Sekolah Kebangsaan Machang Bubok

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sekolah Kebangsaan Machang Bubok
Lokasi
Machang Bubok, 14020, Bukit Mertajam,, Pulau Pinang
Malaysia
Maklumat
Jenis sekolahSekolah kebangsaan, Sekolah kerajaan
MotoMenuntut dan Berbakti
Ditubuhkan1912
Kod sekolahPBA0010
PengetuaPuan Miskiah
Faks604-5512771

Sekolah Kebangsaan Machang Bubok atau nama ringkasnya SK Machang Bubok, ialah sebuah sekolah kebangsaan yang terletak di Jalan Gajah Mati, Machang Bubok, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan cerita lisan, sekolah ini diasaskan pada tahun 1912. Penduduk kampung dengan semangat gotong-royong telah mendirikan sebuah sekolah di kawasan berbukit di Jalan Gajah Mati, iaitu lebih kurang 2 kilometer daripada tapak asal sekolah sekarang. Sekolah asal ini berbumbungkan atap, berdindingkan pelepah dan berlantaikan papan. Ini terbukti berdasarkan kesan tangga batu yang masih ada hingga ke hari ini. Seramai 15 orang murid lelaki yang belajar bersama dengan 3 orang guru sukarela yang mengajar ketika itu.

Sekitar tahun 1920-an, sekolah ini telah dipindahkan ke suatu kawasan tanah rata berhampiran dengan Sungai Kulim yang terletak tidak jauh daripada kawasan sekolah asal. Bangunannya tetap sama dengan lama tetapi lantainya diperbuat daripada simen. Ketika ini bangku panjang dan meja telah digunakan. Terdapat juga murid perempuan yang belajar di sekolah ini. Tetapi pada sekitar tahun 1930-an, sekali lagi sekolah ini dipindahkan, kali ini ke kawasan sekarang iaitu berhampiran dengan jalan raya. Bangunan dan strukturnya sama dengan bangunan kedua.

Kira-kira pada tahun 1942, sebuah bangunan bertiang konkrit telah dibina dan bumbungnya diperbuat daripada genting serta mempunyai kerangka kayu yang kukuh. Ia kekal hingga ke hari ini. Beberapa orang guru berpengalaman telah ditempatkan untuk bertugas di sekolah ini sehingga melahirkan cerdik pandai melayu yang berjaya menjawat jawatan guru dan berkhidmat di sekolah yang sama.

Tahun 1964, sebuah bangunan baru dua tingkat dibina bersebelahan bangunan sedia ada. Bangunan ini dilengkapi dengan 4 buah bilik darjah, pejabat, bilik guru besar dan tandas. Dengan adanya bangunan baru ini sekolah dapat beroperasi dengan lebih selesa. Tahun 1986/1987, sebuah lagi bangunan baru dua tingkat dibina bersebelahan bangunan yang sedia ada. Ini menjadikan 3 buah bangunan semuanya. Bangunan baru ini menempatkan 5 bilik darjah, perpustakaan, bilik sumber, 2 buah setor dan 2 buah tandas.

Sehingga tahun 1994, sekolah ini telah dapat menampung seramai 363 orang murid dengan 20 orang guru dan 5 orang kaki tangan bukan guru. Tahun 2004 murid sekolah ini telah meningkat kepada 567 orang dengan 17 buah kelas. Sekolah ini tidak dapat menampung keperluan semasa kecuali ada pertambahan bangunan. Apabila sekolah baru dibuka iaitu Sekolah Kebangsaan Machang Bubok II yang terletak kira-kira 2.7 kilometer jauhnya, maka berlaku pengurangan jumlah murid. Pada tahun 2007 jumlah murid hanya seramai 439 orang dengan 14 buah bilik darjah. Walau bagaimanapun, sekolah ini masih kekurangan bilik darjah dan bilik-bilik khas yang selesa. Sehingga kini tahun 2009, jumlah murid adalah 412, manakala bilangan kelas adalah 14 buah bilik darjah. Sekolah ini menjalankan dua sesi persekolahan pada pertengahan Jun 2009 iaitu selepas cuti persekolahan penggal pertama. Kini, sekolah ini sedang mengalami proses pembinaan bangunan baru dua blok empat tingkat seperti yang telah dijanjikan dalam Rancangan Malaysia ke-9.[1]

Sekolah Kebangsaan Machang Bubok telah membina tambahan dua blok empat tingkat pada April 2011 di atas padang sekolah. 2 bangunan yang mempunyai 4 tingkat bagi setiap bagunan ini telah memberi keselesaan pada para pelajar seperti murid-murid Tahap 1 tidak lagi perlu mengadakan sesi petang. Pada masa kini ia sedang memohon padang gantian untuk kegunaan yang sudah diluluskan tetapi menantikan tebus guna, yang dilaporkan dalam akhbar Sinar Harian 27 Mac 2012.[2]

Alamat[sunting | sunting sumber]

Sekolah Kebangsaan Machang Bubok
14020, Bukit Mertajam
Pulau Pinang, Malaysia

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ SK Machang Bubok - About School
  2. ^ http://machangbuboknews.blogspot.com/ Salinan akhbar Sinar Harian 27 Mac 2012.]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]