Vaksin varisela

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Vaksin varisela, juga dikenali sebagai vaksin cacar air, merupakan vaksin yang memberi perlindungan daripada cacar air.[1] Satu dos vaksin mencegah 95% penyakit yang sederhana dan 100% penyakit yang teruk. Dua dos vaksin adalah lebih berkesan daripada satu dos. Jika diberikan kepada mereka yang tidak imun dalam masa lima hari selepas terdedah kepada cacar air, ia mencegah kebanyakan kes penyakit ini. Memvaksinkan sebahagian besar penduduk juga melindungi mereka yang tidak divaksinkan. Ia diberi melalui suntikan di bawah kulit.[2]

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan pemvaksinan rutin hanya sekiranya sesebuah negara dapat terus memvaksinkan 80% daripada penduduknya. Sekiranya hanya 20 hingga 80% penduduk divaksinkan, ada kemungkinan lebih ramai penduduk akan mendapat penyakit ini pada usia yang lebih tua dan akibatnya mungkin lebih teruk secara keseluruhan. Satu atau dua dos vaksin ini disarankan. [2] Di Amerika Syarikat, dua dos disyorkan bermula pada umur 12 hingga 15 bulan.[1] Setakat tahun 2012, negara-negara Eropah menyarankannya kepada semua kanak-kanak atau hanya mereka yang berisiko tinggi,[3] tetapi tidak semua negara menyediakan vaksin ini disebabkan kosnya.[4]

Vaksin ini sangat selamat. Kesan sampingan kecil mungkin melibatkan sakit pada tempat suntikan, demam, dan ruam.[1] Kesan sampingan yang teruk sangat jarang dilaporkan dan kebanyakannya berlaku dalam kalangan orang yang mempunyai fungsi imun yang lemah. Penggunaannya dalam kalangan individu yang menghidap HIV/AIDS perlu dilakukan dengan berhati-hati.[2] Penggunaannya semasa hamil adalah tidak disarankan; namun begitu, ia sudah diberikan semasa kehamilan beberapa kali tanpa masalah.[1][2] Vaksin ini boleh didapati dengan sendirinya atau bersama dengan vaksin MMR.[2] Ia diperbuat daripada virus yang dilemahkan.[1]

Vaksin cacar air mula dijual secara komersial pada tahun 1984.[2] Ia tersenarai dalam Senarai Ubat Penting Pertubuhan Kesihatan Sedunia, iaitu ubat paling penting yang diperlukan dalam sistem kesihatan asas.[5] Kosnya di Amerika Syarikat ialah antara 100 hingga 200 dolar Amerika.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e "Chickenpox (Varicella) Vaccine Safety".
  2. ^ a b c d e f "Varicella and herpes zoster vaccines: WHO position paper, June 2014."
  3. ^ Carrillo-Santisteve, P; Lopalco, PL (May 2014).
  4. ^ Flatt, A; Breuer, J (September 2012).
  5. ^ "WHO Model List of EssentialMedicines" (PDF).
  6. ^ Hamilton, Richart (2015).