Gagal pecah panggung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Gagal pecah panggung, juga dikenali sebagai flop, merujuk kepada filem yang kos penerbitan serta pemasarannya jauh melebihi kutipan kasar. Ia adalah lawan kepada istilah pecah panggung yang bermaksud pendapatan kasar jauh melebihi kos penerbitan dan pemasaran filem.

Secara amnya, kejayaan sesebuah filem diukur dari segi kutipan kasarnya, yang selalunya merujuk kepada pendapatan sesebuah filem bagi pasaran negara asalnya. Oleh itu, sesebuah filem yang hanya mendapat kutipan yang rendah di negara sendiri tetapi berjaya memperoleh kutipan yang tinggi di luar tidak dianggap sebagai berjaya. Selalunya, kegagalan sesebuah filem di negara sendiri menjadikan filem tersebut tidak menguntungkan. Dalam sesetengah kes yang lebih ekstrim, kegagalan sesebuah filem boleh mengakibatkan sesebuah studio penerbitan filem gulung tikar atau diisytihar muflis.

Punca kegagalan filem[sunting | sunting sumber]

Cakap-cakap negatif[sunting | sunting sumber]

Sejak tahun 1980an, kebanyakan pawagam menghentikan tayangan sesebuah filem yang tidak berupaya memperoleh kutipan memberangsangkan pada minggu pembukaannya. Akibatnya, prestasi sesebuah filem pada minggu pertama tayangan adalah sangat penting bagi membentuk persepsi sama ada filem tersebut boleh berjaya atau tidak. Penggunaan Internet serta perkhidmatan rangkaian sosial menyebabkan cakap-cakap negatif tersebar dengan lebih cepat.

Kurang promosi[sunting | sunting sumber]

Promosi adalah salah satu faktor kejayaan filem, namun ada sesetengah studio yang gagal mempromosikan filem-filemnya. Misalnya, 20th Century Fox dan Warner Bros. mengeluarkan banyak filem animasi tetapi jarang mempromosikannya, menyebabkan beberapa filem animasi keluaran kedua-dua syarikat gagal pecah panggung serta menyebabkan jabatan penampilan animasi bagi kedua-dua studio ditutup.

Persaingan[sunting | sunting sumber]

Kutipan tayangan filem akan menjadi rendah apabila terlalu banyak filem ditayangkan pada masa yang sama. Di Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) memperkenalkan Skim Wajib Tayang yang membolehkan judul-judul filem tempatan yang mengambil bahagian diberi tempoh tayangan yang lebih panjang; pawagam-pawagam diwajibkan untuk menayangkan filem-filem tersebut mengikut tempoh minimum yang ditetapkan. Langkah tersebut membantu mengurangkan impak persaingan antara filem tempatan dengan filem luar negara.

Kos penerbitan yang tinggi[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa judul filem yang mana jika dilihat daripada jumlah kutipan kasar sepatutnya boleh dianggap sebagai berjaya, tetapi sebenarnya gagal pecah panggung berikutan kos penerbitan yang terlalu tinggi sehinggakan jumlah kutipan yang tinggi pun tidak cukup untuk balik modal. Contohnya, kos pembikinan filem Final Fantasy: The Spirits Within berjumlah AS$137 juta sedangkan kutipan kasarnya hanya AS$85 juta, sekaligus membawa kepada penutupan Square Pictures.[1][2]

Faktor luaran[sunting | sunting sumber]

Sungguhpun ia jarang berlaku, namun sesebuah filem boleh gagal pecah panggung disebabkan beberapa faktor luaran yang tidak ada kena-mengena dengan perbelanjaan penerbitan filem serta kutipan kasarnya, misalnya imej buruk seseorang pelakon ataupun sentimen-sentimen seperti anti perang dsb.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Briscoe, David (February 4, 2002). "'Final Fantasy' flop causes studio to fold". Chicago Sun-Times. 
  2. Duffy, James (August 2, 2006). "Movies that were Box-office Bombs". Boston.com. Diperoleh pada January 2, 2010. 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]