Toyol (akademik)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Sehelai toyol yang digunakan bertentangan dengan peraturan peperiksaan biasanya cukup kecil untuk disembunyikan di tapak tangan.
Toyol di dalam kotak jus minuman.

Toyol merupakan perkataan slanga bagi merujuk kepada satu set nota kecil yang digunakan sebagai rujukan pantas, biasanya diseludup semasa ujian atau peperiksaan. Ia mendapat namanya kerana ia dibawa masuk secara licik serta digunakan secara sembunyi tanpa pengetahuan pengawas peperiksaan untuk meniru semasa peperiksaan, sebagaimana kelicikan toyol sebenar mencuri harta sasarannya. Walau bagaimanapun, semasa di peringkat pengajian yang lebih tinggi di mana pembelajaran secara hafalan kurang ditekankan berbanding pendidikan peringkat rendah atau menengah, pelajar mungkin dibenarkan untuk membawa nota sendiri semasa ujian buku terbuka (open-book test), dan perbuatan tersebut tidak dianggap sebagai menipu. Biasanya toyol terdiri daripada sekeping kertas kecil yang tertulis nota-nota ringkas utama serta rumus-rumus penting dalam tulisan yang sangat kecil, serta boleh disembunyikan pada tapak tangan atau apa jua jenis bahantara untuk menyembunyikannya seperti bekas pensel, di dalam badan pen serta penutup mesin kira.

Terdapat juga kes di mana pelajar menggunakan bahantara elektronik seperti telefon bimbit sebagai bahantara toyol, seperti yang pernah berlaku di Jepun dalam satu peperiksaan kemasukan ke universiti.[1] Fenomena sebegini semakin membimbangkan, berikutan peningkatan tangkapan pelajar yang meniru semasa peperiksaan menggunakan bahantara elektronik.[2] Sebagai langkah pencegahan, kebanyakan universiti melarang pelajar daripada membawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan; jika ada, pelajar dikehendaki sama ada menyerahkan telefon bimbit mereka kepada pengawas semasa peperiksaan (dan dipulangkan sebaik selepas peperiksaan tamat), ataupun mematikan telefon bimbit mereka dan meletakkannya di bahagian bawah meja masing-masing. Terdapat juga negara yang melarang terus pelajar daripada membawa masuk telefon bimbit ke dalam dewan peperiksaan seperti Jepun.[3]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ McCurry, Justin (2011-03-04). "Mobile phone exam cheat shocks Japanese meritocracy (Inggeris)". Guardian.co.uk. Dicapai pada 2011-07-06. Check |authorlink= value (bantuan)
  2. ^ Coughlan, Sean (2010-02-03). "Hi-tech exam cheating increases says Ofqual (Inggeris)". BBC News. Dicapai pada 2011-07-06.
  3. ^ Buerk, Roland (2011-03-01). "Japan seeks exam hall phone ban after cheating claims (Inggeris)". BBC News. Dicapai pada 2011-07-06.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]