Hulagu Khan: Khabar Hitam dari Timur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Buku / Novel
Hulagu Khan-khabar hitam dari timur
Siri Novel Sejarah Islam
Pengarang Asal Abdul Latip Talib
Penterjemah
ISBN ISBN 9789833892419
Kod Buku
Saiz
Genre Tidak diketahui
Terbitan PTS Publications & Distributors Sdn Bhd
Negara Malaysia
Bahasa Melayu
Tahun Keluaran 25-Jul-2009
Bilangan Muka Surat 241
Harga Tidak diketahui

Buku Hulagu Khan-Khabar Hitam dari Timur dikarang oleh Abdul Latib Talib dan diterbitkan pada 25-Jul-2009. Ia diterbitkan oleh PTS Publications & Distributors Sdn Bhd dalam bahasa Melayu. Buku ini merupakan salah satu daripada karya Abdul Latip dalam siri Novel Sejarah Islam.

Buku ini berkisar tentang penaklukan Kota Baghdad oleh Hulagu Khan yang juga merupakan cucu kepada penakluk agung Genghis Khan. Selain itu novel sejarah ini juga memfokuskan faktor-faktor dalaman yang menyumbang kepada tumbangnya Kerajaan Bani Abbasiyyah yang berkuasa lebih 5 abad.

Ringkasan[sunting | sunting sumber]

Plot novel ini bermula dari masa Hulagu Khan masih lagi seorang kanak-kanak. Ibunya telah menceritakan kehebatan datuknya, Temujin atau lebih dikenali sebagai Genghis Khan dan menggalakkan Hulagu untuk mengikut jejak langkah datuknya sebagai penakluk yang hebat. Sejak usia yang masih muda, Hulagu dilatih dengan ilmu kepahlawanan.

Setelah dewasa, Hulagu bercita-cita untuk membina empayarnya sendiri dan berusaha untuk menumbangkan Kerajaan Bani Abbasiyyah. Sementara itu, Kerajaan Bani Abbasiyyah pula menghadapi konflik dalaman seperti pelantikan Khalifah Al-Musta'shim yang lemah dalam pentadbiran serta penentangan yang dihadapi akibat ketidakpuasan hati rakyat terhadap pentadbirannya.

Selain itu, faktor yang turut menyumbang terhadap kejatuhan Kerajaan Bani Abbasiyyah adalah kewujudan pengkhianat dalam negara, iaitu Umayiduddin al-Aqami. Kesemua faktor ini akhirnya berjaya merealisasikan impian Hulagu Khan untuk meruntuhkan peradaban Islam yang dibina oleh Bani Abbasiyyah selama lebih 500 tahun.

Bab-bab terakhir novel ini menggambarkan hari-hari terakhir kegemilangan empayar yang dibina oleh Hulagu Khan setelah bala tenteranya berulang kali dikalahkan oleh tentera Islam dari Mesir yang dipimpin oleh Saifuddin Qutz, Berke Khan, Baibars dan Rukunuddin al-Daudar. Hulagu Khan mati ketika dalam pelarian di Azerbaijan semasa sedang tidur. Seperti yang diminta olehnya, mayat Hulagu Khan dimasukkan ke dalam peti besi yang ditutup rapat, kemudian diturunkan ke dalam tasik Urmia.

Edisi Jimat[sunting | sunting sumber]

Pada Ogos 2010, buku Hulagu Khan - Khabar Hitam dari Timur (Edisi Jimat) telah diterbitkan. Terbitan ini mempunyai saiz yang lebih kecil dan harga yang lebih murah. Seperti buku-buku Novel Sejarah Islam yang lain yang diterbitkan dalam edisi jimat, edisi ini disasarkan kepada pelajar dan penduduk di kawasan luar bandar.

Fakta yang diabaikan[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 2007 sebelum menerbitkan buku 'Hulagu Khan- Khabar Hitam dari Timur' ini, Abdul Latip ada menulis dalam blog rasminya latiptalib.blogspot.com sebuah artikel bertajuk 'Benarkah Hulagu Khan Tokoh Islam' [1]. Artikel tersebut membincangkan persoalan sama ada Hulagu Khan wajar atau tidak diangkat sebagai tokoh Islam memandangkannya lebih dikenali sebagai seorang penakluk yang telah membunuh banyak nyawa umat Islam. Antara kandungan artikel itu adalah seperti berikut:

"Tetapi selepas itu dia mula berjasa kepada Islam dan menyesali kekejaman yang dilakukan oleh tenteranya. Dia mengumpulkan semula para cendikiawan Islam lalu membantu mereka membina peradaban baru."

"Kemudian Hulagu Khan melantik Abul Muzhaffar Athamalik Juwaini, seorang cendikiawan Islam untuk mengatur pemerintahan di Baghdad. Hulagu Khan juga memberi kebenaran kepada Abul Muzhaffar Athamalik Juwaini memperkenalkan pemerintahan Islam dan penduduk Baghdad dibenarkan semula mengamalkan ajaran agama Islam."

"Ekoran dari itu ramai tentera Monggol memeluk agama Islam dan Hulagu Khan tidak menghalangnya walaupun dia sendiri masih berpegang kepada kepercayaan nenek moyangnya, agama Syamaniah (Syamanism), ... Tetapi ada yang mengatakan Hulagu Khan kemudiannya menganut agama Kristian."

"Tetapi beberapa tahun sebelum meninggal dunia, Hulagu Khan dikatakan mula tertarik dengan Islam. Malah turut menyibarkan Islam ke Azerbaijan. Akhirnya dari keturunan Hulagu Khan ramai yang menjadi pahlawan Islam dan mereka turut menyibarkan Islam hingga sampai ke India. Kerana itu ada yang mengatakan Hulagu Khan adalah tokoh Islam."

Walaubagaimanapun, dalam novel yang diterbitkan langsung tidak menceritakan mana-mana bahagian yang menunjukkan jasa Hulagu Khan kepada Islam ataupun pengIslamannya.


Pautan luar[sunting | sunting sumber]