Gamelan Melayu

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Pemain muzik gamelan Melayu dengan alat-alat muzik mereka

Gamelan Melayu wujud pada kurun ke-19. Gamelan Melayu di Malaysia hari ini konon merupakan warisan kesenian daripada kesultanan Riau-Lingga, Pahang dan Terengganu. Walaupun alat muzik dan kesenian gamelan secara asasnya berasal dari Jawa; gamelan Melayu mempunyai identiti tersendiri seperti skala nada, teknik memainkan alat muzik, struktur lagu serta ciri-ciri lain yang membezakannya daripada gamelan Jawa, Bali, Sunda; mahupun genre gamelan lain di dunia.

Istilah[sunting | sunting sumber]

Perkataan Gamelan berasal daripada istilah dalam Jawa: ꦒꦩꦼꦭ꧀, translit. gamel, yang bermakna "pukul" atau "tukul" merujuk kepada cara memainkan gamelan iaitu dengan dipukul.[1][2][3]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Pada kurun ke-15 gamelan telah menjadi muzik yang amat popular di nusantara. Kesultanan Demak menyebarkan gamelan dari Tanah Jawa ke Banjar, Kutai dan Palembang. Gamelan-gamelan tersebut kemudian diubahsesuai menurut negeri tempatan. Pada kurun selanjutnya banyak orang dari Jawa yang merantau dan membawa budayanya ke berbagai negeri di nusantara, termasuklah ke Sumatera, Singapura dan Malaya.

Gamelan baru bertapak di Tanah Melayu pada kurun ke-19. Seni muzik gamelan ini konon di bawa dari istana Kesultanan Riau-Lingga. Pada tahun 1811, telah datang sekumpulan penari dan pemuzik bersama-sama dengan alat muzik gamelan yang dibawa dari Pulau Penyengat, Riau bagi meramaikan dan memeriahkan majlis perkahwinan Wan Esah. Wan Esah merupakan adinda kepada pemerintah Pahang, Bendahara Tun Ali (1806-1857) dan Wan Esah berkahwin dengan Tengku Hussain, putera sulung kepada Sultan Riau-Lingga, Sultan Mahmud Syah III(1761-1812).

Sejak peristiwa itu, seni muzik gamelan telah berkembang pula di Pahang disebut sebagai "Joget Pahang". Lebih menarik lagi apabila muzik gamelan turut disaksikan oleh seorang pegawai British, Frank Swettenham sewaktu menjadi tetamu istana Sultan Ahmad al-Muadzam Shah (1882-1914) di Pekan, Pahang. Bukti peristiwa pada tahun 1875 ini dicatatkan dalam penulisan Frank Swettenham yang bertajuk ‘A Malay Notch’. Tetapi Frank Swettenham menyangkanya sebagai Gamelan Jawa kerana pada masa itu negeri lain di Semenanjung tak mempunyai gamelan.

Seterusnya, Terengganu turut menerima pengaruh kesenian gamelan apabila Joget Pahang dipersembahkan di majlis perkahwinan puteri Sultan Ahmad, Tengku Long dengan Sultan Zainal Abidin III (1881-1918) dari Terengganu pada tahun 1885. Perkahwinan ini walau bagaimanapun tidak bertahan lama akan tetapi Sultan Zainal Abidin III yang sudah terpikat dengan alunan muzik gamelan meminjam pemain-pemain dan alat muzik gamelan dari Riau-Lingga lalu meneruskan gamelan di istana Terengganu tanpa penari.

Sehubungan dengan itu, hubungan dingin antara Pahang dengan Terengganu telah dipulihkan melalui perkahwinan Tengku Sulaiman, putera Sultan Zainal Abidin III denganseorang lagi puteri Sultan Ahmad, Tengku Maryam pada tahun 1913. Secara tidak langsung, perkahwinan ini telah menyambung warisan kesenian gamelan Melayu yang telah lenyap di Pahang dan Riau-Lingga. Pada tahun 1914, Sultan Ahmad mangkat dan tiada pewaris takhtayang berminat untuk memelihara tradisi Joget Pahang. Che Zubedah, isteri Sultan Ahmad pula berangkat ke Terengganu bersama-sama set gamelan miliknya untuk tinggal bersama anakandanya, Tengku Ampuan Mariam. Tengku Ampuan Mariam seorang yang sangat terlatih dalam seni Joget Pahang. Berbekalkan sokongan Tengku Sulaiman yang turut meminati gamelan, Tengku Ampuan Mariam meneruskan kesenian tersebut di Terengganu.

Kemudian, apabila Tengku Sulaiman menaiki takhta dengan menggunakan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah, baginda berhasrat untuk menubuhkan kumpulan Gamelan Terengganu. Kumpulan ini mengambil tenaga pengajar yang terdiri daripada bekas pemuzik gamelan di Pahang bagi mengajar pemuda-pemuda tempatan bermain gamelan manakala Permaisuri Tengku Ampuan Mariam memimpin latihan gadis-gadis tempatan menari Joget Pahang yang kemudian ditukar namanya kepada tari gamelan Terengganu. Pasangan diraja ini akhirnya berjaya memiliki set gamelan mereka sendiri pada tahun 1936. Persembahan gamelan sering dipersembahkan di Istana Maziah, Terengganu.

Tengku Ampuan Mariam bukan sahaja memimpin seni tarian gamelan malah turut berbakat menghasilkan manuskrip yang mengandungi huraian dan lakaran tarian gamelan. Manuskrip ini dijadikan sumber rujukan sejarah dan tradisi gamelan Melayu. Konon terdapat 95 buah ciptaan lagu gamelan dan kira-kira 60 lagu yang diiringi dengan tarian. Majoriti repertoir tersebut diwarisi dari Pahang dan selebihnya diperkembangkan di Terengganu.

Zaman gelap gamelan Terengganu berlaku apabila Perang Dunia Kedua meletus ditanah Melayu pada tahun 1941 dan ditambah pula dengan kemangkatan penaungnya, Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah pada tahun berikutnya. Sejak itu, set gamelan baginda tersimpan rapi di Istana Kolam, yang merupakan kediaman Tengku Ampuan Mariam.

Semasa Sultan Sir Abu Bakar Pahang menjadi Tengku Mahkota pada 1930, baginda mula menunjukkan minat terhadap gamelan. Usaha untuk menghidupkan gamelan ke dalam Istana Pahang bermula apabila baginda meminta Dato' Maharaja Perba Jelai, Wan Tanjung bin Wan Mohamed, Orang Besar Berempat Pahang yang diam di Kuala Lipis Pahang agar membawa sebuah kumpulan Gamelan Jawa dari Lipis untuk membuat persembahan disebabkan hanya kumpulan tersebut yang mempersembahkan gamelan di Pahang ketika itu.

Akhirnya pada tahun 1973, setelah baginda menjadi Sultan Pahang, baginda telah meminta kembali set gamelan dalam jagaan Tengku Ampuan Mariam Terengganu untuk dihidupkan kembali gamelan di Istana Pahang, dengan sedikit tawar-menawar yang kurang menyenangkan dan baginda telah membayar sagu hati sebanyak $25 000 kepada Tengku Ampuan Mariam Terengganu.

Pada awal 2008, Sultan Haji Ahmad Shah Pahang, anakanda Sultan Sir Abu Bakar telah menamakan semula joget gamelan ini kepada Joget Gamelan Pahang dan digelar baginda sebagai Kumpulan Gamelan Pahang DiRaja (Metra Syahril Mohamed, 2008). Lembaga Muzium Negeri Pahang dipertanggungjawabkan untuk kerja-kerja pemeliharaan alat dan kesenian ini serta untuk persembahan ketika adat-istiadat dan keramaian tertentu.

Gamelan Melayu mula diperkenalkan kepada umum apabila Tan Sri Mubin Sheppard, pengkaji seni bina Melayu menemukan set gamelan di Istana Kolam Terengganu lalu memohon izin Tengku Ampuan Mariam untuk dihidupkan gamelan ini pada 1966 (FarizanM. Razuri, 2010). Kemunculan pertama Orkes Gamelan DiRaja Terengganu ialah pada 1969 di Pesta Muzik dan Drama Asia di Universiti Malaya (UM) Kuala Lumpur diikuti pada 1970 sempena Temasha Seni Melayu yang turut menampilkan penari generasi baru.

Persamaan dan Perbezaan dengan Gamelan Jawa[sunting | sunting sumber]

Gamelan Melayu ialah pengaruh budaya Jawa yang ada di Tanah Melayu. Secara fizikal Gamelan Melayu sama dengan Gamelan Jawa. Beberapa tajuk lagu-lagu Gamelan Melayupun menggunakan Bahasa Jawa. Contoh: Ayak-ayak, Babar Layar, Togok, Mulih, Ketawang, Geliong, Gambuh, Lambang Sari, Perang Manggong, Raden Inu dll.

Tetapi Gamelan Melayu juga mempunyai ciri khas yang berlainan daripada Gamelan Jawa. Gamelan Melayu mempunyai satu nada sahaja manakala Gamelan Jawa mempunyai dua nada iaitu Slendro dan Pelog. Gamelan Melayu memiliki 7 alat muzik sahaja manakala dengan Gamelan Jawa memiliki puluhan alat muzik. Selain itu lagu-lagu yang dimainkan Gamelan Melayu khas buatan orang Melayu.

Alat Muzik[sunting | sunting sumber]

Berdasarkan set gamelan diraja yang ditemui pada tahun 1966 di Istana Kolam, Terengganu, sepasang gamelan Melayu terdiri daripada 7 alat muzik asas, iaitu:

  1. Keromong, juga digelar Bonang Barung (set 10 gong kecil yang dibaringkan)
  2. Gambang (sebuah zilofon kayu)
  3. Saron Kecil, juga digelar Saron Barung (satu set metalofon)
  4. Saron Besar, juga digelar Saron Demung (satu lagi set metalofon, saiznya lebih besar daripada Saron Kecil)
  5. Kenong (set 3 gong besar yang dibaringkan)
  6. Sepasang Gong yang bergantungan, iaitu Gong Kecil dan Gong Besar
  7. Gendang

Pada masa sekarang beberapa alat muzik gamelan turut ditambahkan mengikut gamelan Jawa.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "History and Etymology for gamelan". Merriam-Webster. Dicapai pada 17 December 2020.
  2. ^ Sumarsam (1998). Introduction to Javanese Gamelan. Middletown.
  3. ^ Lindsay, Jennifer (1992). Javanese Gamelan, p.10. ISBN 0-19-588582-1.