Fon kepala

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Dua fon kepala profesional Sony siri MDR; salah satu daripadanya dilipat untuk dibawa ke mana-mana.

Fon kepala merupakan sepasang pembesar suara kecil yang dilekapkan pada telinga pengguna serta disambungkan ke punca isyarat audio seperti penguat audio, radio ataupun pemain CD. Ia juga dikenali dengan nama-nama seperti fon telinga dan set kepala.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Fon telinga telefon lama.

Fon telinga telefon seperti di gambar sebelah kanan ini adalah lazim pada awal abad ke-20. Daripada fon telinga telefon tersebut maka lahirlah fon kepala. Fon kepala yang sensitif merupakan satu-satunya cara bagi mendengar isyarat audio sebelum penguat audio mula dibangunkan.[1]

Fon telinga radio Brandes, tahun 1920.

Fon kepala yang sangat sensitif seperti keluaran Brandes sekitar 1919 lazimnya digunakan bagi kerja-kerja radio terawal. Fon kepala terawal tersebut menggunakan pemacu besi boleh gerak. Keperluan bagi tahap kepekaan yang tinggi bermaksud tiada lembapan audio digunakan, maka kualiti suara pada ketika itu agak kasar. Ia juga kurang selesa berbanding fon kepala moden, biasanya tiada pelapik dan selalunya perlu diapitkan dengan kuat pada kepala. Kadar galangan adalah sekitar 1,000 hingga 2,000 ohm, yang serasi dengan set triod dan hablur.

Apabila digunakan pada radio terawal, fon kepala tersebut biasanya disambungkan ke terminal positif voltan tinggi bateri, manakala terminal negatif pula dibumikan. Penggunaan sambungan elektrik yang kurang kemas pada zaman tersebut mendedahkan pengguna kepada risiko renjatan elektrik sekiranya mereka menyentuh fon kepala bagi memperbetulkan keadaan yang kurang selesa.

Aplikasi[sunting | sunting sumber]

Fon kepala boleh digunakan pada peralatan tetap seperti pemain CD atau DVD, sistem teater rumah, komputer peribadi serta peralatan mudah alih seperti pemain MP3 dan telefon bimbit. Fon kepala digunakan secara meluas untuk mendengar punca audio bagi tujuan hiburan dan rekreasi. Dalam sektor audio profesional pula fon kepala digunakan pada situasi secara langsung seperti pengacara lagu (DJ) dengan pencampur DJ serta jurutera bunyi bagi tujuan memantau punca isyarat audio. Di stesen radio pula, DJ menggunakan sepasang fon kepala sambil bercakap melalui mikrofon sambil pembesar suara dimatikan, bagi menghapuskan tindak balas akustik serta untuk memantau suara masing-masing. Di studio rakaman pula, penyanyi dan pemuzik menggunakan fon telinga untuk merakam suara untuk dimainkan bersama runut latar. Di bidang ketenteraan pula, isyarat suara dari pelbagai jenis dipantau menggunakan fon kepala.

Fon kepala berwayar dipasang pada punca audio. Penyambung yang paling lazim ialah jenis plag dan soket 1/4" dan 3.5 mm stereo. Piawaian 1/4" yang lama digunakan pada peralatan profesional, dan biasanya digunakan pada peralatan tetap. Sony memperkenalkan penyambung stereo "mini" 3.5 mm yang lebih kecil, lebih murah dan kini digunakan secara meluas, serta membolehkan plag 3.5 mm mono digunakan pada barisan pemain kaset stereo Walkman. Penyuai bagi sambungan antara peralatan 1/4" dan 3.5 mm boleh didapati secara meluas.

Jenis[sunting | sunting sumber]

Fon kepala terdiri daripada 3 jenis utama iaitu jenis cawan telinga (earcup), fon telinga (earphone) dan fon salur telinga (canalphone).

  • Fon kepala cawan telinga - Fon kepala jenis ini lazimnya bersaiz besar dan mempunyai bingkai untuk mengapitkannya pada telinga. Fon kepala jenis ini seterusnya dibahagikan kepada 2 jenis iaitu jenis tertutup dan jenis terbuka. Fon cawan telinga jenis tertutup mempunyai pelapik yang mengelilingi telinga apabila dipakai bagi mengasingkan bunyi bising luaran yang tidak dikehendaki. Fon cawan telinga jenis terbuka pula hanya sekadar mempunyai pelapik pada atas pembesar suara yang sekadar melapik bahagian atas telinga sahaja apabila dipakai.
  • Fon telinga - Fon telinga adalah lebih kecil daripada fon kepala jenis cawan tetapi tidak menutup keseluruhan telinga. Ia dipakai dengan menyangkutkannya pada bahagian luar telinga. Walau bagaimanapun, oleh kerana fon telinga tidak mampu mengasingkan bunyi bising luaran, ia tidak mampu menghasilkan banjaran dinamik yang sama seperti fon kepala jenis tertutup serta fon salur telinga pada aras suara yang sama. Akibatnya, sesetengah pengguna sering menggunakan fon telinga jenis ini pada bahana suara yang lebih tinggi untuk meredam bunyi bising sekeliling, yang seterusnya mendedahkan pengguna kepada bahaya kecacatan pendengaran.[2] Pada dekad 1990an dan 2000an, fon telinga sering disertakan dengan pembelian peranti muzik peribadi.
  • Fon salur telinga - Fon salur telinga merupakan sejenis fon telinga yang dimasukkan terus ke dalam salur telinga. Ia boleh bertindak sebagai penyumbat telinga bagi menyekat bunyi bising luaran yang tidak dikehendaki.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Pusat Sumber Fon Telinga