Kapal korek

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Kapal korek emas di Yukon.

Kapal korek adalah di antara beberapa cara yang boleh digunakan dalam aktiviti perlombongan.

kapal Korek banyak digunakan di seluruh dunia dalam aktiviti perlombongan bijih di kawasan-kawasan yang bersesuaian terutamanya perlombongan emas seperti di Amerika Syarikat, New Zealand dan lain-lain. Penggunaannya membantu mempercepatkan meraih keuntungan dalam aktiviti perlombongan berbanding menggunakan kaedah tradisional.

Sebelum kapal korek hendak digunakan di kawasan-kawasan tapak perlombongan, kajian harus dilakukan terlebih dahulu. Biasanya kaedah gerudi digunakan bagi mendapatkan maklumat jumlah konsentrasi bijih, keluasan dan kedalamannya. Selepas itu barulah saiz dan keupayaan penggalian kapal korek boleh ditentukan. Kapal korek biasanya akan dibina mengikut keadaan bijih yang ditemui dan keupayaan syarikat, semakin dalam bijih ditemui di kedalaman bumi maka semakin besarlah kapal korek yang ditempah.

Kapal korek di Malaysia[sunting | sunting sumber]

Kapal korek digunakan oleh syarikat-syarikat bijih timah di Malaysia pada satu masa dahulu.

Kapal Korek pertama diperkenalkan di Malaysia ialah pada 1913 oleh Malayan Tin Dredging Limited di Batu Gajah, Perak. Manakala kapal korek baru yang terakhir dibina di Malaysia ialah pada tahun 1985. Kapal korek yang paling tua pada ketika itu mencecah usia hampir 70 tahun.

Kapal korek tidak dibina sepertimana kapal laut atau bot besar dan hanya terapung diatas air menggunakan beberapa buah pontoon yang digabungkan menjadi satu ketika pemasangan. Keadaan air lombong tidak memungkinkan kapal korek untuk dipasang dengan bebaling seperti mana kapal di laut.

Pada awalnya, sistem rawatan pengasingan bijih timah dalam kapal korek menggunakan kaedah 'sluice box', tetapi kemudian iaitu sekitar tahun 50an dan keatas banyak kapal korek moden yang dibina di Malaysia menggunakan kaedah 'Circular Jigs' yang lebih pantas dan efektif dalam mengasingkan bijih timah.[1]

Kapal Korek TT5 (Tin Dredge Heritage)

Generasi awal kapal korek beroperasi menggunakan arang batu (bekuasa wap) tetapi selepas era perang dunia kedua, sedikit demi sedikit kapal korek di Malaysia mula beroperasi menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Salah satu contohnya ialah kapal korek Tanjung Tualang 5 (TT5) yang dibina pada tahun 1938 telah menjalani naiktaraf dari enjin wap (arang batu) kepada elektrik sepenuhnya pada tahun 1963.

Kapal korek lama memerlukan banyak tenaga kerja. 30 hingga 40 orang anak kapal diperlukan bagi setiap shif bergantung pada saiz kapal. Namun kapal korek moden yang dibina sekitar 70an hingga 80an hanya memerlukan sekitar 15 orang bagi setiap shif sekaligus mengurangkan beban kepada syarikat pengoperasi.

Kapal korek bergerak ke sekitar lombong menggunakan beberapa tali dari winch yang dipasang disetiap penjuru dan hadapan kapal korek yang mana tali-tali dari setiap winch akan ditambat di tepi tebing atau disauh (anchored) di dasar. Winch akan berpusing untuk menarik tali perlahan-lahan hingga kapal korek bergerak sedikit demi sedikit. Paling utama ialah tali dari bahagian muncung hadapan kapal, jika talinya tidak ditambat atau disauh ke dasar lombong maka akan menyebabkan kapal korek mundur ke belakang. Perkara ini disebabkan akibat tekanan yang terhasil dari sentuhan oleh baket ke dasar lombong ketika pengorekkan.

Berikutan lambakkan bijih timah yang menyebabkan kejatuhan harga timah dunia pada 1982, Malaysia bersetuju untuk mengurangkan pengeluaran bijih timah bagi mengimbangi semula harga. Pada tahun-tahun ini menyaksikan banyak kapal korek yang telah berusia diberhentikan dari operasi. Namun yang paling teruk ialah ketika harga timah jatuh ke tahap paling rendah pada penghujung tahun 1993 menyebabkan banyak kapal korek berhenti terus dari beroperasi.

Sebahagian kapal korek berjaya dijual sebagai kapal korek terpakai manakala sebahagian besar lagi terpaksa dilerai dan dijual sebagai besi skrap setelah diancam oleh karat dan pemotongan besi-besi tanpa sedar (kecurian) dari pencari besi lusuh. Sejumlah kecil kapal korek beroperasi semula selepas itu secara on-off terutamanya selepas tahun 1998 iaitu ketika harga timah naik semula. Tetapi menjelang 2003 hingga 2006 tiada lagi kapal korek beroperasi. Banyak syarikat perlombongan memilih bentuk perniagaan yang lain.

Kapal korek 'Sergang' adalah kapal korek bijih timah milik Singkep Tin Company, Indonesia.

Kegemilangan operasi[sunting | sunting sumber]

Negeri Perak merupakan negeri yang menyaksikan paling banyak kapal korek pernah beroperasi. Apabila Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) mengambilalih London Tin Corporation Limited, lalu tertubuhlah firma MMC hingga pada suatu ketika pernah menjadi firma yang memiliki paling banyak dan pengoperasi kapal korek yang terbesar di Malaysia dan juga dunia.[1] Daripada 62 buah kapal korek yang ada di Malaysia, 38 buah darinya adalah milik syarikat-syarikat milik MMC atau syarikat usahasama yang diuruskan oleh MMC. Menjelang tahun 1989, daripada 38 buah hanya 21 buah kapal korek milik MMC yang masih beroperasi dan jumlah itu menurun menjadi hanya 10 buah pada akhir tahun 1992.[2]

Ada beberapa skala kapal korek yang digunakan pada masa kegemilangan pelombongan timah di Malaysia. Malaysia mencipta sejarah sendiri apabila tidak kurang dari tiga buah kapal korek terbesar di dunia pernah dibina di dalam negara. Kapal korek yang paling besar di dunia ketika itu dikenali dengan Kapal 1. Ia hanya digunakan di beberapa lombong bijih di Tanjung Tualang, Negeri Perak. Ia lengkap dengan beberapa kemudahan seperti bilik rehat, dewan makan, surau, bilik mesyuarat dan bilik kawalan mutu. Ada juga kapal korek yang kecil iaitu Kapal 3 dan Kapal 5.

Pada tahun 1973, Selangor Dredging Berhad mentauliahkan kapal korek kedua miliknya (SD2) yang ketika ia ditauliahkan merupakan kapal korek terbesar dan termaju di dunia. Dengan berat 5780 tan, kapal korek ini adalah kapal korek yang pertama di dunia yang berupaya mengorek sehingga kedalaman 150 kaki dan yang pertama di dunia yang mampu mengorek dengan kelajuan 36 buah baket seminit menjadikan keupayaan kapasiti pengeluaran 7.9 M3/setahun melebihi keupayaan mana-mana kapal korek yang ada di dunia.[3]

Hanya selang beberapa tahun kemudian, status kapal korek terbesar dunia diambil alih pula oleh kapal korek Sri Dengkil (CP1) yang ditauliahkan pada tahun 1977 dengan berat 6650 tan.[4] Walaupun mampu mengorek pada kedalaman dan memiliki kelajuan mengorek yang sama, namun Sri Dengkil hanya memiliki keupayaan kapasiti pengeluaran 7.3 M3/setahun sahaja berbanding kapal korek kedua milik Selangor Dredging Berhad.

Pemindahan[sunting | sunting sumber]

Kini Kapal 1 telah pun tiada tinggalannya di Tanjung Tualang kerana pada tahun 1980 ia telah dibuka dan dileraikan serta dihantar ke PhuketThailand.

Kapal korek kedua (SD2) milik Selangor Dredging Berhad pula telah dijual pada tahun 1986 kepada PT Koba Tin, sebuah syarikat perlombongan bijih timah yang beroperasi di Kepulauan Bangka, Indonesia. Firma OCI Engineering Sdn Bhd (OCIE) dilantik sebagai kontraktor bagi memindahkan kapal korek berkenaan. Pada tahun 1987 kapal korek itu mula dileraikan oleh firma OCIE dengan komponennya diangkut melalui jalan darat ke Johor. Oleh kerana kapala korek itu perlu dioperasikan secepat mungkin, maka pada masa yang sama sebuah pontoon baru juga telah siap dibina di Jakarta walaupun pontoon asal SD2 masih berkeadaan baik. Ini dilakukan untuk menjimatkan masa pemindahan selama enam bulan kerana kebiasaannya pontoon adalah komponen terakhir yang akan dileraikan. Pontoon asal SD2 dilupus dan dijual sebagai besi skrap.

Pontoon baru yang telah siap dipasang di Jakarta dengan berat 1,100 tan telah ditunda hingga ke perairan Johor dimana struktur dan komponen kapal korek berkenaan dipasang semula. Sistem rawatan pengasingan bijih timah telah diubahsuai mengikut kehendak atas kehendak PT Koba Tin bersama-sama dengan rombak rawat (overhaul) dan pembaikan komponen terpakai. Kapal korek ex-SD2 siap dibina semula lalu ditunda hingga ke Kepulauan Bangka dimana sebuah terusan yang menghubungkan laut dan kawasan operasi perlombongan telah pun digali terlebih dahulu untuk dilalui kapal korek berkenaan. Kapal korek ex-SD2 ditauliahkan kedalam perkhidmatan PT Koba Tin dengan nama 'Merapin' pada 1988.

Kapal korek Sri Dengkil turut mengikut jejak langkah SD2. Ia telah dijual kepada PT Koba Tin, dilerai dan dipasang semula di Kepulauan Bangka, Indonesia dan ditauliahkan kedalam perkhidmatan PT Koba Tin pada 1995 dengan nama 'Bemban'.[2]

Dengan terpindahnya kapal korek SD2 dan Sri Dengkil ke Indonesia, maka status kapal korek terbesar yang masih wujud di Malaysia dipegang oleh kapal korek TT5 di Tanjung Tualang, Batu Gajah, Perak.

Dredge Master[sunting | sunting sumber]

Setiap kapal korek biasanya akan diketuai oleh seorang 'dredge master' atau kapten kapal korek. Dredge master bertanggungjawab sepenuhnya terhadap operasi kapal korek yang dikendalikan. Berikut adalah antara tugas yang dipikul oleh seorang dredge master:

  • Mengendalikan kapal korek secara optimum, bersistematik dan selamat.
  • Memberi input kepada perancangan dalam perjanjian/pajakan perlombongan dengan Ketua Jurutera pada setiap kali beroperasi.
  • Menyediakan maklumat yang tepat kepada Penyelia Lombong atau Dredge Master Kanan mengenai kerja yang dilakukan / prestasi, kemalangan / kelewatan, status aset, kerosakkan, isu-isu yang tidak dapat diselesaikan dan kerja ramalan selaras dengan keperluan projek.
  • Mengarah, menetapkan dan memberi panduan terhadap anak-anak kapal dan bukan anak kapal yang terlibat dalam proses pergerakkan kapal korek dan kedalaman penggalian berdasarkan peta rekod eksplorasi yang telah dipersetujui atau mendapat kebenaran oleh/dari pengurus/penyelia, ketua jurutera.
  • Memastikan maklumat pergerakkan kapal korek, kedalaman pengorekkan, jumlah bijih di kawasan yang telah dikorek di rekod untuk semakkan akan datang bagi mengelak pengorekkan berulang pada kawasan yang sama atau pada sisa buangan kapal korek.
  • Bekerjasama secara membina dan cekap dengan anak-anak kapal, ketua jurutera dan dredge master kanan dan / atau penyelia lombong secara tetap dan lain-lain tugas lagi.

Biasanya dredge master akan dibantu oleh seorang 'winchman' atau juru winch. Peranan winchman adalah juga penting dalam pengoperasian kapal korek bagi memastikan kelancaran operasi. Winchman akan menggabungkan antara kepintarannya dalam membuat congakkan bersama penggunaan teknik pengorekan yang betul untuk mengawal selia situasi pengorekan yang sentiasa berubah-ubah. Dengan berbuat demikian, winchman memastikan kapal korek beroperasi secara ekonomi dan membantu menguntungkan syarikat. Penjimatan kos ketika beroperasi adalah sangat-sangat diperlukan kerana kos pengoperasian kapal korek yang mahal.

Senarai kapal korek terakhir dibina di Malaysia (1966 - 1985)[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah 14 senarai kapal korek terakhir yang dibina di Malaysia yang juga merupakan kapal korek termoden dalam sejarah kegemilangan perlombongan bijih timah negara. [5]

Tahun

Dibina

Kapal Korek Kapasiti Pengeluaran

M3/Setahun

Pemilik Lokasi
1985 Kuala Langat Dredge No 1 7.8 Kuala Langat Mining Sdn Bhd* Kuala Langat
1982 Petaling Dredge No 9 7.9 Petaling Tin Berhad Kuala Langat
1980 Timah Dermawan

(Sri Dermawan Dredge)

6.5 Timah Dermawan Sdn Bhd* Tronoh
1979 Perangsang Rio Tinto

Dredge No 2

7.3 Perangsang Rio Tinto Sdn Bhd Kuala Langat
1979 Sri Mambang

(MDA Dredge)

1.7 Mambang Di-Awan Sdn Bhd Kampar
1979 Berjuntai Dredge No 9 5.6 Berjuntai Tin Dredging Berhad* Batang Berjuntai
1977 Sri Dengkil Dredge 7.3 Perangsang Tin Consolidated Berhad Kuala Langat
1976 Berjuntai Dredge No 8 5.3 Berjuntai Tin Dredging Berhad* Batang Berjuntai
1974 Sri Banting Dredge 5.5 Timah Langat Berhad Kuala Langat
1973 Selangor Dredge No 2 7.9 Selangor Dredging Berhad Kuala Langat
1972 Perangsang Rio Tinto

Dredge No 1

7.3 Perangsang Rio Tinto Sdn Bhd Kuala Langat
1970 Sri Timah Dredge 7.3 Conzinc Rio Tinto Malaysia Sdn Bhd Kuala Langat
1970 Petaling Dredge No 7 4.4 Petaling Tin Berhad Kuala Langat
1966 Selangor Dredge No 1 4.4 Selangor Dredging Berhad Kuala Langat

*MMC adalah pemegang saham utama dalam Berjuntai Tin Dredging Berhad, manakala Timah Dermawan Sdn Bhd dan Kuala Langat Mining Sdn Bhd adalah syarikat usahama antara MMC dengan entiti lain terutamanya kerajaan-kerajaan negeri.

  1. 1.0 1.1 http://digicoll.library.wisc.edu/cgi-bin/EcoNatRes/EcoNatRes-idx?type=turn&entity=EcoNatRes.MinYB1980v1.p0847&id=EcoNatRes.MinYB1980v1&isize=text
  2. 2.0 2.1 [null Mining Magazine] March 1, 1997 | Chadwick, John
  3. http://www.sdb.com.my/about/history
  4. http://site.ocie.com.my/main/3130/index.asp?pageid=129832&t=cp1-dredge
  5. Page 255, Tin Mining in Malaysia, 1800-2000: The Osborne & Chappel Story By David Palmer and Michael Joll