Amirahman Abas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Haji Amirahman bin Haji Abas ialah seorang qari dari Negeri Sembilan, malaysia. Beliau ialah penerima Anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah peringkat Negeri Sembilan 1433 . Anugerah itu disampaikan oleh Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz di Dewan Besar, Pusat Dakwah Islamiah, Paroi pada 28 November 2011.

Amirahman Abas merupakan qari pertama dari Negeri Sembilan yang telah berjaya menjadi Johan di Majlis Tilawah Al-Quran peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa iaitu pada tahun 2011. Sejak mula penganjuran Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebengsaan pada 1960 dan Antarabangsa pada 1961, Qari dan Qariah dari Negeri Sembilan belum pernah mendapat johan mahupun naib johan di majlis tersebut.

Beliau dilahirkan di Kuala Lumpur. Bapanya Haji Abas bin Haji Khusasi berasal dari Kampung Legong Ulu, Rembau, Negeri Sembilan manakala ibunya Hajah Mariam @ Noriah binti Haji Abdul Majid berasal dari Kampung Bongek, Rembau Negeri Sembilan. Datuk sebelah bapanya, Haji Khusasi @ Haji Mohamad bin Haji Daud seorang ulama terbilang, pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah selama 13 tahun. Merupakan Nazir sekolah agama dan pengiring Datuk Sedia Raja Haji Ipap Abdullah, Datuk Undang Luak Rembau ke meyuarat Ugama Negeri Sembilan. Datuk sebelah ibunya Haji Tahir atau dikenali sebagai Bilal Tahir, puluhan tahun menjadi muazzin di Masjid Bongek

Mendapat pendidikan awal dari Sekolah Menengah Rendah Agama Repah, Tampin, Negeri Sembilan lalu menyambung pula persekolahan di Maahad Ahmadi, Gemencheh Negeri Sembilan. Kemudian beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya kampus Nilam Puri Kelantan. Setelah itu melanjutkanya lagi ke kampus Universiti Malaya Kuala Lumpur dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Syariah (Fiqh dan Usul). Mula bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu, Negeri Sembilan sejak tahun 2007 hingga sekarang.

Mendapat didikan al-Quran bermula dari peringkat asas hinggalah kepada qari qari tersohor negara, akhirnya beliau berjaya sehingga ke peringkat antarabangsa. Memulakan pengajian al-Quran asas dengan Tn Hj Hasan Mat, lalu mempelajari pula Taranum dari johan qariah Wilayah Persekutuan Pn. Hjh Hakinah @ Rokiah Derahman. Tidak memadai dengan itu, memperlajari pula Taranum dengan Tn Hj Hasim Harun, serta johan johan qari antarabnagsa seperti Allahyarham Tn Hj Mohammad Hj Yusoff dan Allahyarham Tn Hj Abdul Rahim Ahmad. Beliau juga pernah mengikuti kursus Taranum bersama Qari Mesir al-Marhum Syekh Fathi Hasan al-Maliji. Beliau juga mendapat bimbingan dan asuhan dari Allahyarham Tan Sri Datuk Hj Hassan Azhari, yang telah mengajar teknik sebutan huruf alquran, kaedah kaedah Barzanji dan Qasidah, serta asas asas muzik arab terutamanya aliran lagu Hijazi, teknik wuslah mumasalah dan teknik lontaran suara yg tepat.

Beliau muncul di kaca televisyen dalam rancangan rancangan agama seperti juri rancangn Tilawah Interaktif di RTM 1 dari tahun 2008-2021, Surah Pilihan, Bismillah dan Akademi Al-Quran di TV 9.[1] Selain itu, beliau juga melaungkan azan d TV1 RTM dan Radio Negeri FM, dan diundang sebagai panel Quran Time TV al- hijrah, juri jemputan Akademi Qurra tv alhijrah dan juri rancangan Muazzin terbitan Suhan Movies bersama Tv Al Hijrah.

Antara penglibatan beliau di dalam bidang Tilawah al-Quran ialah mendapat naib juara Akademi al-Quran Tv9 (2006), Johan Qari Peringkat Negeri Wilayah Persekutuan (2007, 2008, 2009), Johan Qari Peringkat Negeri Sembilan (2011, 2013, 2014) Johan Qari Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa (2011), serta Johan Qari Peringkat Antarabangsa di Tilawah al-Quran Antarabangsa di Kuwait (2014). Disamping itu, beliau juga pernah mewakili Malaysia ke Tilawah Antarabangsa anjuran Kerajaan Iran pada tahun 2008, Hakim Tilawah Afrika Selatan di Cape Town pada 2010, Hakim Tilawah Thailand di Bangkok pada 2012, disamping sering diundang sebagai Qari Jemputan dan seminar alquran seperti di Singapura, Indonesia, Brunei, dan di Vienna, Austria. Mulai 2015, beliau telah dilantik menjadi hakim Majlis Menghafaz Al-Quran peringkat kebangsaan. Beliau juga terlibat sebagai panel penggubal NOSS Jabatan Pembangunan Kemahiran Kementerian sumber Manusia, penggubal soalan Kelas Kemahiran Al-quran Kementerian Pendidikan, Panel ayat Tilawah Alquran Kementerian Pendidikan, Panel pemilihan ayat Tilawah JAKIM bagi peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa, Panel penggubal dan penyemak Modul Hakim tilawah alquran JAKIM dan Panel penggubal dan tenaga pengajar Akademi Taranum Negeri Sembilan

Atas jasa dan sumbangan beliau kepada negeri dan negara, beliau dianugerahkan darjah Ahli Setia Negeri Sembilan (ANS) dari ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan pada 2012; Tokoh Khas Maal Hijrah Negeri Sembilan 2011, Tokoh Ikon Guru peringkat Kebangsaan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2013, Tokoh Ikon Guru peringkat Negeri Sembilan oleh JPNS pada 2014.

Beliau sering mendapat undangan memperdengarkan bacaan al-Quran di serata tempat seperti Maulidurrasul peringkat Kebangsaan (2012, 2015, 2016), Maal Hijrah peringkat Kebangsaan (2012, 2017), Majlis Doa Selamat Keputeraan Yang Di-Pertuan Agong, Majlis Doa Selamat Pertabalan Agong, Majlis Sambutan Moreh Ramadhan bersama Sultan Kedah serta lain lain lagi. Beliau juga aktif terlibat dalam penghakiman Majlis Tilawah al-Quran peringkat negeri Perak, Melaka, Sabah, Selangor, Wilayah Persekutuan dan Negeri Sembilan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]