Biobahan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Biobahan ialah bahan yang tereka bentuk supaya ia boleh berinteraksi dengan sistem biologi untuk tujuan perubatan. Manakala sains biobahan pula ialah bidang yang menggabungkan unsur perubatan, biologi, kimia, kejuruteraan tisu dan sains bahan. Bidang biobahan telah mula diterokai sejak setengah abad yang lalu, cuma baru kini berjaya menghasilkan produk.

Penggunaan biobahan dalam bidang perubatan moden mula diketahui dengan kejayaan penggunaan bahan ini dalam bidang pergigian dalam tahun 1860-an oleh Dr J. Lister. Sebelum ini, aplikasi biobahan tidak berjaya disebabkan oleh faktor jangkitan. Antara kejayaan penggunaan biobahan dalam bidang perubatan adalah pengenalan bahan ini dalam sistem kerangka. Antara bahan yang berjaya digunakan dalam tubuh manusia termasuklah besi tahan karat dan aloi kobalt kromium. Polimer juga digunakan sebagai biobahan seperti PMMA (poly(methyl methacrylate)).[1]

Takrifan[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa takrifan yang boleh digunapakai:

  • Bahan bukan hidup yang digunakan yang digunakan dalam peranti perubatan untuk berinteraksi dengan sistem biologi.[2]
  • Bahan yang digunakan untuk membuat peranti yang akan menggantikan sebahagian ataupun fungsi badan dalam keadaan selamat, boleh diharap, ekonomik, dan boleh diterima oleh fisiologi.[3]
  • Bahan-bahan sintetik dan semulajadi yang berantaramuka dengan tisu, darah, cecair biologi, dan digunakan untuk prostetik, diagnostik, terapi dan penyimpanan tanpa memberi kesan kepada organisma hidup dan komponennya.[4]

Park sendiri telah memberikan takrifannya:

Bahan sintetik yang digunakan untuk membuat peranti bagi menggantikan sebahagian dari sistem hidup atau untuk berfungsi dengan antaramuka yang intim dengan tisu hidup. [5]

Walaupun begitu, bahan-bahan palsu yang hanya berantaramuka dengan kulit seperti alat bantuan pendengaran dan kaki palsu tidak termasuk dalam definisi biobahan kerana bahan tersebut dihalang oleh kulit. Di sini, kulit bertindak sebagai sempadan luaran antara bahan tersebut dengan dunia luar.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Park,J.B., "Biomaterials" in The Biomedical Engineering Handbook: Second Edition. 2000, ed. Bronzino, J.D.,CRC-Press, Boca-Raton.
  2. ^ Black, J., "Biological Performance of Materials: Second Edition". 1992, Marcel Dekker, New York.
  3. ^ Hench, L. L. & Ethridge, E. C., "Biomaterials: An Interfacial Approach". 1982, Academic Press, New York.
  4. ^ Bruck,S.D., "Properties of Biomaterials in the Physiological Environment". 1980, CRC-Press, Boca-Raton.
  5. ^ Park, J.B., "Biomaterials" in The Biomedical Engineering Handbook: Second Edition. 2000, ed. Bronzino, J.D., CRC-Press, Boca-Raton.