Peluang Pekerjaan Usahawan dapat mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat. Perusahaan yang dijalankannya dapat mewujudkan pelbagai jenis peluang pekerjaan.

Memenuhi Keperluan Dan Kehendak Masyarakat Manusia mempunyai keperluan dan kehendak yang pelbagai. Pada zaman moden ini manusia menggunakan wang untuk membeli barang-barang dan perkhidmatan bagi memenuhi keperluan dan memuaskan kehendak masing-masing. Usahawan memainkan peranan untuk mengeluar dan membekalkan barang-barang dan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan orang ramai. Contohnya usahawan seperti Datuk Mohamed Kamal yang menjalankan perusahaan mengeluarkan barang-barang seperti bedak, syampoo, losyen dan biskut untuk memenuhi permintaan pasaran. Begitulah halnya dengan usahawan-usahawan lain yang mengeluar makanan, pakaian, rumah serta pelbagai jenis perkhidmatan untuk memenuhi keperluan dan kehendak orang ramai.

Menyumbang Terhadap Pembangunan Ekonomi Usahawan memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi negara. Aktiviti usahawan dalam sektor-sektor ekonomi yang penting seperti perladangan, perlombongan, pengilangan dan perkhidmatan telah membantu pembangunan ekonomi negara sejak sebelum merdeka lagi. Hasil keluaran dari sektor-sektor ini merupakan sumber pendapatan yang besar kepada pihak kerajaan. Dengan itu kerajaan berupaya membangunkan ekonomi negara dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti pendidikan, kesihatan, jalanraya, bekalan eletrik dan air untuk rakyat.

Usahawan boleh membantu negara mencapai matlamat Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian. Diantara peranan usahawan ialah meningkatkan pelaburan dalam bidang yang masih baru, khususnya dalam sektor industri berat. Usahawan juga boleh membawa masuk teknologi moden dari luar melalui projek yang dijalankan secara usahasama. Disamping itu, usahawan boleh mempertingkatkan lagi penglibatan mereka dalam program melatih sumber tenaga kerja mahir dan separuh mahir untuk memenuhi permintaan sektor perindustrian.

Peningkatan Taraf Hidup Usahawan memainkan peranan dalam peningkatan taraf hidup masyarakat. Dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan. Dengan mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, bererti lebih ramai ahli keluarga yang bekerja. Kesan dari itu, tingkat pendapatan isi rumah akan meningkat. Ini membolehkan mereka membeli pelbagai jenis barang seperti peti sejuk, televisyen dan kenderaan serta menggunakan pelbagai perkhidmatan seperti kemudahan telefon untuk kehidupan yang lebih selesa.

Tingkat pendapatan yang lebih tinggi juga bererti kecenderungan mereka untuk menabung akan meningkat. Ini membolehkan mereka menyediakan wang untuk membiayai pendidikan anak mereka. Bagi mereka yang belum memiliki rumah sendiri, mereka boleh menggunakan wang tabungan untuk membeli rumah impian mereka.

Penemuaan Dan Ciptaan Baru Usahawan yang kreatif sentiasa menghasilkan penemuan darn ciptaan baru yang akan membawa kepada pembaharuan dan kemajuan dalam bidang perniagaan. Daya kreatif dan inovatif seseorang usahawan akan dapat meluaskan penggunaan barang melalui pengubahsuaian. Banyak barang yang mempunyai pelbagai kegunaan kepada orang ramai telah dihasilkan daripada daya kreatif dan inovatif usahawan. Antara contoh barang tersebut ialah ketuhar gelombang mikro, telefon mudah alih, komputer peribadi dan alat hawa dingin kereta.

NILAI-NILAI KEUSAHAWANAN DALAM MASYARAKAT

Pernahkan terfikir samada seseorang itu dilahirkan dengan nilai-nilai keusahawanan ataupun nilai-nilai tersebut diserap daripada masyarakat sekelilingnya? Walau apapun jawapan yang diberi, kita tidak dapat menafikan bahawa nilai-nilai yang menajdi norma masyarakt akan mempengaruhi seseorang usahawan untuk berjaya ataupun sebaliknya.

Secara umumnya cuba kamu teliti nilai-nilai yang menjadi amalan masyarakat di Malaysia. Terdapat banyak nilai-nilai positif dalam kehidupan seharian kita yang boleh mendorong kepada kejayaan seseorag usahawan. Antara nilai-nilai berkenaan adalah :

a)Bergotong Royong b)Menepati Janji c)Berpesatuan d)Berjimat Cermat e)Jujur f)Bertanggungjawab

Bergotong Royong Amalan bergotong-royong yang menjadi satu daripada ciri-ciri masyarakat kita sudah wujud sejak dahulu lagi. Sesuatu tugas yang berat dan susah akan menjadi senang dan cepat disiapkan jika dilakukan secara bergotong-royong. Sifat bekerjasama ini boleh dijadikan teladan kepada para usahawan untuk berganding bahu dalam menjalankan sesuatu perusahaan yang tinggi risikonya. Mereka boleh berkongsi modal dan kepakaran supaya projek yang dijalankan akan berjaya. Contohnya projek industri berat yang memerlukan modal yang banyak serta berteknologi tinggi dijalankan secara usahasama diantara usahawan tempatan dengan usahawan luar negeri, seperti syarikat Malayawata di Prai.

Menepati Janji ‘Kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya’ begitulah bunyi peribahasa Melayu lama. Ini menunjukkan bahawa masyarakt kita sejak zaman dahulu lagi sangat mengambil berat tentang menepati janji. Nilai positif ini jika diamalkan oleh usahawan sudah pasti dapat membantu kejayaannya. Samada untuk menghadiri mesyuarat, menghantar bekalan atau menjual ada harga yang dipersetujui, dia mesti menepati janjinya. Seseorang usahawan ayng menepati janji akan menjadikan dirinya mudah dipercayai. Ini akan mendirong lebih ramai orang untuk berurus niaga dengannya.

Berpersatuan Setiap manusia yang hidup dalam sesebuah masyarakat sentiasa berinteraksi di antara satu sama lain. Untuk memudahkan interaksi di kalangan anggota masyarakat mak wujudkan pelbagai persatuan. Kegiatan berpersatuan akan membolehkan aktiviti-aktiviti dijalankan secara teratur dan lebih berkesan.Begitu juga halnya dengan usahawan. Dengan menubuhkan persatuan mereka akan dapat mengatasi sebarang masalah dengan cepat dan teratur. Sebarang cadangan, pendapat ataupun permintaan yang dikemukakan melalui persatuan akan lebih mendapat perhatian daripada pihak kerajaan. Umpamanya cadangan supaya lebih banyak insentif diberi keapda usahawan-usahawan tempatan dalam bentuk pelepasan cukai dan perlindungan tarif mendapat perhatian positif dari kerajaan.

Berjimat Cermat ‘Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit, peribahasa ini menunjukkan bahawa masyarakat kita mengamalkan sikap berjimat-cermat. Ini juga merupakan nilai kemasyarakatan yang boleh membantu sifat keusahawanan. Setiap usahawan berusaha untuk menjimatkan perbelanjaan kerana setiap ringgit yang dapat dijimatkan bererti kemungkinan keuntungan bertambah. Jadi sudah tentu usahawan yang mengamalkan sikap berjimat-cermat akan lebih cenderung untuk mencapai kejayaan.

Jujur Kejujuran merupakan satu amalan baik yang boleh membentuk sifat keusahawanan. Nilai ini memang menjadi amalan masyarakat sejak dahulu lagi. Seseorang yang jujur sentiasa dipercayai oleh orang lain. Sebaliknya orang yang biasa bercakap bohong dan melakukan perbuatan yang tidak jujur, tidak akan dipercayai oleh orang lain. Bagi seseorang usahawan, sifat jujur merupakan salah satu daripada asetnya yang paling bernilai. Usahawan yang jujur sentiasa dihormati oleh para pekerjanya dan mudah mendapat kepercayaan daripada pelanggan serta rakan-rakan perniagaannya. Sifat seperti ini juga memudahkannya menjalankan sesuatu perusahaan secara usahasama dengan usahawan-usahawan lain.

Bertanggungjawab Sikap bertanggungjawab yang terdapat dalam masyarakat tempatan juga merupakan nilai kemasyarakatan yang membentuk sifat keusahawanan. Sikap bertanggungjawab bukan sahaja ditunjukkan kepada para pekerjanya tetapi juga kepada masyarakat. Usahawan yang bertanggungjawab sedar akan sumbangan-sumbangan yang perlu mereka berikan kepada masyarakt. Usahawan memainkan peranan dalam pemeliharaan alam semula jadi daripada ancaman pencemaran. Mereka yang bertanggungjawab akan memastikan bahawa sisa-sisa buangan dari perusahaan milik mereka tidak mencemarkan kawasan persekitaran. Usahawan yang bijak dan bertanggungjawab akan mengambil langkah-langkah pencegahan pencemaran. Tanggungjawab usahawan kepada masyarakat juga termasuk membantu ahli-ahli masyarakat yang kurang baik, dengan cara menghulurkan derma kepada pelbagai badan kebajikan.

Terdapat juga usahawan yang menyediakan kemudahan kepada orang ramai seperti pondok menunggu bas dan jejantas menyeberangi jalan yang sibuk.

RINGKASAN KEUSAHAWANAN

1.Usahawan ialah orang yang terlibat dalam sesuatu perniagaan atau perusahaan dan bertanggungjawab mengusahakan sesuatu yang baru (kreatif), merancang dan mencipta sesuatu yang lebih baik (inovatif), mengatur serta mewujudkan pasaran dan sanggup menghadapi risiko.

2.Keusahawanan ialah suatu kebolehan, kemampuan atau kecenderungan untuk mencari peluang perniagaan, mengusahakannya, membuat pembaharuan atau pengubahsuaian bagi memenuhi keperluan masyarakt.

3.Sifat-sifat usahawan ialah : a)Rajin dan gigih b)Mempunyai keyakinan diri c)Berjimat Cermat d)Mengenal dan merebut peluang e)Membuat keputusan yang baik dan tepat f)Sanggup mengambil risiko g)Bersikap tabah dan tenang h)Bersikap inovatif i)Sentiasa berusaha j)Berpandangan jauh k)Bertanggungjawab l)Berkebolehan mengurus m)Kreatif

4.Antara peranan usahawan terhadap masyarakat dan negara ialah: a)Mewujudkan peluang pekerjaan b)Memenuhi keperluan dan kehandak masyarakat c)Menyumbang terhadap pembangunan ekonomi d)Meningkatkan taraf hidup e)Membuat penemuan dan ciptaan baru

5.Banyak nilai positif dalam kehidupan seharian yang boleh mendorong kejayaan seseorang usahawan. Antaranya ialah : a)Bergotong-royong b)Menepati janji c)Berpesatuan d)Berjimat cermat e)Jujur f)Bertanggungjawab

PROFIL PENULIS

Buku panduan penyediaan kertas kerja perniagaan ini telah disusun oleh Haji Mohd Yahya bin Haji Mat Sahri anak kelahiran kampung Seri Tiram Jaya, Tanjung Karang Selangor Darul Ehsan. Beliau adalah bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak Darul Ridzuan, mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Dalam Pentadbiran Perniagaan( MBA), Diploma Lepasan Ijazah Pentadbiran Perniagan (PGDBA), Diploma Lanjutan Dalam Pengurusan Perniagaan (ADBA) dan Diploma Perakaunan (DIA), Sijil Percukaian (CIT) , beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat Berlesen (LS 0008747), Agen Percukaian Bertauliah (Tax Agent) dan Pesuruhjaya Sumpah (W 581). Berpengalaman luas dalam bidang perundingan perniagaan, perakaunan, keusahawanan dan pengurusan.

Beliau telah berkecimpung dalam bidang perundingan semenjak tahun 1989 bila mana beliau menubuhkan firma perakaunan dan agen percukaian. Lebih 14 tahun beliau mencurahkan kepakarannya dengan melatih, membentuk, membimbing dan membangunkan usahawan dipelbagai peringkat. Antara usahawan yang telah menerima latihan daripadanya adalah usahawan daripada bekas anggota angkatan tentera, usahawan belia, usahawan bimbingan MARA juga usahawan di kalangan orang asli.

Selain berperanan membangunkan perniagaannya beliau juga aktif dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaaan dan badan professional. Beliau merupakan Setiausaha Dewan Perdagangan Islam Malaysia Negeri Selangor Darul Ehsan (DPIM Selangor) juga selaku Yang Dipertua Persatuan Ibubapa (PIBG) Sek.Keb.Usaha Ehsan Gombak Selangor Darul Ehsan. Lain-lain pertubuhan yang beliau anggotai seperti Malaysian Association Of Tax Accountants (MATA),The Association Of International Accountants (AIA), The Company Secretaries Pactice Group (MAICSA), The Alliance Of Approve Company Secretaries (AACS), Malaysian Association Of Accounting Technicians (MAAT) dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Bandaraya Kuala Lumpur (DPMMBKL).

Firma beliau YSP Management & Training Sdn.Bhd. telah bertindak secara profesional dengan memberikan khidmat latihan keusahawanan, pengurusan perniagaan dan perakaunan . Semenjak tahun 1997 YSP Management & Training Sdn.Bhd. mengembangkan khidmat perundingannya dengan menawarkan kursus kontraktor binaan iaitu kursus khas bagi melatih bakal kontraktor di seluruh malaysia. Hasil perkongsian bijak dengan fakulti kejuruteraan , Universiti Putra Malaysia, kursus yang dikendalikan mendapat sambutan yang cukup menggalakkan dan bilangan peserta yang telah mengikuti kursus lebih daripada 15,000 orang. YSP Management & Training Sdn.Bhd. kini merupakan Pusat Latihan Berdaftar Kontraktor (PLBK) Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB). Tahun 2003 YSP melebarkan skop latihannya dengan menawarkan latihan kemahiran komputer dan teknologi maklumat.

Buku Panduan Memulakan Perniagaan yang dihasilkan ini adalah buku keempat susunannya, beliau menaruh harapan yang cukup tinggi supaya buku ini dapat membantu para pembaca untuk mendapatkan maklumat bagi menceburkan diri dalam dunia keusahawanan serta dapat memandu bakal usahawan dalam merancang dan mengenalpasti peluang perniagaan dengan efektif.