Francisco Hernández

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Francisco Hernández de Córdoba (maut 1517) ialah konkuistador Sepanyol yang terkenal dalam sejarah, khususnya kerana ekspedisi malang yang diketuainya pada tahun 1517 yang menyebabkan Semenanjung Yucatán ditemui oleh orang Eropah buat pertama kali.

Diego Velázquez de Cuéllar, gabenor Cuba, meminta kebenaran untuk membolehkan Córdoba membuat ekspedisi tersebut. Córdoba meninggalkan pelabuhan Santiago de Cuba pada 8 Februari, 1517 untuk menjelajahi pantai-pantai Mexico Selatan dengan tiga buah kapal. Beliau merupakan kapten kapal-kapal tersebut. Malim utamanya ialah Anton de Alaminos, dengan Juan Álvarez dan Camacho de Triana merupakan malim-malim yang lain. Dalam pelayarannya, banyak daripada anak-anak kapalnya dibunuh. Beliau sendiri mengalami cedera parah dan meninggal dunia beberapa hari selepas kepulangannya ke Cuba. Bernal Díaz del Castillo ialah salah seorang ahli ekspedisi tersebut dan beliaulah yang menulis tentang pelayaran tersebut.

Ekspedisi ini juga merupakan pertemuan orang Eropah yang pertama dengan kebudayaan maju di benua Amerika, dengan bangunan-bangunannya yang kukuh serta organisasi masyarakat yang mempunyai kekompleksan yang setanding dengan Dunia Lama. Orang Sepanyol juga mempunyai alasan untuk menjangka bahawa tanah yang baru ini mempunyai emas. Kesemua ini menggalakkan dua ekspedisi tambahan. Yang pertama itu diketuai oleh Juan de Grijalva pada tahun 1518 manakala yang kedua itu pada tahun 1519 diketuai oleh Hernán Cortés. Adalah ekpedisi kedua itu yang menyebabkan penjelajahan lanjutan, serangan tentera, dan akhirnya penempatan dan penjajahan Sepanyol yang kini dikenali sebagai Penaklukan Mexico. Hernández tidak hidup untuk melihat penerusan usahanya. Beliau meninggal dunia pada tahun 1517, tahun ekspedisinya, akibat cedera parah serta kehausan berketerlaluan yang dialaminya semasa pelayaran. Beliau berasa kecewa dengan pengetahuan bahawa Diego Velázquez telah memilih Grijalva sebagai kapten ekspedisi ke Yucatán yang berikut.

Walaupun rencana ini merupakan biografi Francisco Hernández, ia menumpukan ekspedisi yang menyebabkan penemuan Yucatán kerana inilah sahaja yang diketahui tentang riwayat hidupnya. Apa yang diketahui tentang kehidupannya yang awal adalah bahawa beliau merupakan seorang Sepanyol yang tinggal di Cuba pada tahun 1517, dan pasti telah menyertai penjelajahan tersebut. Selain itu, beliau juga merupakan seorang pemilik harta tanah (hacendado) yang kaya di sana, termasuk di tempat asalnya, dan mempunyai banyak rakan yang kaya untuk membiayai ekspedisi yang memberikannya keabadian dan kematian pada waktu yang sama.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]