Ikatan kovalen

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Satu ikatan kovalen yang membentuk H2 (kanan), di mana 2 atom hidrogen berkongsi kedua-dua elektron.

Ikatan kovalen ialah sejenis ikatan kimia yang melibatkan perkongsian elektron di antara atom-atom. Imbangan stabil daya tarikan dan tolakan antara atom apabila mereka berkongsi elektron dikenali sebagai pengikatan kovalen. Untuk pelbagai molekul, perkongsian elektron membolehkan setiap atom untuk memiliki petala elektron yang penuh, yang memberikan mereka konfigurasi elektron yang stabil.

Ikatan kovalen melibatkan pelbagai jenis interaksi lain, termasuklah ikatan σ, ikatan π, interaksi agostik dan ikatan tiga pusat dua elektron. Istilah covalent bond dalam bahasa Inggeris pertama kali digunakan pada tahun 1939. Imbuhan awalan bahasa Inggeris co- bermaksud "bergabung, berkaitan dalam tindakan, dipadankan ke darjah yang lebih rendah, dll.", oleh itu, "co-valent bond" bermaksud yang atom-atom berkongsi "valensi", seperti yang disebut dalam teori ikatan valensi. Di dalam molekul H2, kedua-dua atom hidrogen di dalam molekul ini berkongsi kedua-dua elektron mereka melalui ikatan kovalen. Ikatan kovalen paling kuat di antara atom-atom dengan keelektronegatifan yang setara. Oleh itu, ikatan kovalen tidak semestinya melibatkan dua atom daripada unsur yang sama, sekadar ia mempunyai keelektronegatifan yang setara sudah memadai. Walaupun ikatan kovalen membabitkan perkongsian elektron, tidak semestinya elektron-elektron itu dinyahsetempatkan.