Afakia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Afakia adalah satu keadaan di mana mata telah kehilangan kanta kristalin yang asal (ketiadaan kanta mata), sama ada melalui pembedahan disebabkan oleh katarak (kanta kristalin berkabut) atau trauma berat. Keadaan ini juga boleh berpunca sejak lahir, ataupun bila bayi mempunyai penyakit sistemik. Kebiasannya jika dikesan semasa lahir, ia dikenali sebagai katarak kongenital.

Katarak kongenital merupakan opasti atau kekabutan pada kanta kristalin yang boleh menghalang penglihatan. Ia boleh mengakibatkan kekaburan penglihatan yang nyata ataupun secara total. Katarak kongenital biasanya berlaku pada kedua-dua belah mata (bilateral) manakala katarak yang disebabkan oleh trauma selalunya berlaku pada satu mata (unilateral).

Sekiranya katarak tidak dapat dikesan awal, ia boleh menyebabkan deprivasi (halangan penglihatan) pada bayi. Ini berlaku disebabkan oleh pengurangan stimulus untuk penglihatan sehinggakan bayi mengalami tahap penglihatan yang lemah.

Komplikasi penglihatan yang dapat berlaku akibat pengurangan stimulus penglihatan di awal usia adalah ambliopia (mata malas), nistagmus (mata bergetar) dan juling.

Rawatan atau rehabilitasi/pemulihan semula penglihatan bagi kanak-kanak akafia perlu disegerakan sejurus setelah pebedahan katarak dilakukan. Ini amat penting untuk mengelakan penglihatan kanak-kanak tersebut terbiar tanpa ada sebarang pembetulan refraksi.

Pembetulan refraksi/pembiasan diperlukan selepas pembedahan katarak. Ini kerana kanta kristalin yang dikeluarkan semasa surgeri sebenarnya berfungsi sebagai salah satu media refraksi yang membawa kepada kuasa anggaran sebanyak 20D.

Apabila kanta ini dikeluarkan semasa pembedahan, mata akan kehilangan kuasa akomodasi (untuk melihat dekat) sebanyak 20D. Oleh itu, kuasa refraksi tambahan perlu dipasang di luar mata (dengan memakai kanta sentuh ataupun cermin mata) ataupun kanta palsu (kanta intrakular) di masukkan ke dalam mata kanak-kanak semasa surgeri.

Cermin mata tidak sesuai dipakaikan kepada afakia unilateral kerana ia boleh menyebabkan persaingan dengan mata sebelah yang normal di mana, gabungan imej sukar berlaku di antara mata baik yang melihat objek dengan terang, dengan mata afakia yang melihat objek dengan kabur.

Kanta sentuh khas untuk bayi dan kanak-kanak sering menjadi pilihan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]