Kampung Baru Plentong Tengah

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kampung Baru Plentong Tengah, Masai, Johor Bharu, Johor , Malaysia ini menjadi terkenal setelah 2000 penduduk Melayu di situ enggan pindah pada 16 September 2008. Kampung setinggan ini dibuka sejak 1985. Ketua UMNO cawangan Kampung Baru Plentong Tengah ialah Mohd Shaari Mohd Sham. Luas kampung ini 113 ekar tetapi sebenarnya milik syarikat swasta. [1]

Mereka sepatutnya pindah ke penempatan baru di Kampung Bukit Dagang , Ulu Tiram yang di bawah pentadbiran pegawai daerah Johor Bahru, 50 km dari sini . 291 keluarga melibatkan 310 buah rumah dan 6000 penduduk terlibat dalam pemindahan ini. Bukit Dagang belum dilengkapi dengan jalan raya, elektrik dan air.[2] Bukit Dagang seluas 33.2 hektar merupakan kurniaan kerajaan negeri Johor sebagaimana janji Pilihan Raya Umum Malaysia ke-10 . [3]

Pemaju perumahan[sunting | sunting sumber]

Bukit Lenang Development Sdn Bhd telah membeli tanah ini pada tahun 1996, 11 tahun selepas penduduk tinggal atas tanah ini. Pemaju menyaman penduduk di mahkamah sejak 10 tahun yang lepas. Penduduk KBPT menerima notis mahkamah yang mengarahkan mereka berpindah pada 14 Ogos.Cubaan penduduk membeli tanah yang asalnya tak bertuan itu gagal. [4] Pihak pemaju ada menawarkan pampasan sebanyak RM10,000 dan wang pindah sebanyak RM2,000 dengan syarat penduduk tidak meneruskan proses rayuan di mahkamah selepas kalah di Mahkamah Tinggi.[5]

Memorandum kepada Menteri Besar[sunting | sunting sumber]

Pada 11 Ogos 2008 , 200 penduduk Kampung Pelentong Tengah menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman di Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan. Wakil penduduk ialah Subra Paidathally; Pengerusi JBK, Jamean Abdullah; Setiausaha JBK, Taslim Nani dan Ketua UMNO Cawangan Kampung Baru Plentong Tengah, Shaari Mohd. Sham. [6]

Benteng manusia[sunting | sunting sumber]

Pada 16 September 2008 jam 10.00 pagi syarikat pemaju Bukit Lenang Development Sdn Bhd mula menjalankan operasi merobohkan rumah-rumah kosong di situ tetapi mendapat bantahan penduduk, aktivis dan ahli politik pembangkang. Syarikat itu telah mendapat perintah mahkamah untuk merobohkan rumah-rumah setinggan itu. Kira-kira 100 anggota polis Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan 200 lagi anggota polis termasuk yang berpakaian biasa ditugaskan menenangkan keadaan. Pegawai Tenaga Nasional Bhd. (TNB), pihak forensik dan Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Johor turut hadir.

27 orang termasuk pemimpin PAS dan aktivis Suara Rakyat Malaysia (Suaram) ditahan polis lebih lapan jam kerana mengadakan benteng manusia agar rumah mereka tidak dirobohkan jentolak begitu sahaja. AJK PAS negeri Johor , Syed Othman Syed Abdullah turut ditahan. Pengerusi jawatankuasa penduduk Jameon Abdullah pengsan sewaktu ditahan setelah bergelut dengan pihak berkuasa. Hassan Karim menyatakan Jameon dikatakan dirempuh oleh anggota polis, sebelum rebah dan pengsan.

Seorang pemimpin PAS Johor dan aktivis hak asasi, dibebaskan dengan jaminan RM1,000 setiap seorang. Mereka diarahkan melaporkan diri di Balai Polis Johor Jaya. Setiausaha jawatankuasa bertindak penduduk , Taslim Nani menyatakan lima orang peguam telah dilantik untuk membela mereka. Pada 18 Oktober 2008 Cheng Lee Whee , sukarelawan wanita Suaram Johor Bahru ditahan menurut Seksyen 28 Akta Keselamatan Negeri 1960 di Balai Polis Seri Alam. Sebenarnya Cheng hadir di Balai Polis Seri Alam untuk memberikan keterangan berhubung laporan polisnya di Balai Polis Permas Jaya Laporan polis itu dikatakan palsu[7].[8]

Bantuan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB)[sunting | sunting sumber]

Pada 17 Oktober 2008, Ketua UMNO cawangan Kampung Baru Plentong Tengah, Mohd Shaari Mohd Sham menyatakan SPNB meminta baki 262 ketua keluarga mengisi borang permohonan rumah mampu milik yang berkualiti di Kampung Bukit Dagang .123 penduduk telah mendapat geran tapak rumah di kawasan ganti tersebut. 48 telahpun membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada SPN. [9]

Rayuan penduduk ditolak[sunting | sunting sumber]

Pada 29 Oktober 2008, pesuruhjaya kehakiman Datuk Hue Siew Kheng di Mahkamah Tinggi Johor Bahru memberi masa sehingga 31 Disember 2008 sahaja sebelum mereka pindah .

Peguam Hassan Abdul Karim yang juga presiden Parti Rakyat Malaysia merayu rumah tidak diroboh kerana ada tawaran daripada agensi kerajaan negeri Johor untuk menyediakan rumah transit / rumah pangsa 5 tingkat di Taman Desa Mutiara. Rumah pangsa 600 unit itu 20 km dari Kampung Baru Plentong Tengah. Rumah sementara itu hendaklah menyediakan kemudahan asas seperti elektrik dan air kerana prasarana itu sangatlah penting. Mathew Thomas Philip menjadi peguam pihak pemaju, Bukit Lenang Development Sdn. Bhd.

Seramai 20 penduduk telah menandatangani Aku Janji dan direkodkan oleh penolong pendaftar mahkamah Johor Bahru bertujuan mengelakkan berulang ketegangan baru antara penduduk dan pemaju .[10]

Membantah Jambatan Kedua Permas Jaya[sunting | sunting sumber]

Sebelum ini iaitu pada 16 Jun 2008 nelayan di sini menuntut pampasan berikutan pembinaan jambatan kedua Permas Jaya yang melintasi Kampung Pelentong Tengah. Nelayan yang membantah itu dari Kampung Plentong Tengah, Kampung Bakar Batu, Kampung Pengkalan Sungai Balak, Kampung Senibong, Kampung Orang Asli Stulang Laut dan Kampung Ulu Plentong, Kampung Lekoh, Kampung Orang Asli Kuala Masai dan Kampung Pasir Gudang Baru. Pemaju hanya setuju membayar RM30,000. [11]

Kronologi[sunting | sunting sumber]

  • 1985 Penduduk meneroka tanah. Pejabat Tanah memaklumkan bahawa tanah tersebut tiada pemilik.
  • 1986 Kampung Baru Pelentong Tengah (KBPT) terbentuk. Penduduk memohon hak milik tanah. Pejabat Tanah kata tanah dimiliki Syarikat Mosbert.
  • 1987 Tanah ditukar tangan kepada Jet Ace Co. dan seterusnya kepada Oakfield.
  • 1989 Penduduk kalah kepada Oakfield di Mahkamah Tinggi Johor Bharu dengan perintah milikan kosong.
  • 1990 Dalam usaha mendapatkan ehsan DYMM Sultan Johor, penduduk ditipu sebanyak RM 18,000.00 oleh ‘orang tengah’.
  • 1991 Atas cadangan wakil rakyat, penduduk membentuk tabung bertujuan membeli tanah daripada Oakfield.
  • 1993 Pembayaran pendahuluan penduduk dari wang tabung sebanyak RM 417,307.93 digelapkan oleh peguam.
  • 1993 Oakfield melakukan perobohan rumah. Atas suruhan wakil rakyat, penduduk melarikan diri ke dalam hutan. Selepas itu, penduduk membelanjakan RM 22,000.00 untuk membebaskan seorang penduduk yang tidak sempat lari dan ditahan oleh polis.
  • 1993 Atas cadangan peguam, penduduk menanggung kos menghantar wakil untuk memohon wang kebajikan antarabangsa di Filipina.
  • 1993 Penduduk menang kepada Oakfield di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur dengan ketepikan perintah kommintal Mahkamah Tinggi Johor Bharu.
  • 1994 Oakfield setuju menjual tanah kepada penduduk. Perundingan pembelian tanah dimula.
  • 1994 Penduduk ‘menghilangkan’ RM 820,000.00 kepada Oakfield melalui peguam J. Sing & Co.
  • 1995 TNB membekalkan elektrik ke Kampung Baru Pelentong Tengah (KBPT).
  • 1996 Bukit Lenang Development Sdn. Bhd. ambil milik tanah Kampung Baru Pelentong Tengah (KBPT). Pemaju menawarkan pampasan kepada penduduk yang berpindah. Penduduk tidak setuju kerana rasa nilai pampasan tidak setimpal.
  • 1997 Penduduk buat aduan polis terhadap Oakfield yang jualkan tanah sedangkan proses jual-beli dengan penduduk tengah diproses.
  • 1997 Bukit Lenang saman penduduk. Bukit Lenang menolak cadangan tuntutan ganti rugi penduduk.
  • 1997 Penduduk membuat kempen tandatangan dan hantar surat kepada MB Johor atas sokongan Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB).
  • 1998 Penduduk kalah di Mahkamah Tinggi JB dengan perintah milikan kosong tetapi terus merayu.
  • 1999 Kerajaan Johor mengurniakan tanah Kg. Bukit Dagang kepada penduduk.
  • 2000 Bukit Lenang menjalankan operasi pengusiran secara paksa. Penduduk turun sama-sama dan berjaya mempertahankan rumah.
  • 2000 Penduduk menang kes di Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur.
  • 2002 Penduduk kalah di Mahkamah Tinggi Johor Bharu.
  • 2007 Penduduk kalah di Mahkamah Rayuan Putrajaya.
  • 2008 Bukit Lenang mendapat notis perintah mahkamah. [12][13]

Rujukan[sunting | sunting sumber]