Sekolah Menengah Agama al-Maidah Addiniah Padang Tengku

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Sekolah Menengah Agama al-Maidah Addiniah Padang Tengku ialah sebuah sekolah menengah agama di Padang Tengku, Pahang.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Ilham untuk menubuhkan "Sekolah Menengah Agama al-Maidah Addiniah Padang Tengku" tercetus memandangkan tiada sebuah sekolah agama di kawasan Padang Tengku untuk mengajar pendidikan agama secara formal kepada anak tempatan. Sebelum menubuhkan sekolah ini, Datuk Abu Samah yang menjawat jawatan sebagai Ketua Jabatan Agama Islam ketika itu menasihatkan Ustaz Husain yang ketika itu masih menuntut di Kuliah Sultan Abu Bakar supaya menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi pengelolaan rancangan pembangunan sekolah tersebut agar tugas itu dapat berjalan dengan kemas dan teratur. Berikutan itu, Ustaz Husain telah mengumpulkan orang-orang berpengaruh di kawasan Padang Tengku. Ekoran persetujuan daripada perjumpaan itu, maka perlantikan jawatankuasa telah dibuat.

Jawatankuasa tersebut terdiri daripada:

  • Lebai Long Khatib Ngah
  • Khatib Awang bin Mukim Mat Yassin
  • Haji Arsyad Yaakob
  • Penghulu Mukim Gua, Wan Omar Wan Chik dan beberapa orang lagi(seperti En Zakaria Tok 4 Batu Nering & Ustaz Hussin b. Mohd Salleh)

Setelah Ustaz Husain menamatkan pengajiannya di darjah 8, dia kembali ke Padang Tengku seterusnya mengadakan perjumpaan di balai raya Padang Tengku, pada 11 September 1955. Perlantikan ahli jawatankuasa telah dibuat pada ketika itu. Mereka yang terlibat ialah:

  • Yang Dipertua : Datuk Setia Muda Wan Ibrahim Wan Tanjung
  • Naib Yang Dipertua : Encik Mohd Nor bin Sulaiman
  • Setiausaha : Encik Husain Ibrahim
  • Naib Setiausaha : Lebai Long Khatib Ngah
  • Bendahari : Haji Abdul Wahab Perang
  • AJK : Penghulu & Ketua-ketua Kampung Daerah Lipis

Daripada persetujuan yang dicapai, disertai dengan sejumlah wang yang dikumpul hasil daripada derma orang ramai sebanyak RM 4000, maka ahli jawatankuasa bersetuju untuk memulakan pembinaan sekolah tersebut. Tapak tanah wakaf yang terletak berhadapan dengan stesen kereta api telah dipilih untuk didirikan sekolah agama tersebut. Pemilihan tapak tersebut dipersetujui kerana berhadapan dengan perhentian kereta api Padang Tengku. Dengan itu, terdirilah Sekolah Arab yang pertama. Sekolah ini dikenali sebagai 'Madrasah al-Maidah Addiniah'. Nama tersebut telah diilhamkan oleh Allahyarham Ustaz Husain bersama Allahyarham Tuan Guru Haji Ismail Pasir Mas yang bermaksud 'Hidangan Agama'. Perasmian sekolah ini telah disempurnakan oleh D.Y.A.M. Tengku Mahkota Pahang iaitu Tengku Ahmad Shah pada 12 Mei 1957. Pada peringkat awal, sekolah ini bertaraf Sekolah Agama Rakyat dan mudir yang pertama pada ketika itu ialah Ustaz Husain Ibrahim.

Pengambilan pelajar pada tahun pertama seramai 40 orang dengan had umur tidak melebihi 15 tahun. Yuran dikenakan sebanyak RM 2.50 setiap seorang. Sesi pembelajaran diadakan pada waktu pagi dan petang. Ustaz Husain dan beberapa orang pelajar yang berkelayakan merupakan tenaga pengajar bagi kedua-dua sesi persekolahan ketika itu. Sekolah ini pada awalnya diletakkan di bawah pentadbiran Majlis Agama Islam Pahang (MAIP). Maka pelajaran yang diajar ketika itu berteraskan Bahasa Arab. Di samping itu, terdapat beberapa orang tenaga pengajar baru secara sukarela iaitu Ustaz Haji Ahmad dan Ustaz Idris Haji Uda. Antara pelajar sulung sekolah ini ialah Ustaz Sulaiman bin Daud, Ustaz Mat Rasad bin Dollah Omar, Ustaz Shefie bin Jali dan Pn Hjh Hatifah Yaakob.

Bermula pada tahun 1967, sekolah ini telah diambil alih oleh kerajaan Negeri Pahang yang diletakkan di bawah perntadbiran Jabatan Agama Islam Pahang sehingga hari ini. Selepas diambil alih oleh kerajaan Negeri Pahang, Ustaz Ahmad Bustamin Haji Yusuf dilantik sebagai mudir pertama dan Ustaz Husain iaitu pengasas sekolah ini dilantik sebagai Guru Penolong Kanan 1 (GPK1).Setelah kerajaan negeri mengambil alih pentadbiran sekolah ini, perubahan amat ketara dapat dilihat dari segi pertambahan prasarana meliputi bangunan, kelas dan peralatan yang turut bertambah dari semasa ke semasa.

Senarai pengetua[sunting | sunting sumber]

Dalam tempoh lebih 50 tahun, seramai 10 orang mudir telah menerajui sekolah ini. Mereka terdiri daripada:

  1. Tuan Haji Husain bin Ibrahim (1957 - 1967)
  2. Tuan Haji Ahmad Bustamin bin Haji Yusof (1967 - 1971)
  3. Tuan Haji Nordin bin Mohamad (1971 - 1973)
  4. Tuan Haji Mohd Nazir bin Ibrahim (1973 - 1982)
  5. Tuan Syed Hassan bin Syed Mohd Nor (1983 - 1991)
  6. Tuan Haji Abu Samah bin Abdul Rani (1991 - 1996)
  7. Tuan Haji Sirajuddin bin Haji Uda (1996 - 2000)
  8. Puan Hajah Siti Salamah binti Salim (2000 - 2005)
  9. Tuan Mohd Salehudin bin Abdullah (2005 - 2008)
  10. Tuan Haji Mohd Nasir bin Abdul Malek (2008 - Februari 2011)
  11. Puan Noraini binti Abdul Manap (2011-2016)
  12. Tuan Azmi Bin Aman (2016-sekarang)