Penghulu Abu Bakar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Nama beliau sebenarnya ialah Abu Bakar bin Abdullah. Beliau juga turut dikenali sebagai Kee Abu Bakar mengambil sempena keturunan beliau. Namun beliau lebih dikenali oleh masyarakat Melayu di Tawau sebagai Penghulu Abu Bakar atau OKK Abu Bakar.Dilahirkan pada tahun 1899 dan merupakan anak jati Tawau. Ibu beliau , Jumatiah Ami Maidin merupakan berturunan Melayu Suluk manakala bapanya Kee Abdullah adalah seorang pegawai British berketurunan Sino Dusun Muslim yang dihormati sebagai pemimpin masyarakat di Tawau.( Rujuk : Buku 'Borneo Under the Sun', tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005 )


MENJADI PENGHULU BERGELAR ORANG KAYA KAYA[sunting | sunting sumber]

Mula memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masyarakat Melayu di Tawau pada tahun 1936 setelah bapa beliau meninggal dunia dan beliau dilantik sebagai Penghulu atau OKK untuk menggantikan jawatan yang sebelum ini dipegang oleh allahyarham bapa beliau. 5 tahun selepas detik bermulanya peranan dan tanggungjawab yang beliau laksanakan sebagai pemimpin masyarakat , beliau telah diuji dengan cabaran yang agak besar iaitu kedatangan tentera Jepun sebagai penjajah dan pemerintah yang menjalankan pemerintahan kuku besi. Beliau terpaksa memikul tanggungjawab yang berat ini dengan berhati hati demi memelihara menjaga kebajikan dan maruah anak bangsanya. Antara peristiwa menyayat hati semasa beliau menjadi pemimpin masyarakat ialah dengan pembunuhan kejam seorang pemimpin Melayu Islam iaitu allahyarham Habib Hussein oleh tentera Jepun.

Setelah tamatnya zaman peperangan, beliau bersama anak didik beliau iaitu Abu Bakar Titingan dan bersama pemimpin pemimpin lain seperti Kassim Kamidin, Ahmad Ayid dan Zainal Kerahu telah bersama sama menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau ( PKMT ) sebagai langkah untuk menyatukan masyarakat Melayu di Tawau ketika itu. Persatuan ini juga adalah sebagai titik permulaan tentang kesedaran betapa pentingnya bangsa Melayu bersatu untuk saling bantu membantu membela nasib mereka sendiri tanpa bantuan orang asing yang lebih mementingkan diri sendiri. Inilah pengajaran yang diperolehi sepanjang pengalaman diperintah dengan kejam oleh tentera Jepun tanpa pembelaan dari Kerajaan Inggeris yang sebelum ini diharapkan sebagai tempat bergantung semata-mata.

MENUBUHKAN KESATUAN MELAYU[sunting | sunting sumber]

Persatuan Kebangsaan Melayu Tawau memainkan peranan yang amat penting ketika era selepas perang Dunia untuk mengumpulkan dan menyatukan orang-orang Melayu sebelum peranan ini dimainkan oleh USNO. Penghulu Abu Bakar adalah Pengerusi PKMT yang pertama pada tahun 1946. Selain itu, PKMT juga sentiasa bekerjasama dengan PIT ( Persatuan Islam Tawau ) yang dipimpin oleh Abdul Karim Hj Abdul Rahman dalam menjaga kebajikan orang-orang Melayu Islam di Tawau.

Penghulu Abu Bakar meninggal dunia pada tahun 1953 ketika berusia 54 tahun. Jawatan beliau sebagai Penghulu digantikan oleh Penghulu Zainal Kerahu iaitu sepupu kepada isteri beliau sendiri. Manakala ketika penubuhan USNO pada tahun 1961, anak didik beliau , Titingan bin Damsani yang juga menantu kepada abang beliau dilantik sebagai Pengerusi USNO Tawau . ( Datuk Titingan kemudiannya dikenali sebagai Datuk Abu Bakar Titingan mengambil sempena nama beliau ). Selepas ketiadaan Penghulu Abu Bakar, Datuk Abu Bakar Titingan dan Penghulu Zainal adalah dua orang pemimpin Melayu Tawau yang berwibawa dan berjasa kepada masyarakat Melayu Tawau. Kini terdapat sebuah jalan utama di Tawau mengambil nama beliau sempena memperingati jasa-jasa beliau yang tidak terhingga kepada anak bangsa yang disayanginya.


Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Buku : Tawau The Making of a Tropical Community , Ken Gotlet , 2010 , Opus Publication.
  2. Buku 'Borneo Under the Sun', tulisan Nicholas Chung, Terbitan Natural History Publication: 2005.