Hassan al Banna

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Hasan al-Banna

حسن البنا

Hassan al-Banna.jpg

Pengasas dan ketua Ikhwanul Muslimun
(pertama)
Tempoh jawatan
1928–1949
Diganti oleh Hassan al-Hudaybi

Lahir 14 Oktober 1906(1906-10-14)
Mahmudiah, Beheira, Mesir
Meninggal dunia 12 Februari 1949 (umur 42)
Kaherah, Mesir
Alma mater Dar al-Ulum
Religion Sunni Islam

Hassan Ahmad Abdul Rahman Muhammed al-Banna (Arab atau Jawi: حسن أحمد عبد الرحمن محمد البنا) atau ringkasnya Hassan al-Banna adalah pendakwah, reformis sosial dan politik Mesir dan pengasas gerakan Ikhwanul Muslimin. Pada usia 12 tahun, beliau sudah menghafal al-Quran. Beliau menyertai kumpulan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi di sekolah. Beliau rajin menghadiri majlis-majlis zikir pimpinan al-Ikhwan al-Hasafiyyah. Pada usia 23 tahun, beliau menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Islamailiyyah pada Mac 1928. Hasil kegigihan beliau, gerakan dakwah beliau mendapat sambutan di Mesir dan di setiap pelusuk negara-negara Islam. Pada tahun 12 Februari 1949 beliau meninggal dunia setelah ditembak mati oleh seorang pembunuh upahan arahan sulit kerajaan Mesir ketika itu.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Hassan al Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di desa al-Mahmudiyyah di daerah al-Bahriyyah, Iskandariah, Mesir (barat laut Kaherah). Beliau berasal dari sebuah perkampungan petani yang terkenal kuat mentaati ajaran dan nilai-nilai Islam, serta keluarga ulama yang dihormati. Ketika Hassan al-Banna berusia dua belas tahun, beliau menjadi pemimpin badan Latihan Akhlak dan Jemaah al-Suluka al-Akhlaqi yang dikelolakan oleh gurunya di sekolah. Pada peringkat ini beliau telah menghadiri majlis-majlis zikir yang diadakan oleh sebuah pertubuhan sufi, al-Ikhwan al-Hasafiyyah, dan menjadi ahli penuh pada tahun 1922.[nb 1] Melalui pertubuhan ini beliau berkenalan dengan Ahmad al-Sakri yang kemudian memainkan peranan penting dalam penubuhan Ikhwan Muslimin. Ketika berusia tiga belas tahun, Hassan al Banna menyertai tunjuk perasaan semasa revolusi 1919 menentang pemerintahan British.[nb 2]

Pada tahun 1923 ketika berusia 16 tahun dia memasuki Dar al 'Ulum, sebuah sekolah latihan perguruan di Kaherah. Kehidupan di ibu negara Mesir menawarkannya peluang yang lebih luas berbanding di kampung serta bertemu dengan pelajar Islam terkemuka (kebanyakannya dengan bantuan kenalan ayahnya). Walau bagaimanapun, beliau amat terganggu dan tidak senang dengan pengaruh kebaratan yang dilihatnya disana, terutamanya peningkatan arus sekular seperti parti-parti politik, kumpulan-kumpulan sasterawan dan pertubuhan-pertubuhan sosial sekular yang terdorong ke arah melemahkan pengaruh Islam dan meruntuhkan nilai moral traditional.[nb 3] Hassan al Banna turut kecewa dengan apa yang dilihatnya sebagai kegagalan sarjana Islam di Universiti al-Azhar untuk menyuarakan bangkangan mereka terhadap peningkatan atheisme dan pengaruh mubaligh Kristian.[nb 4]

Beliau kemudian menganggotai pertubuhan Jama'atul Makram al-Akhlaq al-Islamiyyah yang giat mengadakan ceramah-ceramah berunsurkan Islam. Melalui pertubuhan ini, Hasan al-Banna dan rakan-rakannya menjalankan dakwah ke serata pelosok tempat seperti di kedai-kedai kopi dan tempat-tempat perhimpunan orang ramai. Pada peringkat inilah beliau bertemu dan mengadakan hubungan dengan tokoh-tokoh Islam terkenal seperti Muhibbuddin al-Khatib, Muhammad Rashid Reda, Farid Wajdi dan lain-lain.

Di tahun akhirnya di Dar al-'Ulum, beliau menulis bahawa beliau bercadang untuk menzuhudkan dirinya menjadi "penasihat dan guru" bagi golongan dewasa dan kanak-kanak agar dapat mengajar mereka mengenai matlamat "agama adalah sumber kegembiraan dan keriangan dalam kehidupan". Beliau mendapat ijazah pada tahun 1927 dan diberikan jawatan sebagai guru bahasa Arab di sekolah rendah kebangsaan di Isma'iliyya, sebuah bandar yang terletak di Zon Terusan Suez. [nb 5]

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Bapanya, Syeikh Ahmad al-Banna merupakan seorang ulama, imam, guru dan seorang pengarang terkenal berkelulusan Universiti Al-Azhar yang menulis serta menyumbang kepada penulisan kitab-kitab hadis dan fiqh perundangan Islam. Bapa beliau juga memiliki kedai membaiki jam dan menjual gramophone. Syeikh Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna turut mengkaji, menyelidik dan mengajar ilmu-ilmu agama seperti tafsir al-Qur'an dan hadis kepada penduduk tempatan, dan dia banyak dipengaruhi oleh fikrah serta cita-cita perjuangan Syeikh Muhammad Abduh dan Sayyid Jamaluddin al-Afghani.

Sungguhpun Syeikh Ahmad al-Banna dan isterinya memiliki sedikit harta, mereka bukannya orang yang kaya dan bertungkus lumus untuk mencari nafkah, terutama selepas berpindah ke Kaherah pada 1924; sebagaimana yang lain, mereka mendapati bahawa pendidikan Islam dan kealiman seseorang tidak lagi dihargai di ibu negara itu, dan hasilkerja tangan mereka tidak mampu menyaingi industri besar-besaran.[nb 6]

Ahmad Saiful Islam, anak lelaki Hassan al Banna, menceritakan bagaimana beberapa sifat peribadi Hassan al Bannan semasa beliau masih hidup lagi.[1] Antaranya beliau sangat menjaga dan memerhati perkembangan anak-anaknya. Setiap anaknya mempunyai fail khas yang ditulis oleh beliau sendiri. Di dalam fail tersebut terkandung maklumat seperti maklumat-maklumat perubatan anak-anaknya, sijil-sijil pelajaran bersertakan catatan-catatan tentang kemajuan pembelajaran mereka. Hukuman yang paling berat pernah beliau kenakan kepada anak-anaknya hanyalah cubit telinga. Sifat pemurah kepada anak-anaknya dilihat apabila beliau memberikan wang saku kepada mereka sebanyak 3 Qurusy berbanding kanak-kanak lain yang puratanya mendapat suku atau setengah Qurusy sahaja daripada ibu bapa mereka.

Beliau menyediakan satu perpustakaan khas buat Ahmad Saiful Islam. Ini adalah antara proses pentarbiahan beliau kepadanya. Beliau tidak melarang Saiful Islam membaca apa-apa jenis bahan bacaan, malahan memberi bacaan lebih baik untuk dibaca oleh Saiful apabila selesai membaca bahan bacaan diminatinya.

Hassan al Banna juga bersungguh-sungguh melaksanakan sunnah Rasulullah SAW.[1] Beliau berusaha untuk mengenali setiap kaum keluarga isterinya. Antara kisah menarik, beliau pernah mengejutkan isterinya dengan menziarahi seseorang yang telah terputus hubungan kekeluargaan dengan siterinya kerana orang itu bukanlah anak kepada orang yang mempunyai hubungan keluarga dengan isterinya. Begitulah tahap kesungguhan dan ketelitian beliau dalam melaksanakan sunnah Rasulullah SAW.

Penubuhan "Ikhwanul Muslimun", kegiatan dakwah dan kematian seorang wira[sunting | sunting sumber]

Pada Mac 1928, Syeikh Hassan al-Banna telah menubuhkan gerakan Ikhwan Muslimin di bandar Ismailiyyah. Ketika itu beliau berusia 23 tahun. Di Ismailiyya, sebagai tambahan kepada kelas siangnya, beliau melaksanakan matlamatnya dengan memberi kelas malam kepada keluarga anak muridnya. Beliau juga berceramah di masjid, malah dikedai kopi, yang pada masa itu masih baru dan dipertikaikan nilai moralnya. Pada awalnya, sesetengah pandangannya berkenaan perlaksanaan Islam yang mudah mendorong kepada tentangan hebat dengan elit keagamaan tempatan dan beliau mengamalkan polisi mengelakkan kontrovesi agama.[nb 7] Beliau sedih dengan tanda-tanda jelas pengawalan ketenteraan dan ekonomi di Isma'iliyya seperti kem ketenteraan British, kemudahan awam yang dimiliki oleh kepentingan luar dan tempat tinggal mewah milik pekerja syarikat Terusan Suez yang bersebelahan dengan rumah haram pekerja Mesir. [nb 8]

Setelah berkhidmat 19 tahun dalam bidang perguruan, beliau meletakkan jawatan pada tahun 1946 untuk menyusun kegiatan dakwah dengan berkesan dalam masyarakat di bandar itu. Pengalaman ahli jemaah yang dikumpulkan sekian lama menjadikan Ikhwan Muslimin sebuah gerakan yang berpengaruh.

Ternyata Hassan al-Banna adalah pemimpin yang bijak mengatur organisasi. Ikhwan Muslimin disusun dalam tiga peringkat iaitu memperkenalkan Ikhwan dan menyebarkan dakwah asas melalui ceramah serta kegiatan kebajikan. Kemudian membentuk keperibadian anggota agar bersedia menjalani jihad seterusnya melaksanakan cita-cita perjuangan Islam dengan tegas. Ikhwan Muslimin berjaya menjadi sebuah gerakan yang menggegarkan Mesir terutama selepas perang dunia kedua apabila gerakan itu turut bertanding di dalam perebutan kuasa politik. Pengaruh Ikhwan yang semakin kuat amat dikhuatiri dan ditakuti oleh kerajaan Mesir yang diketuai oleh al-Nukrasi Bassa dari parti al-Sa'di yang bertindak mengharamkan Ikhwan Muslimin pada 1948 atas tuduhan merancang satu pemberontakan untuk menjatuhkan kerajaan. Sungguhpun begitu, Hassan al-Banna tidak ditahan dan beliau cuba sedaya upaya menyelamatkan Ikhwan.

Malangnya usaha beliau belum berhasil sehinggalah dibunuh kerana ditembak pada waktu tengah hari 12 Februari 1949, ketika keluar dari bangunan pertubuhan Ikhwan Muslimin. Beliau menghembuskan nafas terakhir di hospital dan pembunuhan beliau didakwa dirancang oleh polis rahsia kerajaan berikutan kematian perdana menteri yang dibunuh oleh seorang pelajar yang kecewa dengan pembubaran Ikhwan Muslimin. Jenazah al-Imam Hassan Al-Banna telah dikebumikan dengan kawalan kereta-kereta kebal dan perisai. Orang ramai tidak dibenarkan menghadiri upacara pengebumiannya, yang hadir hanya keluarganya sendiri.

10 Wasiat Imam Hassan Al-Banna[sunting | sunting sumber]

  1. Dirikan solat apabila mendengar azan, walau apapun jua keadaan pada waktu itu.
  2. Bacalah al-Quran, atau pelajari tafsirnya atau dengarlah bacaan orang lain, atau zikirlah kepada Allah. Jangan engkau gunakan sebahagian ruang waktumu untuk hal-hal yang tidak berfaedah.
  3. Bercakaplah dengan bahasa Arab yang fasih, kerana ia termasuk dalam syi'ar Islam.
  4. Jangan banyak berdebat dalam apa jua hal. Pertengkaran tidak akan mendatangkan sebarang kebaikan.
  5. Jangan banyak ketawa, kerana hati yang berhubung dengan Allah sentiasa tenang dan mantap.
  6. Jangan suka berjenaka atau berolok-olok, kerana umat yang berjuang tidak mengenal yang lain selain kesungguhan.
  7. Jangan engkau tinggikan suaramu melebihi keperluan pendengar. Ia menunjukkan kebodohan dan menyakitkan.
  8. Jauhi menghina orang, mencela organisasi dan jangan berbicara kecuali perbicaraan yang baik.
  9. Perkenalkan dirimu kepada orang yang engkau jumpai, walaupun ia tidak meminta daripadamu, sebab dasar dakwah kita adalah cinta dan saling kenal mengenal.
  10. Kewajipan selalu lebih banyak daripada waktu yang tersedia. Oleh itu bantulah orang lain untuk memanfaatkan waktunya. Jika engkau mempunyai urusan, maka selesaikanlah dalam waktu sesingkat-singkatnya.

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 Riduan Mohamad Nor. (2011). Saiful Islam: Dia Seorang Ayah, Pendidik, Suami Dan Juga Seorang Insan. Memperingati Imam asy Syahid Hasan Al Banna. 48-53.
  1. Mitchell 1969, 2; Lia 25-26
  2. Mitchell 1969, 3; Lia 1998, 26-27
  3. Mitchell 1969, 2-4; Lia 1998, 28-30
  4. Mitchell 1969, 5
  5. Mitchell 1969, 6
  6. Mitchell 1969, 1; Lia 1998, 22-24
  7. Mitchell 1969, 7; Lia 1998, 32-35
  8. Mitchell 1969, 7

Bibiliografi[sunting | sunting sumber]

  • Zulkifli Mohamad al-Bakri dan Mohd Faisal Fadzil. (2010). Al-Syahid Hasan al-Banna: Pengasas Ikhwan Muslimin. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
  • Lia, Brynjar. 1998. The Society of the Muslim Brothers in Egypt: The Rise of an Islamic Mass Movement 1928-1942. Reading, UK: Garnet.
  • Mitchell, Richard P. 1969. The Society of the Muslim Brothers. London: Oxford University Press.