Dewan Rakyat Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari Dewan Rakyat)
Lompat ke: pandu arah, cari
Dewan Rakyat Malaysia
ديوان رعيه مليسيا
Coat of arms of Malaysia.png

Dewan rakyat.jpg

Jenis Dewan Rendah
Yang di-Pertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, BN
sejak 29 April 2008
Anggota 222
Parti politik Barisan Nasional (133)
Pakatan Rakyat (89)
Bebas (0)
Pilihanraya terakhir 5 Mei 2013
Tempat Persidangan Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur
Laman web http://www.parlimen.gov.my
Malaysia

Rencana ini sebahagian daripada siri:
Politik dan kerajaan
Malaysia



Negara-negara lain · Atlas
 Portal Politik

Dewan Rakyat merupakan salah satu daripada dua dewan dalam Parlimen Malaysia. Semua rang undang-undang perlulah diluluskan oleh kedua-dua dewan parlimen iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara - sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan diraja.[1] Ahli-ahli Dewan Rakyat juga dikenali sebagai Ahli Parlimen dan Ahli Yang Berhormat. Sepertimana Dewan Negara, Dewan Rakyat bersidang di Bangunan Parlimen Malaysia di Kuala Lumpur.


Tugas[sunting | sunting sumber]

Status Dewan Rakyat diterangkan di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti berikut: "Kuasa perundangan Persekutuan hendaklah terletak hak pada Parlimen yang hendaklah terdiri daripada Yang di-Pertuan Agong dan dua Majlis Parlimen yang dikenali sebagai Dewan Negara dan Dewan Rakyat."[2] Kuasa memanggil dewan bersidang dijelaskan di dalam Perlembagaan sebagai hak dan tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong. Baginda tidak boleh membiarkan enam bulan dari tarikh terakhir persidangan berlalu tanpa ada tarikh tetap untuk sesi bersidang seterusnya.[3]

Pembubaran[sunting | sunting sumber]

Dewan Rakyat bersidang selama maksimum lima tahun dan kemudian terbubar sendiri melainkan jika dibubarkan lebih awal dari itu.[4] Kuasa pembubaran ini terletak di bawah budi bicara Yang di-Pertuan Agong.[5] Baginda boleh membubarkan parlimen walaupun sesi perkhidmatannya masih lagi awal ataupun jika Perdana Menteri tidak lagi memiliki keyakinan dan kepercayaan majoriti ahli-ahli dewan kerana tewas samada melalui undi percaya atau meluluskan belanjawan. Namun begitu, Yang di-Pertuan Agong juga boleh melantik seorang ahli parlimen lain yang menurut budi bicaranya boleh memiliki keyakinan dan kepercayaan ahli-ahli dewan lain.[6][7]

Perdana Menteri, yang lazimnya mengetuai parti politik atau kumpulan parlimen yang memiliki jumlah kerusi terbanyak bertanggungjawab mengetuai badan eksekutif yang mentadbir negara ini. Beliau turut berhak melantik ahli daripada kedua-dua dewan di parlimen untuk menganggotai Jemaah Menteri.[8] Badan eksekutif ini berperanan membawa atau mencadangkan satu-satu undang-undang untuk dibahas, dikaji dan diluluskan oleh parlimen.

Hak istimewa[sunting | sunting sumber]

Ahli-ahli Parlimen diberi kebebasan dan keistimewaan untuk memperkatakan sesuatu perkara tanpa rasa gusar atau dikecam di luar dewan;[9] satu-satunya badan yang boleh mengecam seseorang ahli parlimen ialah Jawatankuasa Parlimen bagi Hak dan Kebebasan. Kekebalan parlimen ini berkuatkuasa serta-merta setelah seseorang itu mengangkat sumpah menjadi ahli parlimen dan hanya boleh digunapakai ketika ahli tersebut dibenarkan bersuara. Kekebalan ini tidak boleh dipakai ke atas kenyataan-kenyataan yang dibuat di luar dewan. Satu pindaan telah dibuat di bawah Perkara 63 Perlembagaan berikutan Peristiwa 13 Mei dengan penambahan Perenggan 4 yang menidakkan Fasal 2 Perlembagaan yang secara amnya memberikan hak-hak kebebasan asasi. Perenggan 4 itu menerangkan bahawa sesiapapun termasuk ahli Parlimen yang berucap di Dewan Rakyat boleh didakwa jika melakukan kesalahan di bawah Fasal 4 Perkara 10 atau di bawah Akta Hasutan 1948.[10] Selain itu ahli-ahli Parlimen juga kehilangan hak-hak istimewanya jika menganjurkan penghapusan kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Raja di negeri-negeri.[11]

Proses menggubal undang-undang[sunting | sunting sumber]

Sesebuah undang-undang yang ingin dicadangkan mestilah disediakan rangkanya terlebih dahulu - kebiasaannya oleh Jemaah Menteri atau sesebuah kementerian dengan dibantu oleh Jabatan Peguam Negara. Rangka tersebut yang dikenali sebaga rang undang-undang kemudiannya dikaji dan dibincang bersama-sama oleh Jemaah Menteri. Jika diputuskan untuk dicadangkan ke parlimen, rang itu kemudiannya akan diagih-agihkan kepada semua ahli-ahli dewan rakyat.

Rang ini akan melalui tiga bacaan dalam persidangan Dewan Rakyat.

  1. Bacaan pertama adalah untuk memperkenalkan rang undang-undang tersebut.
  2. Bacaan kedua untuk dibincang dan dibahas oleh ahli-ahli yang berhormat.
  3. Bacaan ketiga akan dicadangkan oleh menteri atau timbalannya untuk dibuat satu undian ke atas rang undang-undang ini.

Kebanyakan undang-undang hanya memerlukan sokongan majoriti mudah untuk diluluskan. Namun, dalam beberapa keadaan, majorit dua pertiga adalah diperlukan, seperti dalam hal-hal berkaitan meminda perlembagaan. Setelah diluluskan oleh Dewan Rakyat rang undang-undang itu kemudiannya dihantar ke Dewan Negara dan tiga bacaan yang diterangkan sebelum ini akan dilakukan sekali lagi. Dewan Negara boleh bertindak untuk tidak meluluskan satu-satu rang undang-undang. Walaubagaimanapun, langkah ini hanya melambat-lambatkan kelulusan dibuat selalunya selama sebulan dan kadang-kadang setahun. Setelah tempoh ini tamat, rang undang-undang in dianggap telah diluluskan oleh Dewan Negara.

Bangunan Parlimen di Kuala Lumpur yang menempatkan Dewan Rakyat.

Jika diluluskan, rang undang-undang itu akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dipertimbangkan dalam tempoh 30 hari. Jika baginda tidak bersetuju, rang undang-undang itu akan dikembalikan ke parlimen bersama-sama dengan beberapa cadangan pindaan. Parlimen kemudiannya harus mengkaji semula rang undang-undang tersebut dan pindaanya dan mengembalikannya semula kepada Yang di-Pertuan Agong jika rang undang-undang itu diluluskan semula. Yang di-Pertuan Agong mempunyai 30 hari lagi untuk memberikan perkenan diraja. Setelah tempoh itu, rang undang-undang tersebut dianggap telah diluluskan sebagai undang-undang yang boleh berkuatkuasa. Undang-undang ini hanya akan berkuatkuasa setelah dimasyhurkan di dalam Warta Kerajaan.[12]

Kerajaan sering memelihara kerahsiaan sesebuah rang undang-undang yang akan dibahaskan. Ahli-ahli parlimen sering menerima salinan rang undang-undang beberapa hari sebelum dibahaskan dan akhbar-akhbar tempatan jarang menerima salinan tersebut. Dalam sesetengah kes, ahli-ahli dewan pernah diberikan salinan pada hari yang sama sesebuah rang undang-undang itu dibentang di parlimen. Contoh terbaik adalah sewaktu Pindaan Perlembagaan 1968 yang dilakukan tiga bacaan pada hari yang sama. Dalam kes yang agak jarang berlaku, kerajaan pernah mengeluarkan satu Kertas Putih yang mengandungi cadangan-cadangan kerajaan yang akhirnya diluluskan sebagai undang-undang. Kes ini merujuk kepada penggubalan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971.

Rang Undang-undang Persendirian[sunting | sunting sumber]

Proses sebelum ini hanya menerangkan langkah-langkah sesebuah undang-undang itu dibawa oleh pihak kerajaan. Namun begitu, wujud satu lagi proses yang dipanggil Rang Undang-undang Persendirian yang memberi peluang kepada ahli-ahli dewan mencadangkan undang-undang baru untuk dibahas di parlimen. Walaupunbegitu, sebagaimana yang sering menjadi amalan di dalam sistem parlimen ala Westminster, hanya sedikit bilangan ahli parlimen yang pernah memperkenalkan rang undang-undang. Proses ini dimulakan dengan ahli yang terbabit memohon dewan untuk berhenti daripada meneruskan persidangan bagi membahaskan rang undang-undang yang ingin dibawanya sebelum diputuskan dalam undian. Senator dari Dewan Negara juga dibenarkan untuk mencadangkan rang undang-undang di parlimen. Tetapi hanya wakil kerajaan sahaja dibenarkan mencadangkan rang undang-undang berkaitan hal-ehwal kewangan dan ini perlu dilakukan di Dewan Rakyat terlebih dahulu.[13]

Seringkali sesebuah rang undang-undang yang dicadangkan oleh wakil pembangkang, yang harus menggunakan Rang undang-undang Persendirian, sering dipandang remeh oleh parlimen. Sesetengahnya sampai pernah mendakwa bahawa hak-hak ahli parlimen untuk mencadangkan rang undang-undang telah dihalang melalui pindaan terhadap Aturan Urusan Mesyuarat yang membenarkan Yang di-Pertua dewan meminda cetakan ucapan ahli parlimen sebelum ianya dapat diucapkan.

Keahlian[sunting | sunting sumber]

Setiap ahli Dewan Rakyat dipilih untuk mewakili satu kawasan parlimen melalui pilihanraya pelbagai parti. Kawasan ini ditentukan melalui pensempadanan kawasan pilihanraya yang dijalankan setiap lapan tahun sekali setelah dicadangkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya.[14] Pensempadanan semula kawasan parlimen ini hanya boleh diluluskan di Dewan Rakyat dengan mendapat sokongan daripada sekurang-kurang dua pertiga ahli-ahli dewan.

Kelayakan menjadi ahli adalah seperti berikut:

  • warga negara Malaysia[15]
  • tidak kurang dari 21 tahun[16]
  • waras fikiran[17]
  • bukan seorang muflis[18]
  • tidak memegang jawatan berpendapatan[19]
  • telah menyerahkan apa-apa penyata perbelanjaan pilihan raya sebelum ini, jika pernah bertanding[20]
  • tidak mempunyai rekod jenayah[21]

Seorang ahli tidak boleh memegang jawatan kedua-dua Dewan Rakyat dan Dewan Negara dalam satu masa.[22]

Sebelum memegang sebarang kerusi dalam Parlimen, setiap ahli dimestikan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertua Dewan Rakyat.[23] Ahli tersebut hendaklah bersumpah atau berjanji bahawa mereka akan taat menjalankan tugas-tugas mereka sebagai ahli Dewan sebaik yang mungkin dan taat setia kepada Malaysia serta mematuhi, menjaga dan mempertahankan Perlembagaan.[24]

Yang di-Pertua[sunting | sunting sumber]

Dewan Rakyat dipengerusikan oleh seorang Yang di-Pertua dan dibantu oleh dua orang Timbalan Yang di-Pertua. Yang di-Pertua tidak semestinya dipilih di kalangan ahli-ahli parlimen tetapi timbalan-timbalannya haruslah dipilih di kalangan anggota-anggota Dewan Rakyat yang lain.[25] Mereka berperanan besar mempengerusikan persidangan Dewan Rakyat. Selain itu, Yang di-Pertua turut bertanggungjawab memastikan keadaan tenteram di parlimen selain berusaha sebaik mungkin utuk melicinkan perjalanan persidangan.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat bagi Parlimen ke-12 ketika ini ialah Tan Sri Pandikar Amin Mulia dari Barisan Nasional. Beliau, yang merupakan Speaker Dewan Rakyat yang ke-8 dan tidak mempunyai kerusi di parlimen adalah penjawat pertama dari negeri Sabah. Timbalan-timbalannya ialah Yang Berhormat Datuk Dr. Wan Junaidi bin Tuanku Jaafar (Santubong-BN) dan Yang Berhormat Datuk Ronald Kiandee (Beluran-BN).

Pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Ahli-ahli Dewan Rakyat berkhidmat selama maksimum lima tahun bagi satu-satu sesi parlimen. Selepas itu pilihanraya mesti diadakan bagi memilih ahli-ahli baru. Pembubaran parlimen hanya boleh dilakukan oleh Yang di-Pertuan Agong setelah mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.

Pengundi-pengundi akan memilih seorang wakil rakyat daripada setiap 222 bahagian pilihan raya.[26][27] Pilihanraya di Malaysia dijalankan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya yang keahliannya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong setelah selepas berunding dengan Majlis Raja-raja.[28] Pemenang pilihanraya selalunya ditentukan menggunakan prinsip majoriti tertinggi - calon yang mendapat undi terbanyak berbanding calon-calon lain - yang turut diamalkan di dalam sistem berparlimen ala Westminster.[29]

Pilihanraya umum terakhir yang telah diadakan di Malaysia ialah pada 5 Mei 2013.

Pembentukan kerajaan[sunting | sunting sumber]

Parti politik atau gabungan parti-parti politik yang memenangi kerusi terbanyak di Dewan Rakyat berhak untuk membentuk kerajaan yang baru. Kerajaan akan diketuai oleh seorang ahli parlimen yang memiliki sokongan majoriti dewan dan beliau dipanggil Perdana Menteri. Namun begitu, Perdana Menteri Malaysia tidak dilantik oleh ahli-ahli parlimen. Jawatan ini hanya boleh dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dengan mengikut budi bicara baginda unuk memilih seorang ahli Dewan Rakyat yang dirasakan mendapat sokongan terbanyak ahli-ahli di Dewan Rakyat. Perdana Menteri Malaysia ketika ini ialah Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib bin Abdul Razak (Pekan-BN).

Lihat juga: Perdana Menteri Malaysia untuk senarai Perdana Menteri Malaysia.

Mengikut tradisi berparlimen Westminster, seorang ahli Dewan Rakyat yang memiliki sokongan terbanyak golongan minoriti di parlimen akan memain peranan sebagai Ketua Pembangkang. Ketua Pembangkang di Parlimen Malaysia Ke-12 ialah Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim (Permatang Pauh-PKR). Beliau telah memenangi kerusi parlimen Permatang Pauh pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008. Beliau menggantikan Ketua Pembangkang terdahulu, Ahli Parlimen P44 Permatang Pauh Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatannya pada 31 Julai 2008. Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail merupakan wanita pertama di Malaysia yang diberi penghormatan menjawat jawatan sebagai Ketua Pembangkang.[30] Selepas Pilihan Raya ke-13 iaitu pada 5 Mei 2013, sekali lagi Yang Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dipilih sebagai Ketua Pembangkang apabila Pakatan Rakyat (Gabungan PKR-DAP-PAS) berjaya memegang 89 daripada 222 kerusi parlimen, iaitu sebanyak 40.09%.

Pilihan raya kecil[sunting | sunting sumber]

Peta kawasan pilihan raya bagi Dewan Undangan Negeri N11 Ijok. Pilihan raya kecil Ijok 2007 menyaksikan pertandingan hebat di antara calon parti kerajaan dan pembangkang.

Mengikut Undang-undang Pilihanraya, jika seseorang Ahli Parlimen terpaksa mengosongkan kerusinya dengan apa jua sebab sekalipun sewaktu Dewan Rakyat berada di awal sesi perkhidmatannya dan tidak kurang daripada dua tahun sebelum dewan terbubar, satu pilihan raya kecil perlu diadakan bagi memenuhi kekosongan tersebut. Jika kekosongan itu berlaku kurang dari dua tahun sebelum dewan terbubar pula, pilihanraya kecil hanya boleh diadakan jika Yang di-Pertua Dewan Rakyat telah memastikan bahawa sokongan majoriti terhadap parti kerajaan telah terjejas.[31] Proses dan penganjuran satu pilihan raya kecil adalah sama seperti pilihan raya umum dijalankan. Kebanyakan pilihan raya kecil adalah kurang penting kerana kerajaan seringkali memiliki majoriti stabil di Dewan Rakyat. Namun begitu, pilihan raya kecil boleh dijadikan kayu pengukur terhadap prestasi semasa kerajaan.

Keputusan pilihan raya[sunting | sunting sumber]

Sumber[32]

[bincang] – [sunting]
Ringkasan keputusan pilihan raya umum 2013 bagi Dewan Rakyat Malaysia
Undian % undian Kerusi % kerusi +/–
Barisan Nasional (BN) 5,237,699 47.38 133 59.91 –7
Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) 3,241,286 29.32 88 39.64 +9
Persatuan Cina Malaysia (MCA) 899,420 8.14 7 3.15 –8
Kongres India Malaysia (MIC) 291,814 2.64 4 1.80 +1
Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) 153,081 1.38 1 0.45 –1
Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak (PBB) 232,390 2.10 14 6.31 0
Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) 133,603 1.21 1 0.45 –5
Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) 55,505 0.50 4 1.80 0
Parti Rakyat Sarawak (PRS) 59,540 0.54 6 2.70 0
Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) 65,966 0.60 3 1.35 –1
Parti Bersatu Sabah (PBS) 88,097 0.80 4 1.80 +1
Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) 9,467 0.08 1 0.45 0
Parti Liberal Demokratik (LDP) 0 0.00 0 0.00 –1
Parti Progresif Penduduk (PPP) 7,530 0.07 0 0.00 0
Pakatan Rakyat (PR): 5,623,984 50.87 89 40.09 +7
Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2,254,328 20.39 30 13.51 –1
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 1,633,389 14.77 21 9.46 –2
Parti Tindakan Demokratik (DAP) 1,736,267 15.71 38 17.12 +10
Parti bebas (dan lain-lain) 192,894 1.75 0 0.00 0
Jumlah keseluruhan 11,054,577 100.00 222 100.00

Senarai sesi Parlimen[sunting | sunting sumber]

No.
Tahun
Pilihan raya
Kerajaan*
Pembangkang
Jumlah
Kerusi
Bil. Kerusi
% Kerusi
% Undi
Bil. Kerusi
% Kerusi
% Undi
1   1959** 74 71.15 51.7 30 28.85 48.3 104
2   1964** 89 85.58 58.5 15 14.42 41.5 104
3 1969 95 66.00 49.3 49 34.00 50.7 144
4 1974 135 87.66 60.7 19 12.34 39.3 154
5 1978 130 84.42 57.2 24 15.58 42.8 154
6 1982 132 85.71 60.5 22 14.29 39.5 154
7 1986 148 83.62 55.8 29 16.38 41.5 177
8 1990 127 70.55 53.4 53 29.45 46.6 180
9 1995 162 84.38 65.2 30 15.62 34.8 192
10 1999 148 76.68 56.5 45 23.32 43.5 193
11 2004 198 90.41 63.9 21 9.59 36.1 219
12 2008 140 63.1 50.27 82 36.9 46.75 222
13 2013 133 59.91 47.38 89 40.09 50.87 222
* "Kerajaan" bermaksud Parti Perikatan bagi tahun 1959 dan 1964; Parti Perikatan dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) bagi tahun 1969; dan Barisan Nasional sejak 1974.
** Perkiraan adalah untuk tahun 1959 serta 1964 kerana Sabah dan Sarawak tidak menyertai pilihan raya parlimen pada tahun 1964.
Sumber: Arah Aliran Malaysia: Penilaian Pilihan Raya (PDF)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]